KECELUPARAN MCA: ORANG KUDUNG PUN DAPAT KAKI

0 comments

KECELUPARAN MCA: ORANG KUDUNG PUN DAPAT KAKI

Ketika MCA berpakat menyerang Pakatan Rakyat terutamanya PAS dalam persidangannya dan seterusnya berpanjangan selama sebulan di bulan lepas, Tun Sheikh berasa seolah-olah hari-hari yang dilalui itu memaksa tubuh Tun Sheikh melompat-lompat seperti dalam aksi berpencak-silat. Ini adalah bahana deringan telefon yang diterima dari sahabat handai saban hari minta Tun Sheikh menulis sesuatu atau mengemukakan sesuatu bantahan dengan cara apa sekalipun kepada MCA, BN dan UMNO.

Banyak kali Tun Sheikh mengingatkan mereka agar bersabar dan Tun Sheikh sendiri terpaksa menyabarkan diri kerana mengetahui itu adalah provokasi dari BN yang ditugaskan kepada MCA. Mereka mencari pasal dan tindakan perundangan tidak akan dikenakan kerana mereka berkuasa mengarahkan pembekuan tindakan dan hal ini semua orang tahu. Apa yang sangat menggusarkan Tun Sheikh ialah wanita hingusan MCA berani membuat fitnah menggempak dasar Islam PAS dan Pakatan Rakyat.  Beliau disokong oleh presidennya yang terkenal dengan menyimpan perempuan simpanan yang kelihatannya telah menjadi halal atau boleh diterima oleh masyarakat BN ketika ini kerana itu adalah kebiasaan yang dilakukan oleh orang Cina. Betul atau tidak,  tidaklah Tun Sheikh pasti , tetapi yang nyata Chua Bergolek terpilih dan diterima menjadi presiden MCA walaupun akhlaknya telah tercemar dengan perzinaan.

Daripada beberapa maklumat yang Tun Sheikh dapat bahawa,  mereka diarah untuk mencipta isu yang boleh menjadikan Pakatan Rakyat marah dan kalau boleh biar orang Melayu atau rakyat menjadi marah sehingga UMNO atau kerajaan boleh bertindak menjadi hero mengumumkan darurat jika perlu demi keharmonian dan keselamatan Negara. Jika difikir secara singkat, tindakan itu memang wajar kerana kepentingan keamanan Negara. Tetapi  bagi mereka yang mengamalkan nilai jati diri terpuji dalam diri, dapat merasa dan mengesan bahawa itu semua adalah agenda dan muslihat penjahat dan penipu bagi mengekalkan pengaruh dan kuasa.

Apa yang ingin Tun Sheikh perkatakan di sini ialah semangat Tun Sheikh begitu membara tetapi alhamdullillah kewajaran akal fikiran dan sedikit iman dan kesabaran dapat menenangkan Tun Sheikh. Lagi pun kita telah dididik dengan adab taat dan hormat kepada ulamak dan para musyid. Mereka begitu tenang melihat keadaan dan mengikuti perkembangan politik semasa dan mereka arif membedakan antara jahil, kejahatan, angkara syaitan mahupun Yahudi atau pendeknya mereka mengenal bilakah perlu megumumkan kita perlu keluar berjihad mempertahan agama.

 Kemuncaknya tentu berani  mati shahid terpimpin yang mendapat keredhoan Allah Swt. Kalau mengikut kecurangan UMNO  yang berkuasa dan memegang tampuk kerajaan memang telah banyak kali UMNO melatah dan bersubahat membuat provokasi tetapi alhamdullillah kerana di Negara kita masih ramai alim ulama bertaraf wali yang begitu tenang dan melihat UMNO bukanlah musuh Allah yang perlu disembelih mengikut ciri-ciri jihad fisabilillah yang dituntut.

 Para-para ulamak dan kekasih Allah ini sebenarnya terus memerhati. Mereka bersikap netral dan begitu tenang kerana begitu arif dengan qadaq dan qadar Allah Swt. Bayangkanlah jika mereka pernah melarang berdoa supaya di Thailand Selatan menjadi aman kerana jika aman bererti Allah menutup pintu jihad dan syurga mudah bagi yang sanggup shahid di sana. Fikir-firkanlah. Bagi mereka,  UMNO ialah sebuah entity atau budak-budak  pemain bola bersama para syaitan. Permainan itu memang seronok dan para syaitan begitu sombong dan ujub membuli budak-budak manusia UMNO ini.

Secara kerohanian dan firasat,  sebenarnya UMNO akan ditinggalkan oleh sekutunya kerana mereka juga tidak bersetuju pengkhianatan yang diamalkan oleh UMNO. Nilai kemanusiaan dan nilai kebudayaan manusia sejagat setiap hari merosot kerana UMNO lalai dengan roh dirinya sendiri. MCA difirasat sentiasa berkelakuan nakal yang disengajakan kerana sudah tidak sanggup menjadi pak turut UMNO tetapi kaki mereka dirantai. MCA sentiasa bijak mencari peluang kepentingan diri supaya dapat apa yang dihajati dan terpelihara dari dituduh belot oleh UMNO.  

Marilah sama-sama kita tingkatkan iman kita kerana hidup ketika ini adalah pakej nyawa dan usia kita. Bagaimana kita redha dan beramal atau membudayakan hidup seharian inilah yang dikira atau dihisab oleh Allah Swt. Tun Sheikh sangat kagum dengan sahabat Tun Sheikh yang telah kudung. Setiap hari beliau menghubungi Tun Sheikh mengingatkan bahawa jika Melayu atau orang Islam di Negara ini terpengaruh atau takut dengan kekuasaan UMNO maka syaitan akan berjaya menyesatkan mereka. Pak Engku malah mengajak Tun Sheikh berjumpa bertukar-tukar pendapat. Bayangkanlah dalam keadaan dia telah berusia lanjut dan kudung kaki sebelah, dia sanggup keluar rumah. Dia berkata " sesiapa yang coba memfitnah insan yang mencintai Allah seperti Tuan Guru Nik Aziz, aku sanggup menggadai nyawa mempertahankannya kerana aku tahu aku tidak sehebat Nik Aziz tetapi aku nampak pengorbanan dan teladan yang ditunjuki oleh Nik Aziz adalah satu dalam 100 ribu dalam dunia".

Pak Engku mengajak semua orang Islam di Negara ini bersyukur dan bermohonlah semoga Allah memperlihatkan rahmatNya yang diberikan melalui Nik Aziz untuk orang Melayu khasnya. Bagi Tun Sheikh, Pak Engku bukan berpura-pura atau berlakon sahaja tetapi beliau benar-benar bersemangat. Usianya yang sudah lanjut ke 85 tahun tidak menghalang beliau membuktikan bahawa  seolah-olah kakinya masih tetap ada. Bagi Tun Sheikh, Pak Engku diumpamakan seperti sikudung yang beriman dan semangat jihadnya adalah begitu kuat dan hebat seperti memiliki kaki.

Jadi,  harap-harap UMNO dapat petunjuk dan tidak terus tenggelam dengan kenikmatan hasil haram. Ingatlah bahawa roh agama itu milik Allah yang berupaya dan berkuasa mengadakan yang tiada menjadi ada. Yang jelas, sesiapa yang terputus dengan tali Allah kerana melakukan hal-hal yang dilarangNYA maka tidak disangsikan lagi tempatnya adalah neraka.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Damansara KL 20.11.2012

DIA BENTENG ISLAM MELAYU MODEN MALAYSIA

0 comments

DIA BENTENG ISLAM MELAYU MODEN MALAYSIA

Masa muda-muda dulu dia dituduh sebagai Wahabi. Sesiapa yang bersetuju atau cuba dekat dengan dia,  dituduh telah termakan hasutan dan terpengaruh dengan ajaran sesat. Ada juga yang kata dia Syiah. Dia juga dituduh sebagai Golongan Kaum Muda dan mesti ditolak serta diharamkan. Mereka dianggap terlalu ekstrim dan darah muda mereka boleh menyebabkan Negara huru-hara. Namun ahli kumpulan malah mereka yang berminat terhadap perjuangan Angkatan Muda atau Kaum Muda sedar, mereka terpaksa melembutkan sedikit teknik dakwah dari provakasi membebaskan minda dari menerima dan menyanjung  penjajah. Ilmu yang tinggi mendorong kebernasan mereka berfikir dan bertoleransi.

  Masyarakat Melayu menganggap penjajah  tidak bahaya kerana tidak menggugat kehidupan mahupun hidup beribadat dalam agama. Orang Melayu tidak nampak keperluan berubah kerana fahaman dan falsafah,  “Agama lain dan hidup atau adat  dunia lain” memang telah lama sebati dan tidak perlu disatukan. Mereka tidak nampak  diperbodohkan oleh sikafir atau penjajah kerana segala arahan, peraturan dan undang-undang adalah atas nama raja atau sultan. Sultan pula adalah penaung tertinggi agama.

Segala kehendak dan arahan penjajah melalui sultan dianggap sebagai titah Sultan dan itulah daulat Sultan meskipun hasil dan faedah besar dinikmati oleh penjajah. Angkatan Kaum Muda  terus berdakwah untuk paradigma minda masyarakat Islam Tanah Melayu dan Nusantara supaya bersemangat memperjuangkan kebebasan diri bagi menentukan cara hidup beragama mengikut acuan AlQuran dan Sunnah. Sekali-kali bukan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh penjajah menerusi kedaulatan raja-raja. Mereka tahu bahawa budaya Melayu ketika itu malah sampai ke hari ini masih terkongkong dengan kuasa pemerintah dan tidak berani membebaskan minda untuk mengamalkan hidup Islam mengikut panduan AlQuran dan Sunnah.

 Otak Melayu majoritinya sehingga ke hari ini masih feudal. Angkatan Kaum Muda faham bahawa budaya Melayu telah sekian lama  begitu  serasi dan membudayakan cara hidup yang memisahkan soal ibadah dan amalan akhirat dengan penghidupan duniawi. Mereka telah mengubah haluan dan cara berdakwah yang dibawa dari Timur Tengah dengan menceburkan diri dalam bidang penulisan dan penerbitan dan telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Perjuangan utama mereka ialah menerapkan kefahaman bahawa hidup ini mestilah dengan budaya agama sebagaimana petunjuk Quran dan Hadis dalam segala hal. Tiada pemisahan terutamanya dalam soal penghidupan seharian dengan amalan akhirat.

 Pada tahun 1930-an mereka telah berjaya menanam benih pemikiran kritis berasaskan fakta dan maklumat berita dari serata dunia. Mereka berjaya mengupas dan mengolah maklumat dan berita yang diterima bersesuaian dengan bimbingan dan kehendak agama serta kesesuaian zaman. Mereka secara lansung telah melibatkan diri dalam perkembangan, pemikiran dan pergerakan politik. Bapa atau pelopor Angkatan Kaum Muda di dunia Melayu ialah Sheikh Tahir Jalalludin. Bekalan ilmu dari Mesir dan dari negeri-negeri Timur Tengah lain dibawa dan disebarkannya di Sumatera, Jawa, Singapura, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan P. Pinang. Beliau sudah lama pergi dan begitu juga tokoh-tokoh sefahaman beliau seperti Sheikh Al Hadi. Anaknya Sheikh Hamdan Sheikh Tahir juga sempat mencipta nama dan juga telah meninggalkan kita. Namun kefahaman dan perjuangan mereka masih wujud dan berterusan.

 Kini meskipun  Tuan Guru Nik Aziz tidak lagi menjadi ikon Kaum Muda mahupun Wahabi tetapi penerapan nilai tasauf, kewarakan dan ketawadhukan beliau sabagai hamba kepada Allah yang diamal dan dibudayakannya dalam kehidupannya sebagai cara hidup Islam melayakkan beliau dinobat sebagai ‘Benteng Islam Melayu Moden’. Gantinama Dia sebagaimana tersebut di atas adalah di maksudkan kepada dirinya. Itulah Nik Aziz bin Nik Mat yang pada suatu ketika dulu pernah mengharungi pelbagai fitnah, dugaan dan pancaroba sama ada pemikiran Islam mahupun  cara beliau beramal membudayakan hidup sehariannya. Ternyata beliau di selamatkan oleh Allah sehingga kelihatan seolah-olah seperti kebal daripada serangan musuh yang munafik, fasik mahupun sikafir.

 Beliau tidak meninggi diri tetapi terus menunjukkan teladan dan kepimpinan Islam yang berpandukan Quran dan Hadis sehingga musuh-musuhnya terkedu dan ada yang kecewa dan membunuh diri sendiri. Tuan Guru Nik Aziz sebenarnya adalah seorang ilmuan agama. Beliau juga adalah seorang ilmuan duniawi. Beliau adalah seorang ulamak yang hormat dan mengamalkan ilmunya. Berkahnya terpapar dari kekuhannya yang tetap berpegang kepada tali Allah dalam segala hujah dan pandangan. Lidahnya masin dan ciri-ciri ulamak mewarsi nabi sebagaimana petunjuk Quran dan Hadis ada pada dirinya.

Maka sungguh jahatlah sesiapa sahaja yang mengaku Islam termasuk simunafik, sifasik dan sikafir yang bersungguh-sungguh berusaha meruntuhkan benteng agama yang diteladaninya. Biar Allah menentukan takdirNYA dan percayalah bahawa selagi tubuh  TGNA masih berhayat walau hanya di perbaringkan, aura, naunsa dan ambion pada dirinya masih berupaya berperanan sebagai Benteng Islam Orang Melayu Moden Malaysia pada hari ini Insyaallah!!!

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Tabung Haji Kelana Jaya 10.10.2012

PAK ENGKU RAJA KUDUNG

0 comments

PAK ENGKU RAJA KUDUNG

Tun Sheikh tidak percaya apabila pada suatu hari pada bulan Mac tahun ini, menerima panggilan telefon daripada seorang yang Tun Sheikh hormati mengatakan dia telah kudung kaki. Tergiur-ngiur katanya, “ Sheikh, Pak Engku dah kudung kaki”. Tun Sheikh bertanya meskipun memang hafal nombor telefonnya yang tertera, “ Ini Pak Engku kan? Betulke apa yang Pak Engku kata ni? Atau Pak Engku bergurau?”

 Bukan apa, Pak Engku adalah seorang tua kerabat Diraja yang suka bergurau dengan sesiapa. Meskipun begitu gurauannya tidaklah melampau sangat hingga lupa daratan sebaliknya penuh dengan sindiran dan pengajaran. Beliau  anggap gurauannya memberi  peluang berdakwah,  mahupun menegur seseorang secara halus tanpa menyentuh atau menyakitkan hati. Gurauannya sering mewujudkan suasana ceria  kepada semua orang tidak kira perbedaan pangkat kedudukan sosial atau lapisan umur. Beliau berasakan dengan cara itu beliau dapat menyumbang atau beramal kerana orang suka dengan caranya begitu.

Berita kudung yang disampaikan susah diterima oleh Tun Sheikh kerana baru sebulan Tun Sheikh sekeluarga menjengok beliau di Hospital Islam Kampung Baru dan mendapati beliau sihat. Doktor memberitahu Pak Engku boleh pulang dua hari lagi. Telah dua minggu beliau dirawat di situ. Beliau menerima rawatan di hospital setelah diserang sesak nafas yang tidak pernah dialami dan diduganya tetapi bernasib baik kerana  cepat mendapat rawatan dan dapat dikawal.  Sebelum itu beliau juga pernah dirawat di hospital yang sama pada November tahun lepas dan pulih seperti biasa setelah tiga minggu dirawat  kerana diserang strok. Beliau mengadu tidak selesa di hospital kerana beliau memang seorang tua yang ceria dan lincah, suka bergurau dan bercerita mengenai hal-hal ugama, politik Islam dan kebenciannya terhadap kesonsangan atau amalan rasuah kerajaan yang pecah amanah.

Beliau memberitahu Tun Sheikh bahawa beliau tidak suka tinggal di hospital kerana menyusahkan anak cucu, saudara mara dan sahabat handai yang akan bersusah payah datang menziarahi beliau  meskipun bilik beliau amat selesa jika dibandingkan dengan pesakit   lain. Sebenarnya sejak usia muda beliau beperwatakan bebas tidak suka dikongkongi.

Oleh kerana pada hari menerima panggilan itu, Tun Sheikh tidak berkesempatan menziarahinya, pada keesokannya Tun Sheikh bersama isteri melawat beliau di Kota Kemuning Shah Alam. Beliau tinggal bersama anak perempuannya.  Sesampai sahaja di rumahnya dan bersalaman,  Tun Sheikh terus meraba-raba kaki di dalam kainnya. Beliau tersenyum saja dan tidak berasa janggal kerana Tun Sheikh macam anaknya sahaja. Tun Sheikh lakukan begitu kerana masih tidak yakin dan percaya bahawa beliau telah kudung. Dan pada hari itu ternyata kaki kanan dari betis ke bawah memang telah tiada dan bekas luka dipotong masih segar meskipun sudah kering dan sembuh.

Tun Sheikh bertanya bagaimana keadaannya dan juga macam mana perasaan beliau dengan keadaan kudung itu. Selamba sahaja Pak Engku berkata bahawa dia redha dengan ketetapan Allah. Beliau mengaku sudah banyak rahmat dan mensyukuri segala nikmat termasuk nikmat kaki kudung. Tun Sheikh amat faham apa yang dimaksudkannya kerana beliau sangat meminati ilmu tasauf. Dia terus bertanya khabar  Tun Sheikh kerana dia dapat berita dari teman-teman lain mengatakan kesihatan Tun Sheikh sering terganggu kerana mengidap diabetis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Tun Sheikh memberitahu kepadanya kesihatan tidak stabil kerana terlalu menjaga paras gula berikutan luka terpijak paku  masih belum baik. Setelah melihat luka kaki Tun Sheikh dia menyarankan Tun Sheikh mengambil jus pati ikan haruan kerana luka kaki beliau cepat sembuh setelah dipotong walau pun beliau juga mengidap penyakit kencing manis apabila mengamal meminum jus itu.

Beliau tidak lupa menasihati Tun Sheikh supaya menggandakan amalan, berzikir dan redha. Beliau sempat  bergurau mengatakan dia tidak mahu Tun Sheikh mati dahulu daripada dirinya yang telah berusia 83 tahun. Cerita bab mati, Tun Sheikh minta beliau doakan semoga hayat terakhir Tun Sheikh jatuh pada hari Jumaat. Beliau terus tersedu tapi katanya bukan sedih dan takut atau tidak mahu mendoakan kecuali spontan teringatkan sahabat yang telah meninggal pada hari Jumaat 1 April tahun lepas pada usia 55 tahun. Ketika kami menziarahi di hari kematian kelihatan wajahnya berseri seolah-olah tersenyum. Kami berasa sahabat kami,  Hj Abu sungguh beruntung kerana telah meninggal dunia pada hari Jumaat.

Pesanan Pak Engku Raja ketika Tun Sheikh mahu pulang ialah “beramal dan berzikirlah dengan ikhlas sehingga kamu tidak merasakan kewujudan dirimu.” Tun Sheikh nukilkan di sini untuk renungan dan semoga kita mendapat pengajaran dan manfaatnya bersama.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
20.7.2012 Rawang Selangor.

Arab Saudi Tidak Memainkan Peranan Sebagai Pusat Atau Penyatu Islam?

0 comments
Arab Saudi Tidak Memainkan Peranan Sebagai Pusat Atau Penyatu Islam?

Apabila kita di bumi Allah ini hidup  tanpa kesedaran betapa besarnya kuasa Tuhan dan mesti mengikut petunjukNya, maka jadilah kita  hamba kepada pemikiran yang dikuasai oleh nafsu. Nafsu yang tidak pernah berasa puas dan batas kecuali mati itu akan meyakinkan kita bahawa keupayaan kita melakukan segala sesuatu adalah hasil dari pemikiran yang juga tidak terbatas jika tidak bertauhid.

Tun Sheikh ternostalgia apabila Bersih 28 April diisytihar haram  oleh BN dan dipaksa bertanggongjawab jika kerajaan Arab Saudi menutup pintu melakukan  ibadah haji dan umrah kepada rakyat Malaysia pada tahun ini gara-gara demontrasi Bersih di Mekah dan Madinah. Tun Sheikh yakin syaitan manusia yang berselindung disebalik ini akan berjaya menanam rasa kebencian rakyat terhadap Bersih terutamanya bakal jemaah haji dan umrah dan saudara mara dan kaum kerabat mereka yang gagal ke sana.

Namun begitu, Tun Sheikh amat yakin setelah syaitan manusia ini tersenyum kerana kejayaan itu mereka akan terlaknat oleh Allah kerana apa yang mereka hajatkan dan berjaya di mata kasar manusia sebenarnya  adalah istidraj yang menambah jauhkan mereka dari sisi Allah. Mereka yang kecewa kerana tidak sampai hajat mahu ke Mekah dan yang kecewa kerana Bersih dinajiskan sebenarnya adalah sebagai dugaan iman dan pembersihan jiwa oleh Allah Swt. 
 
Tun Sheikh masih ingat ketika permohonan hendak menunaikan haji ditolak oleh Tabung Haji 17 tahun yang lalu,  dengan alasan Tun Sheikh tidak menabung dan masih muda untuk menunaikannya. Hanya dinasihati bersabar dan memberi peluang kepada orang yang telah lama menabung dan yang telah berusia tanpa memberi sebarang harapan dan saranan lain, adalah sangat mengecewakan Tun Sheikh. Terbayang bahawa Tun Sheikh terpaksa membuka akaun Tabung Haji dan akan mendapat giliran 5 tahun lagi atau di tahun hadapan dengan pakej mewah. Tabung Haji seolah-olah menolak mentah hajat Tun Sheikh hendak ke Mekah pada tahun itu juga kerana bukan ahli dan ahlinya pula yang diberi keutamaan ialah ahli yang telah 5 tahun dan mengikut giliran kecuali ahli yang sanggup mengikut pakej yang harganya berlipat kali ganda.

 Kerana jiwa ini telah terasa terpanggil, termimpi-mimpi  dan merindui Tanah Suci, Tun Sheikh telah berusaha mencari alternatif lain. Beberapa   kenalan sekuliah Tun Sheikh yang berasal dari Kedah dan Kelantan ketika menduduki Pengajian Diploma Tasauur Islam, yang boleh dipanggil bapa kerana usia mereka dan mempunyai pengalaman telah menyarankan Tun Sheikh pergi melalui Bangkok, London, Eropah atau Singapura.  Tun Sheikh dapati banyak juga risikonya dan kosnya juga mahal. Nasib Tun Sheikh baik,  ketika berhubung dengan agen di Singapura, mereka tiada kuota untuk warga Negara Malaysia tetapi syarikat itu ada cara lain iaitu menggunakan visa umrah untuk tinggal di Mekah dan menunaikan haji. 

Kelebihan syarikat itu ialah share partner syarikat adalah warga negara Arab yang ada hubungan dengan keluarga kedutaan Arab Singapura dan pembesar Arab Saudi. Syarikat mereka beroperasi di Indonesia, Malaysia, Thailand, Brunai, Filipina di samping di Mekah dan Madinah dan terdapat agen-agen mereka di Mesir, Turki, Libya dan Negara-negara Arab lain. Mereka menyuruh Tun Sheikh memasukkan wang perbelanjaan kos sara hidup sepanjang 6 bulan  dalam akaun syarikatnya di Mekah sebagai jaminan jika berlaku sesuatu dan menempah tiket pergi dan balik dengan menggunakan Syarikat Penerbangan Saudi Air.

 Selain itu,  agennya di Mekah berusaha mendapatkan pas belajar pondok atau pas pengesahan murid Jawi daripada ulamak tersohor (Almarhum Maulana Sheikh Abdul Karim Al Banjari) yang mewakili orang Melayu (Jawi) di Mesjidilharam. Syaratnya, Tun Sheikh dikehendaki datang belajar dengannya di Mesjidilharam dan tidak dibenarkan bekerja atau mengambil kesempatan mencari pencarian hidup kecuali menunaikan ibadah umrah dan belajar sehingga masuk musim haji. Tun Sheikh telah menghubungi beberapa kenalan para ustad, sahabat Tun Sheikh yang berada di Mekah dan telah mengesahkan cara itu. Mereka juga bersedia membantu kerana selama ini ia digunakan oleh pelajar-pelajar Malaysia yang berlatar belakangkan sekolah pondok melanjutkan pelajaran pondok mereka dibawah pimpinan ulamak tersohor di Mekah. 

 Segalanya diuruskan oleh agen dari Singapura itu jika Tun Sheikh bersetuju. Tun Sheikh memang berniat melanjutkan pelajaran agama di Mekah bukan sahaja selama 6 bulan tetapi jika sesuai sehingga khatam. Tun Sheikh sangat gembira dan terkejut jumlah kos selama 6 bulan itu bersamaan kos haji menggunakan muasasah dan tinggal 40 hari dan berkongsi beramai-ramai sebilik ketika itu. Sebaliknya, Tun Sheikh dapat kemudahan tinggal di rumah penduduk tempatan yang ada kontrak dengan syarikat itu iaitu berdua sebilik. Bayangkan bertapa untungnya perniagaan monopoli Tabung Haji. Dan dengan izin Allah, Tun Sheikh berjaya sampai, menunaikan ibadat umrah, belajar agama dengan Sheikh Abdul Karim Al Banjari dan beberapa bekas mufti Melayu Mesjidilharam dan juga menunaikan fardhu haji, Alhamdulillah.

 Ketika menunggu musim haji ramai juga pelajar Jawi ditangkap tetapi istimewanya pelajar dari Malaysia dilepaskan kerana mereka tidak seperti pelajar dari Filipina, Indonesia, Pakistan, Bangaladesh yang datang kosong dan mencari pencarian hidup untuk diri dan keluarga di tanahair. 

Pelajar kita seolah-olah dikenali dengan ikon serban putih dengan jubah atau gamis yang juga putih, kemas dan bersopan santun. Apabila bertembung dengan polis atau penduduk tempatan, mereka akan bertanya 'Adakah kamu dari Malaysia?" Bila dijawab "ya", mereka akan menyambung "Anwar Ibrahim?" sambil angkat tangan menunjukkan lambang " baik/good" dan berkata "toyib" yang bererti bagus dan pergi dengan senyuman ikhlas.

Sayangnya, Tun Sheikh difahamkan beberapa tahun selepas Tun Sheikh kembali ke tanahair,  kerajaan BN  pimpinan Dr Mahathir seperti tidak suka populariti DSAI di Timur Tengah dan bimbang semua pelajar Islam menyokongnya lalu BN telah mementerai perjanjian dan MOU supaya menangkap dan menghantar pulang semua rakyat Malaysia yang masuk menggunakan visa umrah sama ada belajar atau duduk menunggu musim haji dan menyekat pemergian pelajar-pelajar Melayu yang ingin melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah kecuali melalui dan kelulusan Kementerian Pelajaran sahaja. Semua orang yang berjiwa dan mempunyai ruh Islam amat faham pengertian dan maksud BN. Maka teraniayalah dan tertutuplah peluang pelajar Melayu pondok menimba ilmu dibawah Sheikh tersohor di Mesjidilharam dan ke Timur Tengah.
 
Itulah yang akan terjadi kepada penyokong Bersih yang dipersalahkan kerana BN memang mempunyai hubungan diplomatik sekular dengan kerajaan Arab Saudi yang juga di pengaruhi oleh sekular Amerika. Mereka akan menguar-uarkan ia sebagai kehendak kerajaan Arab Saudi tetapi sebenarnya jika tiada ketegasan yang boleh dianggap sebagai hasutan maka kerajaan Arab Saudi boleh dikatakan lebih tinggi budi bicaranya berbanding BN.

Arab Saudi mungkin sadar mereka yang seharusnya memainkan peranan sebagai tempat menyelesaikan isu Islam atau tempat mengadu permasalahan umat Islam dan penyatuan umat tetapi tidak  menjalankan tanggongjawabnya kerana terikat dengan pengaruh dan sistem Amerika dan Yahudi yang hidup di dunia ini dengan kesombongan pemikiran dan nafsu.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Damansara KL 9.5.2012

Dato’ Hassan Ali dan Prinsip-prinsip Perjuangan Islam

0 comments

Dato’ Hassan Ali dan Prinsip-prinsip Perjuangan Islam

Dua minggu sebelum Dato’ Hassan Ali dipecat, Tun Sheikh secara kebetulan bersua Dato’ Mustapha Setiausaha Agong PAS di Hospital Pakar Tawakal Kuala Lumpur. Tun Sheikh ke situ kerana demam dan tidak sihat. Semasa sama-sama menunggu panggilan dari kaunter pendaftaran Tun Sheikh telah mengambil peluang untuk berbual-bual dengan beliau. Apa yang menariknya ialah tokoh-tokoh kepimpinan PAS ini rata-rata bersikap jujur dan tenang. Tun Sheikh berasa lapang kerana mereka begitu mesra walaupun tidak mengenali kita. Tun Sheikh percaya ini adalah kerana mereka tidak bersangka buruk kepada sesiapa. Mereka telus dan sentiasa menjadikan hujah dari qalam Allah mahupun hadis dan sunnah sebagai panduan dan pegangan. Jika kita melakukan kesilapan umum mahupun pribadi mereka mudah memaafkannya. Mereka mengutamakan dasar-dasar syariah daripada pandangan atau kepentingan peribadi sendiri. Ciri-ciri inilah yang tidak banyak ada pada kepimpinan Melayu UMNO.

Tun Sheikh sempat memperkenalkan diri sebagai orang biasa yang pernah mengikuti ceramah atau kelas Dato’ Hassan Ali mengenai ilmu keibubapaan dan kekeluargaan sebelum Dato’ Hassan menyertai PAS. Tun Sheikh juga pernah mengikuti kuliah Ustaz Nasaruddin Mat Isa sehingga berjaya memperolehi segulung diploma Tassawur Islam. Tun Sheikh juga memberitahu, Tun Sheikh berasal dari Johor yang terkenal dengan UMNO totoknya. Tun Sheikh juga mengakui bahawa sumbangan besar Dato’ Hassan memang banyak terutama dalam bidang kepakarannya itu kerana boleh dikatakan Tun Sheikh berjaya membina keluarga dan mendidik anak-anak mengikut nasihat atau ilmu yang didapati daripada kelas beliau. Tun Sheikh hanya menambah dan menyesuaikan serta menyelaraskan dengan pendidikan Islam dan hasilnya memang memberangsangkan. Tun Sheikh juga secara berterus terang memang meminati Dato’ Hassan Ali dan pemikirannya malah menghormatinya.

Tun Sheikh bertanya pandangan Dato’ Mustapha mengenai Dato’ Hassan Ali yang digemburkan oleh media dan jawapannya secara bersahaja dan menepati atau menyenangkan Tun Sheikh kerana harapan dan pandangan Tun Sheikh terhadap Dato’ Hassan Ali serupa malah dipersetujui bersama oleh Dato’ Mustapha. Dato’ Mustapha memberitahu bahawa Dato’ Hassan terperangkap dan diperangkap oleh pakar strateji UMNO yang gerun terhadap kemajuan dan kebangkitan PAS. Dato’ Hassan telah diperguna oleh mereka secara halus dan kesilapan Dato’ Hassan ialah tidak merujuk dan meminta restu atau nasihat dari Majlis Syura/Ulamak PAS. Di sinilah letaknya kelemahan Dato’ Hassan Ali kerana banyak pembaharuan yang dibawanya dirasanya telah memberi faedah yang besar kepada PAS. Dato’ Hassan tidak sabar kerana sesuatu keputusan atau nasihat mahupun fatwa dari majlis syurat ini dianggap terlalu lambat. Dato’ Hassan terlupa bahawa Majlis Syura terdiri dari mereka yang ahli dan pakar dalam pelbagai bidang dan sesuatu isu perlu dikaji, diselidik dan ditapis sehalus mungkin sehingga keputusan yang dikeluarkan menjadi pegangan asas atau dasar yang sesuai dan tidak bercanggah dengan Quran dan Sunah mahupun pandangan ijmak ulamak yang telah ada dan adat yang tidak menyalahi syarak.

Seminggu setelah pertemuan itu Dato’ Mustapha mengumumkan pandangannya dalam akhbar Harakah tetapi tidak dipersetujui oleh Dato’ Hassan Ali sehingga selaku Setiausaha Agong PAS, Dato’ Mustapha terpaksa membuat beberapa kenyataan akhbar untuk bertahan dari penyelewengan fakta yang dimainkan oleh media UMNO. Dato’ Hassan terus dengan pendiriannya seolah-olah terbela dengan pandangan atau mempunyai pengikut ramai yang menyokongnya. Padahal itu hanyalah ilusi jahat ciptaan UMNO untuk merosakkan keyakinan rakyat terhadap dasar PAS. UMNO takut jika wibawa Dato’ Hassan terus membuka mata kumpulan professional untuk menyertai PR. Mereka yakin jika para ilmuan skular, pakar dan para professional ini tidak serasi dengan cara dan gaya PAS, mereka masih terbuka untuk menyertai PKR atau DAP yang sama objektif kearah menubuhkan sebuah kerajaan berkebajikan untuk semua rakyat, telus dan amanah dari segala penyelewengan. Pada waktu yang sama pemimpin UMNO yakin mereka akan terus gagal jika cuba membersihkan UMNO daripada budaya rasuah dan pelbagai penyelewengan yang tidak disukai rakyat terutamanya para ilmuan dan para professional.

Akhirnya, Dato’ Hassan Ali dipecat yang dianggapnya sebagai keputusan gopoh dan dipengaruhi oleh PKR. Sebenarnya beliau telah lama diperhatikan sejak beliau menyertai PAS dulu. Beliau sering dinasihati dan berbincang mengenai kuasa ekserkutif Majlis Syuara/Ulamak sebagai suatu entity tertinggi dalam birokrasi Islam. Mungkin kerana menghormati ketokohan dan kepakaran beliau, perbincangan dan nasihat adalah dalam bentuk terbuka dan bukan sebagai arahan. Kepimpinan berharap beliau mengerti dan dapat menerimanya kerana beliau seorang tokoh ilmuan yang dianggap bijak dan cerdik. Beliau memang berilmu tinggi tetapi kejayaan beliau telah mencuri waktu beliau sehingga tidak mempunyai masa untuk mentelaah ilmu-ilmu keibubapaan dari sumber islam. Tidak banyak yang dapat beliau ubah dan alih teori dan dasar ilmu keibubapaan skular menjadi atau selaras dengan sumber Islam. Hal ini telah membuat Dato’ Hassan seolah-olah terlupa bahawa segala ilmu itu telah disempurnakan oleh Allah, cuma kita sahaja dimaklumkan daripada akses pembelajaran kita sama ada sumber itu dari seseorang tokoh ilmuan terkenal atau dari sumber Islam dan sebagainya. Segala ilmu dari Allah tetapi yang buruk itu wajar kita akui dari dan kerana kelemahan diri kita. Kuasa ikhtiar dan kuasa memilih serta usaha kita itu menentukan sama ada ilmu itu kita akui dari Allah atau sebaliknya dan ini dipertanggongjawabkan ke bahu kita oleh Allah Swt.

Tun Sheikh rasa disinilah Dato’ Hassan tersilap kerana kejayaan beliau membuktikan bahawa ilmu atau kepakaran yang ada pada dirinya telah pun sampai dan diterima masyarakat umum telah melupakan beliau bahawa Majlis Syura/Ulamak adalah badan yang mempunyai kuasa pemutus tertinggi dan tidak tergugat atau boleh diganggu-gugat. Keadaan yang tenang walau dalam apa jua keadaan yang diamalkan oleh Majlis Syura PAS dilihat seolah-olah tidak memainkan peranan secara optima dan proaktif. Bagi Tun Sheikh, segala tindakan Dato’ Hassan yang mendahului keputusan atau restu Majlis syura telah mengakibatkan keyakinan Dato’ Hassan terhadap majlis itu tipis. Manakala ketenangan Majlis Syura dalam segala keadaan adalah membayangkan mereka berpendirian tegas dangan sumber utama Quran dan Hadis dan itulah ciri-ciri keimanan kerana mengetahui kuasa dan redha ketentuan Allah.

Dato’ Hassan terlupa kekurangan dirinya dalam bab-bab yang bersangkut paut dengan syariat Islam sehingga menjadi cara dan gaya hidup seorang muslim adalah menjadi matlamat utama Majlis Syura/Ulmak PAS. Dato’ Hassan Ali sebenarnya bukanlah suka kepada UMNO kerana rasa kecintaan Islamnya telah memperlihatkan perilaku kecurangan UMNO. Beliau juga tidak sabar dengan apa yang dianggap kelembapan atau lambat PAS bertindak terhadap sesuatu isu. Beliau betul-betul terlupa bahawa kepimpinan PAS tidak membuat keputusan mengikut sesedap hati atau fikiran. Beliau begitu yakin kelembapan inilah yang membuat PAS tercicir. Dan beliau sangat bersetuju bahawa PAS kelihatan bergerak maju apabila banyak ahli-ahli berpendidikan skular dan professional seperti beliau menyertai PAS kerana beliau sendiri telah berusaha dan menarik ramai Melayu skular dan professional yang tiada berlatar belakang agama menyertai PAS. Hal ini pula sangat dikhuatiri UMNO kerana PAS selama ini dilihat jumud kerana ketiadaan professional di dalamnya. Mereka, para ulama dan para ustaz sering diperlekeh kerana gagal menunjukkan kecekapan pelaksanaaan tadbir yang sistematis dan cemerlang.

Apabila PAS berjaya menerangkan kesederhanaan Islam yang prihatin kepada seluruh manusia meskipun kepada yang kafir dan menerangkan penyelewengan Melayu UMNO sehingga menarik ramai kaum India dan Cina dan yang bukan beragama Islam menyokongnya, UMNO bertambah curiga jika tembelangnya akan pecah dan terus merencana pelbagai onar untuk melemahkan PAS. PAS pula sangat mengenali prinsip dan dasar UMNO yang double standard dan hipokrit. Mereka banyak berdoa dan menyerah takdir kepada Allah yang memiliki rencana terbaik. Itu pun setelah PAS bertungkus lumus menampan dalam keadaan serba kekurangan. Namun mereka tetap yakin mereka akan dikurniakan dua kemenangan iaitu di dunia meskipun mungkin kalah dan dianiaya serta difitnah di dunia, mereka menang dengan kesabaran. Dan di akhirat tentu sahaja janji tuhan tidak bohong. Marilah kita semua berdoa semoga Tuhan membuka pintu hati kita untuk mengimarakkan Sunatullah,sunahNYA. Amin….

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Kuala Lumpur 25.1.2012

 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere