Pergolakan Reformasi Mesir - Suatu Pengajaran

0 comments
Reformasi Mesir, Indonesia Gurunya

Pengaruh Reforamasi Di Abad Millenium Dari Asia


Gerakan reformasi di Mesir yang sedang berlaku ketika ini seolah-olah tercetus daripada pengaruh reformasi dari dunia timur iaitu dari Cina, Thailand, Indonesia dan Malaysia. Reformasi Indonesia yang berlaku hasil gerakan para pelajar atau mahasiswa pengajian tinggi yang sekian lama dikongkong boleh dianggap suatu yang sangat berjaya kerana kurang mengorbankan nyawa dan berupaya mengubah corak pemikiran politik daripada pro tentera kepada rakyat.Di Cina, peristiwa Tienemen yang mengorbankan ratusan mahasiswa berjaya membuka mata dan fikiran kerajaan supaya melonggarkan polisi, pendidikan, perdagangan dan teknologi kepada dunia luar. Di Thailand pula, isu rasuah dan salah menggunakan kuasa dan kerakusan Taksin dibongkar oleh kumpulan pelajar sehingga berlaku demonstrasi mengusir dan memaksa Taksin meletak jawatan dan menyelamatkan diri.

Di Malaysia, reformasi berlaku kerana kerakusan Dr Mahathir yang hampir cenderung menjadi diktaktor modern digerakkan oleh penyokong DS Anuar Ibrahim. Penglibatan mahasiswa bukanlah sebagai perancang dan pengerak utama dan ini adalah satu daripada sebab mengapa reformasi Malaysia tidak berjaya menggulingkan rejim Mahathir. Sebab lain kerajaan Malaysia terselamat dari terbubar secara paksaan ialah kerana Malaysia tidak bersandar kepada politik ketenteraan sebagaimana negeri Cina, Thailand, Indonesia dll. Kuasa demokrasi masih milik rakyat dan masih kuat di Malaysia. Reformasi berlaku kerana kehangatan dan ketidakpuasan hati terhadap pengaruh Dr Mahathir yang mula mencengkam di pelbagai sudut dan bidang kerana terlalu lama berkuasa.

Reformasi di Malaysia sebenarnya belum berakhir. Reformasi untuk menggulingkan Barisan Nasional sebenarnya hanyalah merupakan suatu harapan dan sasaran. Reformasi sebenar ialah pembaharuan dasar terutamanya dalam menangani isu rasuah dan kebajikan rakyat jelata. Sekiranyanya Barisan Nasional peka dengan kehendak rakyat yang mesti diutamakan dahulu sebelum berbelanja besar dengan projek-projek pembangunan mega dan mengambil kesempatan untuk menggemukkan kantung sendiri, maka hasrat dan pemikiran reformasi boleh dianggap tercapai. Dengan perkataan lain, Barisan Nasional atau sesiapa saja yang memerintah negara tidak perlu kepada pembubaran jika isu kebajikan menyeluruh kepada rakyat dan isu rasuah ditangani dan diutamakan.

Pengajaran terhadap reformasi di Cina, Thailand, Indonesia dan kini telah menular di Mesir nampaknya tidak banyak diambil iktibar dan diteladani Malaysia. Sikap angkuh dan bebas menggunakan perbendaharaan negara yang dianggap kaya dan mewah masih berleluasa. Kebajikan rakyat belum dijadikan isu utama kecuali retorik biasa yang mengelabui mata ramai. Rasuah di kalangan pembesar, kroni dan orang penting negara kelihatan masih dilindungi dari pertuduhan. Negara ini sebenarnya bernasib baik kerana kuasa tentera tidak dijadikan berpengaruh atau tidak digunakan oleh orang politik kecuali kuasa polis yang dianggap masih terhad. Sekiranya kuasa tentera atau polis yang bersenjata ini digunakan dengan begitu meluas melindungi kegiatan ahli-ahli politik yang sedang berkuasa maka pasti pola tindakan dan pengaruh reformasi seperti negara-negera tersebut juga hebat berlaku di Malaysia.

Jadi, jika kerajaan BN berhasrat untuk terus memerintah dan berkuasa, sayugia hendaklah mengambil pengajaran dari negara-negara yang telah dan sedang berlakunya reformasi. BN harus segera kembali dan mengamalkan nilai-nilai murni dan menampilkan kepimpinan yang telus dan bersih dari pemikiran yang korup atau mementingkan diri. Minda pemimpin untuk menjadi tokoh glamour, berada dan mewah selaku pemimpin rakyat hendaklah ditukar kepada berjiwa bersama rakyat dan untuk membantu rakyat. Sikap dan pemikiran mendiskriminasi seperti amalan tidak memberi peruntukan pusat kepada kerajaan negeri diperintah pembangkang atau kepada wakil-wakil rakyat parti pembangkang hendaklah diubah segera. Ini adalah kerana sebagai pemimpin pusat, khidmat adalah dituntut telus dan untuk semua rakyat meskipun berlainan fahaman dan bangsa keturunan. Pemimpin pusat mestilah berfikir dan melaksanakan perancangan dengan nilai-nilai pusat atau sejagat. Jika tidak begitu, mereka tidak layak menjadi pemimpin.

Dalam peristiwa kekecuhan pemindahan rakyat terutamanya kumpulan pelajar Malaysia di Mesir dalam kedaaan darurat dan kecemasan boleh juga menjadi perhatian dan teladan. Tahniah dan syabas kepada Pak Duta Malaysia di Mesir yang begitu terduga dan tercabar dengan peristiwa reformasi atau pergolakan di Mesir itu. Ini adalah kerana Dr Fakaruddin baru sahaja dilantik menjadi Duta. Beliau adalah bekas pensyarah kanan di Universiti Malaya . Jiwanya yang telah terbiasa dan menyayangi para pelajar atau mahasiswa telah membantu beliau membuat keputusan yang tepat iaitu tidak memilih bulu atau bias kepada para pelajar ketika membantu penghantaran pulang. Beliau telah mengutamakan para pelajar yang mempunyai keluarga dan anak kecil. Sebelum itu ada kumpulan, persatuan, atau pentadbir yang menyaring dan mengutamakan pelajar-pelajar tajaan kerajaan diutamakan tetapi tidak dibenarkan oleh Dr Fakaruddin. Pengipas kerajaan pula segera menangguk diair yang keruh dengan menuduh parti pembangkang mempolitikkan isu pemindahan pelajar. Sebenarnya, apa yang berlaku ialah ahli politik pembangkang mendapat maklumat berlaku kegiatan pilih bulu memilih pelajar pro kerajaan daripada pelajar-pelajar persendirian, netral mahupun pro pembangkang.

Tindakan segara PM menghalang isu ini dipolitikkan adalah begitu berkesan kerana memang tidak wajar sesiapun berlaku bias kepada rakyat sendiri dalam keadaan darurat dan kecemasan lebih-lebih lagi peristiwa ini berlaku di luar negara. Jika BN tidak adil dengan mengutamakan pelajar-pelajar yang dikenalpasti menyokong kerajaan maka dengan sendirinya BN tidak mempunyai nilai pemerintah yang baik dan perlu digulingkan kerana tidak bertanggungjawab kepada rakyat sendiri.

Dalam isu pemindahan para pelajar Malaysia di Mesir, sekali lagi rakyat dapat melihat bagaimana kerenah ahli politik BN. Adalah diharap mereka lebih terbuka dan mengutamakan kebajikan kemanusiaan daripada memikirkan kepentingan diri dengan hasrat menjadi hero kampung menunjuk kehebatan diri tetapi tanpa mereka sedari minda mereka seolah-olah terkongkong dalam tempurung. Dalam keadaan kecemasan dan darurat nilai sejagatlah yang menentukan atau menggambarkan samada seseorang pemimpin atau tokoh itu bijak, terbuka,telus dan luas pemikiran. Jadikanlah peristiwa pergolakan di Mesir ini sebagai teladan mahupun kayu pengukur nilai-nilai murni.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere