Arab Saudi Tidak Memainkan Peranan Sebagai Pusat Atau Penyatu Islam?

0 comments
Arab Saudi Tidak Memainkan Peranan Sebagai Pusat Atau Penyatu Islam?

Apabila kita di bumi Allah ini hidup  tanpa kesedaran betapa besarnya kuasa Tuhan dan mesti mengikut petunjukNya, maka jadilah kita  hamba kepada pemikiran yang dikuasai oleh nafsu. Nafsu yang tidak pernah berasa puas dan batas kecuali mati itu akan meyakinkan kita bahawa keupayaan kita melakukan segala sesuatu adalah hasil dari pemikiran yang juga tidak terbatas jika tidak bertauhid.

Tun Sheikh ternostalgia apabila Bersih 28 April diisytihar haram  oleh BN dan dipaksa bertanggongjawab jika kerajaan Arab Saudi menutup pintu melakukan  ibadah haji dan umrah kepada rakyat Malaysia pada tahun ini gara-gara demontrasi Bersih di Mekah dan Madinah. Tun Sheikh yakin syaitan manusia yang berselindung disebalik ini akan berjaya menanam rasa kebencian rakyat terhadap Bersih terutamanya bakal jemaah haji dan umrah dan saudara mara dan kaum kerabat mereka yang gagal ke sana.

Namun begitu, Tun Sheikh amat yakin setelah syaitan manusia ini tersenyum kerana kejayaan itu mereka akan terlaknat oleh Allah kerana apa yang mereka hajatkan dan berjaya di mata kasar manusia sebenarnya  adalah istidraj yang menambah jauhkan mereka dari sisi Allah. Mereka yang kecewa kerana tidak sampai hajat mahu ke Mekah dan yang kecewa kerana Bersih dinajiskan sebenarnya adalah sebagai dugaan iman dan pembersihan jiwa oleh Allah Swt. 
 
Tun Sheikh masih ingat ketika permohonan hendak menunaikan haji ditolak oleh Tabung Haji 17 tahun yang lalu,  dengan alasan Tun Sheikh tidak menabung dan masih muda untuk menunaikannya. Hanya dinasihati bersabar dan memberi peluang kepada orang yang telah lama menabung dan yang telah berusia tanpa memberi sebarang harapan dan saranan lain, adalah sangat mengecewakan Tun Sheikh. Terbayang bahawa Tun Sheikh terpaksa membuka akaun Tabung Haji dan akan mendapat giliran 5 tahun lagi atau di tahun hadapan dengan pakej mewah. Tabung Haji seolah-olah menolak mentah hajat Tun Sheikh hendak ke Mekah pada tahun itu juga kerana bukan ahli dan ahlinya pula yang diberi keutamaan ialah ahli yang telah 5 tahun dan mengikut giliran kecuali ahli yang sanggup mengikut pakej yang harganya berlipat kali ganda.

 Kerana jiwa ini telah terasa terpanggil, termimpi-mimpi  dan merindui Tanah Suci, Tun Sheikh telah berusaha mencari alternatif lain. Beberapa   kenalan sekuliah Tun Sheikh yang berasal dari Kedah dan Kelantan ketika menduduki Pengajian Diploma Tasauur Islam, yang boleh dipanggil bapa kerana usia mereka dan mempunyai pengalaman telah menyarankan Tun Sheikh pergi melalui Bangkok, London, Eropah atau Singapura.  Tun Sheikh dapati banyak juga risikonya dan kosnya juga mahal. Nasib Tun Sheikh baik,  ketika berhubung dengan agen di Singapura, mereka tiada kuota untuk warga Negara Malaysia tetapi syarikat itu ada cara lain iaitu menggunakan visa umrah untuk tinggal di Mekah dan menunaikan haji. 

Kelebihan syarikat itu ialah share partner syarikat adalah warga negara Arab yang ada hubungan dengan keluarga kedutaan Arab Singapura dan pembesar Arab Saudi. Syarikat mereka beroperasi di Indonesia, Malaysia, Thailand, Brunai, Filipina di samping di Mekah dan Madinah dan terdapat agen-agen mereka di Mesir, Turki, Libya dan Negara-negara Arab lain. Mereka menyuruh Tun Sheikh memasukkan wang perbelanjaan kos sara hidup sepanjang 6 bulan  dalam akaun syarikatnya di Mekah sebagai jaminan jika berlaku sesuatu dan menempah tiket pergi dan balik dengan menggunakan Syarikat Penerbangan Saudi Air.

 Selain itu,  agennya di Mekah berusaha mendapatkan pas belajar pondok atau pas pengesahan murid Jawi daripada ulamak tersohor (Almarhum Maulana Sheikh Abdul Karim Al Banjari) yang mewakili orang Melayu (Jawi) di Mesjidilharam. Syaratnya, Tun Sheikh dikehendaki datang belajar dengannya di Mesjidilharam dan tidak dibenarkan bekerja atau mengambil kesempatan mencari pencarian hidup kecuali menunaikan ibadah umrah dan belajar sehingga masuk musim haji. Tun Sheikh telah menghubungi beberapa kenalan para ustad, sahabat Tun Sheikh yang berada di Mekah dan telah mengesahkan cara itu. Mereka juga bersedia membantu kerana selama ini ia digunakan oleh pelajar-pelajar Malaysia yang berlatar belakangkan sekolah pondok melanjutkan pelajaran pondok mereka dibawah pimpinan ulamak tersohor di Mekah. 

 Segalanya diuruskan oleh agen dari Singapura itu jika Tun Sheikh bersetuju. Tun Sheikh memang berniat melanjutkan pelajaran agama di Mekah bukan sahaja selama 6 bulan tetapi jika sesuai sehingga khatam. Tun Sheikh sangat gembira dan terkejut jumlah kos selama 6 bulan itu bersamaan kos haji menggunakan muasasah dan tinggal 40 hari dan berkongsi beramai-ramai sebilik ketika itu. Sebaliknya, Tun Sheikh dapat kemudahan tinggal di rumah penduduk tempatan yang ada kontrak dengan syarikat itu iaitu berdua sebilik. Bayangkan bertapa untungnya perniagaan monopoli Tabung Haji. Dan dengan izin Allah, Tun Sheikh berjaya sampai, menunaikan ibadat umrah, belajar agama dengan Sheikh Abdul Karim Al Banjari dan beberapa bekas mufti Melayu Mesjidilharam dan juga menunaikan fardhu haji, Alhamdulillah.

 Ketika menunggu musim haji ramai juga pelajar Jawi ditangkap tetapi istimewanya pelajar dari Malaysia dilepaskan kerana mereka tidak seperti pelajar dari Filipina, Indonesia, Pakistan, Bangaladesh yang datang kosong dan mencari pencarian hidup untuk diri dan keluarga di tanahair. 

Pelajar kita seolah-olah dikenali dengan ikon serban putih dengan jubah atau gamis yang juga putih, kemas dan bersopan santun. Apabila bertembung dengan polis atau penduduk tempatan, mereka akan bertanya 'Adakah kamu dari Malaysia?" Bila dijawab "ya", mereka akan menyambung "Anwar Ibrahim?" sambil angkat tangan menunjukkan lambang " baik/good" dan berkata "toyib" yang bererti bagus dan pergi dengan senyuman ikhlas.

Sayangnya, Tun Sheikh difahamkan beberapa tahun selepas Tun Sheikh kembali ke tanahair,  kerajaan BN  pimpinan Dr Mahathir seperti tidak suka populariti DSAI di Timur Tengah dan bimbang semua pelajar Islam menyokongnya lalu BN telah mementerai perjanjian dan MOU supaya menangkap dan menghantar pulang semua rakyat Malaysia yang masuk menggunakan visa umrah sama ada belajar atau duduk menunggu musim haji dan menyekat pemergian pelajar-pelajar Melayu yang ingin melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah kecuali melalui dan kelulusan Kementerian Pelajaran sahaja. Semua orang yang berjiwa dan mempunyai ruh Islam amat faham pengertian dan maksud BN. Maka teraniayalah dan tertutuplah peluang pelajar Melayu pondok menimba ilmu dibawah Sheikh tersohor di Mesjidilharam dan ke Timur Tengah.
 
Itulah yang akan terjadi kepada penyokong Bersih yang dipersalahkan kerana BN memang mempunyai hubungan diplomatik sekular dengan kerajaan Arab Saudi yang juga di pengaruhi oleh sekular Amerika. Mereka akan menguar-uarkan ia sebagai kehendak kerajaan Arab Saudi tetapi sebenarnya jika tiada ketegasan yang boleh dianggap sebagai hasutan maka kerajaan Arab Saudi boleh dikatakan lebih tinggi budi bicaranya berbanding BN.

Arab Saudi mungkin sadar mereka yang seharusnya memainkan peranan sebagai tempat menyelesaikan isu Islam atau tempat mengadu permasalahan umat Islam dan penyatuan umat tetapi tidak  menjalankan tanggongjawabnya kerana terikat dengan pengaruh dan sistem Amerika dan Yahudi yang hidup di dunia ini dengan kesombongan pemikiran dan nafsu.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Damansara KL 9.5.2012
 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere