Isteri Nusyuz Suami Tidak Dayus

0 comments

Isteri Nusyuz Suami Tidak Dayus

Kali ini Tun Sheikh akan ceritakan mengenai seorang sahabat seusia Tun Sheikh yang datang mengadu hal dan meminta pandangan. Beliau tinggal dan bekerja di Johor Bahru. Harapan Tun Sheikh mudah-mudahan kisah beliau dapat sama-sama kita manfaatkan dan diambil iktibar. Beliau adalah sahabat baik sepermainan dari sekolah rendah hingga menengah. Masa di bangku sekolah terutama pada masa kami berusia remaja, beliau agak sopan kerana tidak suka pada perempuan, tidak seperti Tun Sheikh dan teman-teman lain. Meskipun kami bersekolah di sekolah yang tidak bercampur perempuan dari tingkatan 1 hingga 5 tetapi ada pelajar perempuan pangkat kakak-kakak yang melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 di sekolah Tun Sheikh. Walaupun kami tidak ada pacar atau berpacaran tetapi sering juga berhubungan atau bergaul dengan mereka dalam persatuan sekolah.

Sahabat Tun Sheikh tidak suka perempuan kerana didikan dan larangan orang tuanya . Ibu bapanya juga melarang Md Noor berkawan dengan kawan yang ada teman perempuan dan tidak benarkan membawa kawan wanita datang ke rumah. Dari sudut yang lain, Tun Sheikh menganggap keluarga Md Noor agak alim dan beradat. Ibunya seorang yang warak dan bapanya seperti seorang yang zuhud. Md Noor lambat mendirikan rumah tangga. Beliau hanya bertemu jodoh ketika berusia 40 tahun. Md Noor berkenalan dengan isterinya Ruzynawaty binti Tanak ketika berkursus di Kuala Lumpur. Ruzynawaty ketika itu berusia 30 tahun. Beliau telah menemani Md Noor menunjuk jalan-jalan di Kuala Lumpur . Sebulan kemudian Md Noor bernikah kerana tidak suka bermesra dan berkawan lama-lama dengan perempuan bukan mahram.

Ketika beliau menyampaikan hajatnya untuk bernikah pada Tun Sheikh dulu, satu nasihat pun tidak didengarnya. Beliau juga tidak dihalang dan tanpa periksa terus dipersetujui orang tuanya. Ini adalah kerana mereka berasa bersalah hingga menyebabkan Md Noor tidak berminat untuk berumah tangga ketika usia muda. Tun Sheikh agak terkejut cara dia membuat keputusan tetapi tiada siapa boleh menasihatinya lagi. Lagipun orang tua Md Noor beria-ia suruh dia kahwin cepat. Ketika Md Noor memberitahu nama bakal isterinya, Tun Sheikh sudah berfirasat seperti sesuatu yang tidak sesuai. Tun Sheikh nasihatkan para ibu bapa dan sesiapa saja yang membaca tulisan ini agar merancanglah jika hendak menamakan anak-anak kita. Mungkin orang tua kita dahulu jahil atau terikat sangat dengan adat resam yang tidak tahu asal punca. Mereka beri nama anak ikut suka hati dan kebiasaan saja.

Tun Sheikh tidaklah menghina nama isteri kawan Tun Sheikh itu yang pada pandangan Tun Sheikh amat tidak sesuai kerana Tun Sheikh terbayangkan maksud ‘bunga mawar perzinaan dan persetubuhan’. Tidak kiralah kita ini Melayukah, Bugis, Jawa atau apa tetapi jika kita benar-benar faham kepada agama Islam seharusnya kita mengikut panduan yang Nabi SAW ajarkan agar memberi nama yang bermaksud baik-baik belaka kerana nama itu dapat mempengaruhi tingkah laku. Ruzynawaty berketurunan Bugis berasal dari Pontian. Dia berkerja di sebuah badan berkanun. Dari segi pendapatan, sama saja dengan Md Noor, Cuma Md Noor sudah lama kanan dan dari segi sekufu Md Noor lebih sikit kerana keluarga Ruzynawaty ialah orang kampung yang susah di Tampok. Tapi memang dasar Bugis, beliau sungguh bergaya seolah-olah macam anak orang kaya. Mungkin bagi menyesuaikan dirinya yang cantik bertubuh tinggi lampai berkulit putih seperti seorang model. Kata orang, jika seorang lelaki terpandang memang akan menoleh semula.

Ruzynawaty bekerja di badan berkanun yang tidak ada di Johor Bahru dan beliau tidak sanggup berhenti kerja kerana membantu keluarga. Selepas berkahwin, Md Noor belikan sebuah rumah tol yang bercantum dengan tiga pintu rumah sewanya di Kuala Lumpur. Duit kiriman isteri kepada ibu bapanya sebayak RM600 sebulan tidak diganggu malah dia sendiri sering menghulur apabila balik Pontian. Kini 11 tahun sudah usia perkahwinan mereka. Pernah dua kali Md Noor bertanya mahukah Ruzynawaty bercerai kerana hidup mereka berjauhan tetapi tidak dikehendaki oleh isterinya. Kali pertama kerana Md Noor kasihan kepada isterinya yang terpaksa mengurus sendiri diri dan anak-anak. Md Noor hanya datang setiap 2 minggu sekali di hujung minggu dan beberapa hari jika bercuti panjang yang bersambung dengan cuti am. Mereka telah dikurniakan 3 orang anak seorang lelaki dan 2 perempuan. Anak sulung lelaki sudah berusia 7 tahun, 5 tahun dan bongsu baru 2 tahun.

Kali kedua Md Noor bertanyakan sama ada isterinya mahu bercerai ialah setelah isterinya melahirkan anak mereka yang ketiga. Sebelum itu Md Noor sering dapat mimpi buruk, isterinya menduakan dirinya. Apabila disiasat, anak-anaknya telah menceritakan ibunya selalu keluar makan dengan Uncle Din dan mereka kenal dan sayang dengan Uncle Din. Darah Md Noor terus menyirap tetapi hatinya tidak sampai hati mengambil tindakan yang memburukkan keadaan. Kalau direnung dan diingat-ingat isterinya memang dingin di atas ranjang tetapi Md Noor tidak kisah kerana yakin kepada Allah dan tidak berburuk sangka. Tetapi apabila sering bermimpi buruk sampai pernah bermimpi arwah guru agamanya suruh menceraikan isterinya, beliau menjadi bingung.

Semasa isterinya mengandung anak ketiga, beliau begitu gelisah dan berjumpa dengan Tun Sheikh. Sungguh serba salah Tun Sheikh dibuatnya. Akhirnya Tun Sheikh suruh dia buat solat istikharah dan bersabar. Fikirannya kusut sehingga mengadu kepada Tun Sheikh bahawa anak-anaknya tidak ada yang ikut rupa wajahnya. Tun Sheikh bersyukur kerana Md Noor mengerti agama dan beliau juga agak warak seperti bapanya. Dia bukan sahaja membuat solat istikharah tetapi juga solat hajat dan solat-solat tahjud. Terkejut Tun Sheikh apabila beliau memberitahu bahawa beliau telah menyerahkan bulat-bulat kepada Allah dan beliau sendiri memohon ampun jika selama ini fikirannya berburuk sangka walaupun beliau begitu yakin bahawa kanak-kanak kecil tidak tahu berbohong dan perlakuan isterinya juga berubah seperti tidak berapa kisah dengan kehadiran atau kedatangannya ke Kuala Lumpur.

Apabila beliau siasat dari sahabat dan kawan-kawan isterinya, beliau mendapat maklumat bahawa isterinya memang mempunyai ramai teman lelaki. Pernah putus tunang sebanyak 3 kali dan pergaulannya agak bebas. Kawan-kawan pernah ternampak isterinya keluar dengan kekasih lama tetapi oleh sebab dibawa anak bersama, mereka tidak mengesyaki apa-apa. Apabila Md Noor bertanya kepada isterinya, beliau mengaku tetapi tidak mengaku telah melakukan perkara keji. Md Noor sungguh kecewa lalu berdoa kepada Tuhan jika isterinya telah berzina dan mengampun dosa dirinya yang tidak dapat mengawal isteri maka ambil saja nyawanya atau nyawa isterinya sebelum melahirkan anak yang ketiga. Md Noor tidak sanggup melihat dan bertanggungjawab memelihara anak haram jika itu bukan anaknya. Tetapi Md Noor menyerahkan bulat-bulat kepada Allah sama ada memakbulkan doanya atau sebaliknya. Bila beliau berulang kali bertanya kepada isterinya sama ada Ruzynawaty telah terlanjur, isterinya tidak menjawab dan buat bodoh sahaja. Apabila didesak, dia berani mengatakan bahawa dia juga serahkan kepada Tuhan. Md Noor bertaklid jika kamu berzina maka tertalak kamu tetapi jika kamu tidak berterus terang maka kamulah yang menanggung segala dosa . Aku akan melayan kamu sebagai suami sehinggalah ketentuan Allah.

Sehingga ke hari ini jodoh mereka masih panjang. Kawan-kawan Ruzynawaty tidak lagi nampak Ruzynawaty keluar dengan teman lelaki. Md Noor seperti biasa menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami mengikut keupayaannya.Apabila Tun Sheikh tanya bagaimana perasaannya? Beliau memberitahu bahawa beliau kecewa tapi melupakan rasa itu dengan sentiasa berzikir. Beliau bercadang bersara awal untuk dekat dengan isteri dan anak-anaknya yang masih kecil. Mari kita sama-sama mendoakan semoga mereka bahagia dan hidup dalam kebajikan. Amin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Wanita Pertama Malaysia Pembayang Kehancuran

0 comments

Wanita Pertama Malaysia Pembayang Kehancuran

Isu isteri pemimpin sesebuah negara samada negara maju atau negara mudur sangat mempengaruhi kesetiaan dan pandangan rakyat umum sesebuah negara itu. Sejarah tamadun manusia sudah mencatat bukan satu dua cerita tetapi sudah beribu. Malah jika Al Quran itu dijadikan bahan rujukan utama oleh kerajaan seperti Malaysia contohnya, tentu sekali cerita mengenai isteri pemimpin ada tercatat di dalamnya. Dan tentu ajaib sekali bukan sahaja contoh yang baik termaktub atau terakam dalam Al Quran malah tokoh isteri-isteri yang jahat dan curang juga ada. Tujuannya semata-mata untuk memberi pengajaran dari Maha Pencipta.. Sayugia cerita wanita pertama atau isteri-isteri pemimpin utama sebenarnya bukan sahaja untuk dijadikan panduan tetapi juga adalah sebagai lambang halatuju sesebuah kerajaan samada kearah kehancuran atau keharmonian.

Tidak banyak isu mengenai perangai wanita pertama yang tidak disenangi rakyat ketika era YM Tunku Abd Rahman, Tun Abd Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir. Isu kurang senang mula timbul di zaman Paklah tetapi tidak begitu menyentap hati kerana beliau kembali ke rahmatullah. Rakyat pula terasa sedikit pelik apabila Pak Lah beristeri baru yang dikira jauh sekali dengan kesesuaiannya sebagai seorang yang faham serta dari keturunan beragama. Lebih janggal apabila Pak Lah mendakwa akan berjuang dan memperkasa hal-hal agama. Sehubungan itu beliau dianggap retorik sahaja kerana keluarganya sendiri terperangkap dalam isu rasuah dan salah menggunakan kuasa. Akhirnya beliau dinasihati berundur sebelum dipaksa atau dipecat. Orang yang gigih berusaha menjatuhkannya dengan pelbagai kelemahan diri yang dibongkar ialah mantan Perdana Menteri sendiri yang telah berterus terang mengaku kesilapannya melantik Pak Lah menggantikannya.

Kini memang ada desas-desus Dato’ Najib pula dinasihati agar berundur jika ingin menyelamatkan kuasa UMNO yang sedang memerintah sebelum terbungkus dan ditolak rakyat sepenuhnya. Najib bukan sahaja dilihat lemah tetapi sudah dituduh sebagai penjenayah yang tenang. Najib yang terkenal dengan muka manis yang jujur serta berbibir merah yang menarik kini dijadikan liabiliti oleh orang UMNO sendiri. Ini adalah gara-gara Najib terlalu tolerate dengan taulan dan teman dalam BN dan sekaligus dianggap tidak mampu mengawal isterinya yang semakin hari kelihatan semakin buas merompak hak rakyat. Soal Najib sendiri dari keluarga yang kaya raya sedikit pun tidak dihebahkan atau dipedulikan oleh musuhnya yang terdiri dalam kelompok UMNO juga.

Semasa perhimpunan isteri-isteri pemimpin negara atau wanita pertama pada tahun 2010, wanita pertama Malaysia yang kontrovesi ini dituduh telah melakukan terlalu banyak pembaziran dengan menggunakan wang rakyat mahupun wang sendiri untuk kepentingan peribadi. Beliau dituduh suka bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk samada kemewahan diri atau negara kepada tetamu dan orang-orang penting kerajaan dalam dan luar negara. Beliau dituduh telah memakai subang berlian yang baru dibelinya bernilai RM10 juta. Perkara ini dikatakan telah dibongkar oleh SB yang telah mula bosan dengan karenah keluarga PM baru.

Isu kegemaran beliau suka berbelanja besar di gedung-gedung mewah di luar negara juga sering terbongkar. Tetapi apalah dihairankan sangat kerana datuk kepada Najib adalah seorang jutawan hasil saham perniagaan judi di Genting yang terkenal di seluruh dunia dan kini diwarisi oleh Najib. Tetapi rakyat tetap tidak senang hati dan mula menunjukkan kemarahan apabila Najib meluluskan ratusan jutaan ringgit dalam belanjawan negara kepada jabatan yang tidak pernah wujud yang dituduh diterajui oleh wanita pertama iaitu isteri beliau sendiri. Ironinya, mereka yang menentang belanjawan tersebut diketuai oleh pemimpin UMNO sendiri yang tidak berpuas hati.

Ketika ini, isu wanita pertama membeli cincin bernilai RM24 juta pula diuar-uarkan. Proses pembelian dan urusan penghantaran dan kemasukan cicin tersebut dituduh dengan menggunakan saluran rasmi bagi barangan peribadi dan ini terang-terangan telah berlaku penyelewengan setidak-tidaknya kerana mengelak dari kena cukai. Isu ini walaupun kerajaan sedaya upaya menutupnya tetapi rakyat telah maklum kebuasan citarasa wanita pertama adalah lambang kehancuran negara. Rakyat mengerti meskipun itu adalah hak peribadi tetapi keadaan melampau batas itu adalah negative dan terlalu janggal serta tidak dapat diterima rakyat. Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pula telah mula berasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Najib. Beliau sengaja menjadi penaung kumpulan ekstrim Melayu yang diketuai oleh Dato’ Ibrahim Ali yang terkenal dengan perilaku negatifnya dalam berpolitik sehingga terkenal dengan ikon pemimpin katak.

Bagi umat Islam, kedudukan wanita adalah sangat tinggi dan tempatnya adalah sesuai sebagai lambang maruah sesebuah kerajaan atau negara. Wanita adalah pendokong kepada lelaki dan jika suaminya ialah seorang pemimpin, beliau adalah tokoh yang bertanggongjawab menjaga maruah dan kehormatan suami dan keluarganya dalam segala hal. Jika beliau sendiri adalah seorang pemimpin rakyat atau seorang menteri, tentunya kesetiaan beliau adalah kepada ketua iaitu seorang lelaki yang berkuasa. Kerakusan dirinya terhadap pangkat, harta dan kuasa atau campurtangannya dalam pemerintahan suami akan mengundang kehancuran yang berpunca dari pelbagai fitnah. Akhirnya kuasa kerajaan akan menjadi lemah dan terkubur. Begitulah rakaman rentetan sejarah kebudayaan dunia. Bagi Islam, wanita itu mestilah beriman dan beramal sebagai wanita muslimah mengikut panduan syarak.

Bersumberkan perilaku dan perihal wanita di negara ini samada terhadap pemimpin dan wanita pertama atau wanita pada keseluruhannya terutama wanita-wanita UMNO yang berkuasa tetapi tidak mengamal dan membudayakan cara hidup wanita muslimah, maka gambaran yang mereka bawa adalah kearah kehancuran tamadun Melayu Islam itu sendiri. Mungkin ramai wanita Melayu atau wanita Islam di Negara ini tidak bersetuju tetapi itulah hakikat halatuju budaya yang mereka bawa kerana wawasan mereka terpesong daripada petujuk agama. Tanpa sedar wanita yang berkuasa atau wanita yang tidak muslimah pada hari ini adalah agen suratan takdir mempercepat tanda-tanda hari akan berlaku kiamat.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere