PAK ENGKU RAJA KUDUNG


PAK ENGKU RAJA KUDUNG

Tun Sheikh tidak percaya apabila pada suatu hari pada bulan Mac tahun ini, menerima panggilan telefon daripada seorang yang Tun Sheikh hormati mengatakan dia telah kudung kaki. Tergiur-ngiur katanya, “ Sheikh, Pak Engku dah kudung kaki”. Tun Sheikh bertanya meskipun memang hafal nombor telefonnya yang tertera, “ Ini Pak Engku kan? Betulke apa yang Pak Engku kata ni? Atau Pak Engku bergurau?”

 Bukan apa, Pak Engku adalah seorang tua kerabat Diraja yang suka bergurau dengan sesiapa. Meskipun begitu gurauannya tidaklah melampau sangat hingga lupa daratan sebaliknya penuh dengan sindiran dan pengajaran. Beliau  anggap gurauannya memberi  peluang berdakwah,  mahupun menegur seseorang secara halus tanpa menyentuh atau menyakitkan hati. Gurauannya sering mewujudkan suasana ceria  kepada semua orang tidak kira perbedaan pangkat kedudukan sosial atau lapisan umur. Beliau berasakan dengan cara itu beliau dapat menyumbang atau beramal kerana orang suka dengan caranya begitu.

Berita kudung yang disampaikan susah diterima oleh Tun Sheikh kerana baru sebulan Tun Sheikh sekeluarga menjengok beliau di Hospital Islam Kampung Baru dan mendapati beliau sihat. Doktor memberitahu Pak Engku boleh pulang dua hari lagi. Telah dua minggu beliau dirawat di situ. Beliau menerima rawatan di hospital setelah diserang sesak nafas yang tidak pernah dialami dan diduganya tetapi bernasib baik kerana  cepat mendapat rawatan dan dapat dikawal.  Sebelum itu beliau juga pernah dirawat di hospital yang sama pada November tahun lepas dan pulih seperti biasa setelah tiga minggu dirawat  kerana diserang strok. Beliau mengadu tidak selesa di hospital kerana beliau memang seorang tua yang ceria dan lincah, suka bergurau dan bercerita mengenai hal-hal ugama, politik Islam dan kebenciannya terhadap kesonsangan atau amalan rasuah kerajaan yang pecah amanah.

Beliau memberitahu Tun Sheikh bahawa beliau tidak suka tinggal di hospital kerana menyusahkan anak cucu, saudara mara dan sahabat handai yang akan bersusah payah datang menziarahi beliau  meskipun bilik beliau amat selesa jika dibandingkan dengan pesakit   lain. Sebenarnya sejak usia muda beliau beperwatakan bebas tidak suka dikongkongi.

Oleh kerana pada hari menerima panggilan itu, Tun Sheikh tidak berkesempatan menziarahinya, pada keesokannya Tun Sheikh bersama isteri melawat beliau di Kota Kemuning Shah Alam. Beliau tinggal bersama anak perempuannya.  Sesampai sahaja di rumahnya dan bersalaman,  Tun Sheikh terus meraba-raba kaki di dalam kainnya. Beliau tersenyum saja dan tidak berasa janggal kerana Tun Sheikh macam anaknya sahaja. Tun Sheikh lakukan begitu kerana masih tidak yakin dan percaya bahawa beliau telah kudung. Dan pada hari itu ternyata kaki kanan dari betis ke bawah memang telah tiada dan bekas luka dipotong masih segar meskipun sudah kering dan sembuh.

Tun Sheikh bertanya bagaimana keadaannya dan juga macam mana perasaan beliau dengan keadaan kudung itu. Selamba sahaja Pak Engku berkata bahawa dia redha dengan ketetapan Allah. Beliau mengaku sudah banyak rahmat dan mensyukuri segala nikmat termasuk nikmat kaki kudung. Tun Sheikh amat faham apa yang dimaksudkannya kerana beliau sangat meminati ilmu tasauf. Dia terus bertanya khabar  Tun Sheikh kerana dia dapat berita dari teman-teman lain mengatakan kesihatan Tun Sheikh sering terganggu kerana mengidap diabetis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Tun Sheikh memberitahu kepadanya kesihatan tidak stabil kerana terlalu menjaga paras gula berikutan luka terpijak paku  masih belum baik. Setelah melihat luka kaki Tun Sheikh dia menyarankan Tun Sheikh mengambil jus pati ikan haruan kerana luka kaki beliau cepat sembuh setelah dipotong walau pun beliau juga mengidap penyakit kencing manis apabila mengamal meminum jus itu.

Beliau tidak lupa menasihati Tun Sheikh supaya menggandakan amalan, berzikir dan redha. Beliau sempat  bergurau mengatakan dia tidak mahu Tun Sheikh mati dahulu daripada dirinya yang telah berusia 83 tahun. Cerita bab mati, Tun Sheikh minta beliau doakan semoga hayat terakhir Tun Sheikh jatuh pada hari Jumaat. Beliau terus tersedu tapi katanya bukan sedih dan takut atau tidak mahu mendoakan kecuali spontan teringatkan sahabat yang telah meninggal pada hari Jumaat 1 April tahun lepas pada usia 55 tahun. Ketika kami menziarahi di hari kematian kelihatan wajahnya berseri seolah-olah tersenyum. Kami berasa sahabat kami,  Hj Abu sungguh beruntung kerana telah meninggal dunia pada hari Jumaat.

Pesanan Pak Engku Raja ketika Tun Sheikh mahu pulang ialah “beramal dan berzikirlah dengan ikhlas sehingga kamu tidak merasakan kewujudan dirimu.” Tun Sheikh nukilkan di sini untuk renungan dan semoga kita mendapat pengajaran dan manfaatnya bersama.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
20.7.2012 Rawang Selangor.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere