Berbelanja dengan Bukan Wang Sendiri Adalah Zalim dan Aniaya

0 comments


Berbelanja dengan Bukan Wang Sendiri Adalah Zalim dan Aniaya

Kepada orang yang tidak berkemampuan berfikir atau tidak mahu berfikir, apabila diberi perumpamaan kepada diri mereka sendiri, pada kebiasaannya mereka akan mudah faham diikuti dengan keyakinan. Begitulah apabila diberitakan kepada golongan ini mengenai penyelewengan kewangan dan harta negara. 

Perumpaan atau kiasan adalah terhadap seorang pelajar yang masih remaja yang sedang belajar di Sekolah Menengah,  berupaya dengan megahnya berbelanja melebihi kawan-kawan seusianya. Kalau purata jumlah duit kocek ke sekolah adalah RM8.00 sehari tetapi dia,  katakan namanya Ajid kelihatan mampu berbelanja sakan di sekolah kerana setiap hari dia ada RM260.00 pada hal gaji bapanya biasa-biasa saja dan tidak pernah terkenal sebagai orang kaya atau hartawan. Tentunya kemampuan si Ajid berbelanja di sekolah itu boleh dipertikai dan disiasat dari mana sumber kewangannya. 

Di sekolah,  Ajid menunjukkan kelakuan biasa dan sederhana,  tidak sombong dan angkuh. Tetapi dalam soal kewangan, dia secara terang-terangan berbelanja besar tetapi sentiasa buat muka selamba,  buat tidak tahu atau buat bodoh saja seperti tiada apa-apa dan tiada masalah yang berlaku. Apabila disiasat oleh pihak sekolah, mereka mendapati dalam akaun pribadi bank Ajid ada RM100,000.00 yang tidak diketahui dari mana sumber puncanya. Ajid hanya seorang remaja tetapi di sekolahnya, dia adalah ketua Persatuan Ekonomi, ketua Pasukan Keselamatan Berunifom, Ketua Tatatertib dan Displin  Pelajar,  ketua Tabung Amanah Murid serta Ketua Pelajar.

Sekiranya ada orang mahu menderma dan mendepositkan atau memasukkan duit untuk persatuan, menggunakan nama dan akaun pribadi murid atau guru adalah menjadi suatu kesalahan. Kalau mana-mana persatuan sekolahnya memerlukan duit untuk digunakan membiayai aktiviti persatuan mereka, kelulusan bertulis menjadi syarat diperolehi dari ketua persatuan kemudian kelulusan ketua ekonomi, kemudian kelulusan ketua keselamatan, ketua Tabung Amanah dan terakhir mesti mendapat kelulusan daripaada Ketua Pelajar Sekolah. Ironinya, Ajid adalah ketua semua yang tersebut di sekolah. Perwatakannya yang baik amat meyakinkan pihak sekolah sehingga tidak perasan kuasa ketua yang dipegang Ajid sangat besar atau luas kuasanya jika dikumpulkan kesemuanya.

Jadi, dengan kuasa yang ada telah memberi gambaran bahawa jika Ajid mahu menggunakan wang amanah, beliau hanya perlu meminta penjaga tabung mengeluarkannya kerana kalau mengikut peraturan persatuan dan prosedur kewangan, mesti mendapat kelulusan ketua-ketua di atas. Oleh kerana Ajid adalah orang yang sama sebagai ketua semua persatuan itu maka sudah tentu permintaan aliran wang yang dikehendakinya adalah sangat mudah berbanding dengan orang lain. Ajid mempunyai kuasa mengarah Ahli Jawatan Kuasa bawahannya.

Ajid tidak mengaku menggunakan wang persatuan ketika berbelanja sakan. Beliau juga tidak mengaku bersalah duit derma itu masuk dalam akaun pribadinya. Setelah pihak sekolah membuat oditan dengan pihak bank terdapat catatan transaksi duit pelaburan dari persatuan ekonomi ada mengeluarkan modal beberapa puluh ribu ringgit dan beberapa rekod transaksi dari persatuan-persatuan lain sama ada yang diketuai oleh Ajid dan pelajar lain hingga berjumlah lebih RM300,000.00. Beberapa kali pemindahan daripada pembekal dan sebagainya sehingga mengalir masuk ke akaun peribadi Ajid sebanyak RM260,000.00 dan seimbang dengan bayaran perbelanjaan pribadinya sehingga berbaki RM100,000.00. Ajid mendakwa duit itu adalah duit derma pribadi kepada nya yang kononnya tidak diketahui dari sumber mana datangnya.

Kerana pihak pentadbiran sekolah hendak menjaga nama baik sekolah dan ketokohan Ajid dibangga-banggakan, maka pihak sekolah dengan desakan persatuan ibu-bapa yang menyokong dan suka kepada Ajid telah membuat keputusan menutup kes Ajid. Jawatannya tidak digugurkan , sebaliknya dipertahankan. Kerugian pelaburan yang dilakukan Ajid dianggap keputusan AJK bukan kepentingan pribadi. Semua sepakat duit modal yang hilang dan merugikan itu digantikan dengan duit kutipan dari setiap para pelajar di sekolah nya atas nama yang pelbagai seperti duit kertas periksa, duit unifom, duit buku latihan, duit kokurikulum, duit persatuan, duit denda disiplin, duit kelas tambahan, duit fasiliti pembelajaran, duit keceriaan bilik darjah, duit keceriaan kawasan sekolah, duit aktiviti sukan, duit keceriaan dan perkebunan sains sekolah dan sebagainya.

Persatuan Ibu-bapa Guru sekolah sebenarnya tahu penyelewengan yang Ajid lakukan tetapi kerana mereka juga terlibat mendapat imbuhan dan sebagai pembekal bahan dan perkhidmatan kepada projek dan aktiviti persatuan-persatuan sekolah,  menyebabkan mereka tutup mata dan memekakkan telinga terhadap segala kritikan positif. Mereka tahu bahawa mereka bersubahat melakukan perbuatan zalim dan aniaya. Mereka tidak mendakwa Ajid atas kesalahan menerima duit derma masuk ke dalam akaun pribadi. Mereka tidak mendakwa Ajid berbelanja sakan dengan menggunakan wang hitam dan haram kerana bukan wang sah milik sendiri. Dan mereka bersubahat menganiaya pelajar-pelajar lain dengan pelbagai muslihat dan helah untuk mengutip tambahan pembayaran bagi menampung kerugian persatuan-persatuan pada hal masih banyak duit dalam akaun-akaun pribadi Ajid, harta dan barang-barang berharga milik Ajid sengaja tidak disita. Ini adalah zalim dan aniaya!
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
JKR Pekeliling, KL 26.2.2016
 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere