KENAIKAN GAJI PENJAWAT AWAM

DIPAKSA MENARI DI LANTAI TAK SAMA RATA

Di Parlimen yang sedang bersidang, menunjukkan blok kerajaan tidak gairah dengan isu kenaikan gaji penjawat awam. Jika sesuatu isu yang kecil tetapi berupaya menutup aib dan kebodohan besar yang telah terlanjur maka isu kecil itu akan segera dibesar-besarkan. Pelbagai kemudahan media dan saluran perdana digunakan bagi mempengaruhi rakyat. Pandangan ketidakpuasan hati terhadap kenaikan gaji hanya di jabatan tertentu memang boleh mencetuskan pemberontakan pekerja awam yang tidak berpuas hati atau setidak-tidaknya demontrasi jalanan. Negara akan bernasib malang jika mereka mogok serentak. Jentera kerajaan akan lumpuh.

Tindakan dan cadangan menaikkan gaji penjawat awam mestilah serentak dan selaras. Tiada alasan kerajaan untuk memilih yang mana dulu dan yang mana dikemudiankan. Ini adalah kerana rekod-rekod kenaikan dan kajian semula dan kaedah penyelerasan tersimpan baik dan boleh dirujuk. Jika alasan kerajaan baru dinaikkan 2 atau 3 tahun lepas tetapi telah sekian lama terabai sehing 10 atau 15 tahun dahulu tidak dikaji dan diselaraskan maka kenaikan yang baru 2 atau 3 tahun itu adalah atas dasar kepentingan politik sahaja dan tidak bererti.

Seharusnya perkara sebegini dengan tegas mestilah mengikut jadual dan jangan sekali-kali melibatkan keputusan politik yang boleh mengambil kesempatan kepada sesuatu suasana dan keadaan. Tentu sekali ketika penjawat awam yang sedang menerima kenaikan gaji merasa lega dan ceria dan pada ketika itu diambil kesempatan mengadakan pilihanraya di seluruh negara. Hal sebegini boleh dianggap sebagai rasuah psikologi.

Jika anda ialah seorang penjawat awam yang telah berkhidmat selama 30 tahun pasti anda mempunyai pengalaman dan nostalgia kenaikan gaji yang dikaji semula. Anda tentu bersetuju bahawa ia dilakukan tidak sekata, tidak selaras, tidak serentak malah ada kepentingan kepada pemimpin politik. Hal ini serupa saja seperti pengalaman menghadapi piliharaya. Ketika itu macam-macam yang disekat dan tertahan diberi untuk mengambil hati rakyat dan tidak kurang juga pada waktu yang sama pelbagai saman akan dikeluarkan, pelbagai kesalahan seolah-olah sengaja dicari-cari dan dikenakan denda dan apabila selesai pilihanraya diikuti pula gula-gula penyedap rasa seperti bantuan barangan atau elaun subsidi dan pada penghujung setahun pemerintahan, mulalah harga pelbagai barangan keperluan akan naik dan pelbagai cukai kepenggunaan dikutip secara tidak langsung. Jika dikaji dan ditinjau secara halus semua beban perbelanjaan ini sebenarnya ditanggong oleh rakyat.

Sehubungan dengan itu adalah diharap kerajaan akan segera berubah supaya lebih berintergeriti. Sekiranya tiada apa-apa yang dilakukan kecuali sibuk menunjukkan kehebatan yang semakin layu maka masanya akan terlambat. Kuasa politik kesukuan Melayu akan haus dan lemah. Pada ketika itu tiada siapa lagi yang boleh disalahkan dan sekiranya pengganti tampuk pemerintahan baru adalah lebih baik dari muka-muka Melayu maka ketika itu adalah zaman penghinaan terhadap diri yang sombong dan leka.

Sempena zaman globalisasi ini maka janganlah kita mudah dipermainkan lagi oleh minda kepimpinan yang tidak mempunyai intergrasi mahu pun intergriti diri ini. Sebaiknya disyorkan supaya Perdana Menteri dan Timbalannya agar tidak memegang apa-apa potfolio kementerian supaya rasuah kuasa dapat dikawal. Tentunya kita tidak akan lagi mendapati hanya Kementerian Pertahanan atau Kementerian Pendidikan atau Polis Diraja dan seterusnya mendapat imbuhan setiap kali Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri menjadi menterinya. Ini jika dilihat apabila mereka mempunyai kuasa dan pengaruh untuk menaikkan gaji tenaga kerja di kementerian yang diketuai mereka dan ini adalah tidak adil dan mewujudkan suasana tidak sihat. Marilah menyokong dan berubah kepada kebaikan jika amalan pada ketika ini dilihat tidak manis atau seperti ada penyelewengan.

Kerajaan mestilah peka dengan perkembangan ekonomi dan kos-kos sara hidup dan mestilah mempunyai jadual kajian dan kenaikan gaji kakitangan awam yang tetap mengikut pukal dan juga skim kekananan. Contohnya setiap 5 tahun mestilah dikaji semula secara pukal dan semua terlibat secara serentak. Dan secara skim kekananan contohnya kenaikan selain tahunan yang biasa mestilah ada tempoh dan jarak kekakanan di mana secara otomatis gaji melompat ke skim kenaikan pangkat meskipun tiada kekosongan. Tempat kenaikan pangkat tertinggi yang ada kekosongan itu boleh dikhaskan kepada yang cemerlang tanpa kira kekananan.

Maksudnya, di dalam sesuatu skim contohnya skim 41 dinaikkan gaji ke pangkat kanan 44 secara otomatis jika telah berkhidmat 7 tahun. Dan ke 48 apabila telah berkhidmat 7 tahun dan seterusnya ke 52 setelah 7 dan ke 54 secara otomatis jika telah berkhidmat 7 tahun. Di perkirakan semua individu apabila sampai 28 tahun berkhidmat dengan kerajaan mereka telah berada di pangkat terakhir dan teratas dalam sekim mereka. Begitu juga kepada semua skim sokongan penjawat bukan ijazah. Dan kepada yang cemerlang mereka boleh dipertimbang untuk naik ke pangkat yang lebih tinggi jika telah 3 tahun dalam skim hakiki.

Satu lagi syor yang boleh dipertimbangkan, kerajaan hendaklah membuat suatu perkiraan tetap bagi menentukan pemberian gaji yang terendah dalam perkhidmatan awam berdasarkan kos keperluan asas mesti dalam hidup seharian. Jika di zaman penjajahan dahulu, Inggeris menetapkan rumah buruh terendah pangkat, hanyalah sebuah bilik dan bilik air berkongsi dan gaji cukup makan untuk sebulan bersama seorang isteri dan 2 orang anak, maka pada hari ini ditetapkan kos tegar contoh cukup membeli barang keperluan mesti untuk diri, seorang isteri dan 4 orang anak. Kos barang yang dinilai mestilah mengikut harga pasaran semasa contohnya harga beras, gula, susu dan sebagainya yang diperlukan cukup untuk hidup bagi keperluan asas 6 kepala dalam satu keluarga untuk menampung hidup sebulan perbelanjaan.


Dalam ertikata lain, contohnya pada masa ini gaji sebanyak RM3,000 sebulan bagi seorang individu yang bekerja pada jawatan terendah adalah cukup untuk menampung kos hidup untuk dirinya dan 5 individu yang tidak kerja dibawah tangongannya, maka sifir ini digunakan sebagai asas pengiraan bagi memastikan rakyat yang berkerja pada pangkat terendah dapat menjalani dan menikmati hidup yang selesa. Gaji terendah ini hendaklah dijadikan asas kepada apa-apa jawatan dan pekerjaan termasuk di sektor swasta. Disamping itu kerajaan terus mengawal barangan keperluan asas bagi memastikan kuasa beli mereka berada dalam julat berkemampuan sepanjang masa.


Oleh Tun Sheikh - sebahagian dari minda dan idea dalam buku Melayu Wawasan yang masih belum terbit.

1 comments:

mnsr8 said...

Pekerja gomen masih dan tetap beruntung buat masa sekarang..

Pekerja swasta terimpit dengan setiap kenaikan gaji yang diberi pada gomen servant.

All private sector workers only can gigit jari..

Post a Comment

 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere