Berbelanja
dengan Bukan Wang Sendiri Adalah Zalim dan Aniaya
Kepada orang yang tidak berkemampuan
berfikir atau tidak mahu berfikir, apabila diberi perumpamaan kepada diri mereka
sendiri, pada kebiasaannya mereka akan mudah faham diikuti dengan keyakinan. Begitulah
apabila diberitakan kepada golongan ini mengenai penyelewengan kewangan dan
harta negara.
Perumpaan atau kiasan adalah terhadap seorang pelajar yang masih
remaja yang sedang belajar di Sekolah Menengah, berupaya dengan megahnya berbelanja melebihi
kawan-kawan seusianya. Kalau purata jumlah duit kocek ke sekolah adalah RM8.00
sehari tetapi dia, katakan namanya Ajid
kelihatan mampu berbelanja sakan di sekolah kerana setiap hari dia ada RM260.00
pada hal gaji bapanya biasa-biasa saja dan tidak pernah terkenal sebagai orang
kaya atau hartawan. Tentunya kemampuan si Ajid berbelanja di sekolah itu boleh
dipertikai dan disiasat dari mana sumber kewangannya.
Di sekolah, Ajid menunjukkan kelakuan
biasa dan sederhana, tidak sombong dan angkuh. Tetapi dalam soal kewangan, dia
secara terang-terangan berbelanja besar tetapi sentiasa buat muka selamba, buat tidak tahu atau buat bodoh saja seperti
tiada apa-apa dan tiada masalah yang berlaku. Apabila disiasat oleh pihak
sekolah, mereka mendapati dalam akaun pribadi bank Ajid ada RM100,000.00 yang
tidak diketahui dari mana sumber puncanya. Ajid hanya seorang remaja tetapi di
sekolahnya, dia adalah ketua Persatuan Ekonomi, ketua Pasukan Keselamatan Berunifom,
Ketua Tatatertib dan Displin Pelajar, ketua Tabung Amanah Murid serta Ketua Pelajar.
Sekiranya ada orang mahu menderma dan
mendepositkan atau memasukkan duit untuk persatuan, menggunakan nama dan akaun
pribadi murid atau guru adalah menjadi suatu kesalahan. Kalau mana-mana
persatuan sekolahnya memerlukan duit untuk digunakan membiayai aktiviti
persatuan mereka, kelulusan bertulis menjadi syarat diperolehi dari ketua
persatuan kemudian kelulusan ketua ekonomi, kemudian kelulusan ketua
keselamatan, ketua Tabung Amanah dan terakhir mesti mendapat kelulusan daripaada
Ketua Pelajar Sekolah. Ironinya, Ajid adalah ketua semua yang tersebut di
sekolah. Perwatakannya yang baik amat meyakinkan pihak sekolah sehingga tidak
perasan kuasa ketua yang dipegang Ajid sangat besar atau luas kuasanya jika
dikumpulkan kesemuanya.
Jadi, dengan kuasa yang ada telah
memberi gambaran bahawa jika Ajid mahu menggunakan wang amanah, beliau hanya
perlu meminta penjaga tabung mengeluarkannya kerana kalau mengikut peraturan
persatuan dan prosedur kewangan, mesti mendapat kelulusan ketua-ketua di atas.
Oleh kerana Ajid adalah orang yang sama sebagai ketua semua persatuan itu maka
sudah tentu permintaan aliran wang yang dikehendakinya adalah sangat mudah berbanding
dengan orang lain. Ajid mempunyai kuasa mengarah Ahli Jawatan Kuasa bawahannya.
Ajid tidak mengaku menggunakan wang
persatuan ketika berbelanja sakan. Beliau juga tidak mengaku bersalah duit
derma itu masuk dalam akaun pribadinya. Setelah pihak sekolah membuat oditan
dengan pihak bank terdapat catatan transaksi duit pelaburan dari persatuan
ekonomi ada mengeluarkan modal beberapa puluh ribu ringgit dan beberapa rekod
transaksi dari persatuan-persatuan lain sama ada yang diketuai oleh Ajid dan
pelajar lain hingga berjumlah lebih RM300,000.00. Beberapa kali pemindahan
daripada pembekal dan sebagainya sehingga mengalir masuk ke akaun peribadi Ajid
sebanyak RM260,000.00 dan seimbang dengan bayaran perbelanjaan pribadinya
sehingga berbaki RM100,000.00. Ajid mendakwa duit itu adalah duit derma pribadi
kepada nya yang kononnya tidak diketahui dari sumber mana datangnya.
Kerana pihak pentadbiran sekolah
hendak menjaga nama baik sekolah dan ketokohan Ajid dibangga-banggakan, maka
pihak sekolah dengan desakan persatuan ibu-bapa yang menyokong dan suka kepada
Ajid telah membuat keputusan menutup kes Ajid. Jawatannya tidak digugurkan , sebaliknya dipertahankan.
Kerugian pelaburan yang dilakukan Ajid dianggap keputusan AJK bukan kepentingan
pribadi. Semua sepakat duit modal yang hilang dan merugikan itu digantikan
dengan duit kutipan dari setiap para pelajar di sekolah nya atas nama yang
pelbagai seperti duit kertas periksa, duit unifom, duit buku latihan, duit
kokurikulum, duit persatuan, duit denda disiplin, duit kelas tambahan, duit
fasiliti pembelajaran, duit keceriaan bilik darjah, duit keceriaan kawasan
sekolah, duit aktiviti sukan, duit keceriaan dan perkebunan sains sekolah dan
sebagainya.
Persatuan Ibu-bapa Guru sekolah
sebenarnya tahu penyelewengan yang Ajid lakukan tetapi kerana mereka juga
terlibat mendapat imbuhan dan sebagai pembekal bahan dan perkhidmatan kepada projek
dan aktiviti persatuan-persatuan sekolah,
menyebabkan mereka tutup mata dan memekakkan telinga terhadap segala
kritikan positif. Mereka tahu bahawa mereka bersubahat melakukan perbuatan
zalim dan aniaya. Mereka tidak mendakwa Ajid atas kesalahan menerima duit derma
masuk ke dalam akaun pribadi. Mereka tidak mendakwa Ajid berbelanja sakan
dengan menggunakan wang hitam dan haram kerana bukan wang sah milik sendiri.
Dan mereka bersubahat menganiaya pelajar-pelajar lain dengan pelbagai muslihat
dan helah untuk mengutip tambahan pembayaran bagi menampung kerugian persatuan-persatuan
pada hal masih banyak duit dalam akaun-akaun pribadi Ajid, harta dan
barang-barang berharga milik Ajid sengaja tidak disita. Ini adalah zalim dan
aniaya!
Oleh Tun
Sheikh Engku Bendahara
JKR
Pekeliling, KL 26.2.2016