BERCERAI MENGELAK BEBAN MEMELIHARA ANAK TIRI

RAHIMAH BERCERAI TAKLIQ BERSATU SEMULA

Yakinilah Setiap Makhluk Telah Ditentukan Rezekinya

Dasar perempuan terutama mengenai masalah rumah tangga sangat suka mencari kesalahan suami sebagai alasan yang sangat besar atau sengaja diperbesar dengan kuasa veto. Mereka juga berani mengumumkan bahawa mereka tidak boleh memaafkan suami dan ini telah menggambarkan seolah-olah mereka di pihak yang benar. Istilah dasar perempuan ini sendiri adalah sangat sensitif dan tidak disukai oleh kaum hawa. Tun Sheikh diminta tukarkan dengan perkataan ‘kebiasaannya’.

Ini adalah cerita Rahimah dari Kuala Selangor untuk diteladani. Bukan apa, ini adalah kerana Tun Sheikh seolah-olah terhidu senjata kuasa veto yang dipergunakannya bagi mengancam suami yang dianggapnya tidak bertanggongjawab kerana beliau terpaksa menanggong beban hutang suami. Sebenarnya Rahimah berfikir dirinya ada banyak tayar ganti dan tidak takut menjanda . Beliau juga berpendapatan tetap. Sebelum ini pun sudah dua kali beliau menjanda, dan terkesan oleh Tun Sheikh tanpa disedarinya bahawa menjanda dan berkahwin lain adalah lebih baik kerana berasa dirinya masih cantik dan masih laku walau telah beranak lima.

Apa yang Tun Sheikh duga telah menjadi kenyataan walau hanya secara kebetulan tetapi bagi Tun Sheikh, Rahimah benar-benar melaksanakan apa yang dirancangnya dan juga ingin menguji pasaran dirinya ketika menjanda. Dia telah mencari fasal dengan melarikan diri dari rumah dengan alasan suaminya tidak memberinya duit untuk membayar hutang. Hutang pula terjadi bukanlah kerana suaminya suka berbelanja atau berpoya-poya tetapi beban hutang terjadi kerana suaminya hilang pekerjaan atau berhenti kerja kerana tidak sanggup menanggong tekanan dan sindiran dari majikannya sendiri. Apabila gaji pekerjaan baru sedikit maka jurang perbelanjaan yang biasa dinikmatinya menjadi beban keluarga. Rahimah pula seolah-olah tidak menerima bahawa perbelanjaan suaminya itu adalah untuk keluarga dan kepentingan bersama.

Dalam keadaan suaminya terpaksa bekerja dengan gaji yang kecil bagi mengelak pengangguran, Rahimah pula mendapat tawaran membuat kerja industri kecilan di rumah dan juga kenaikan pangkat di kilangnya. Secara psikologi beliau berasa beliau sahaja terbeban kerana terpaksa menanggong hutang. Apabila ditinjau kepada suaminya kelihatan seolah-olah suaminya telah hilang kuasa membuat keputusan dalam rumah tangga kerana masalah kewangannya.

Bagi Tun Sheikh, sebenarnya Rahimah ada kepentingan diri dan tidak faham erti perkongsian hidup berumah tangga. Beliau terasa duitnya saja yang terpaksa membiayai perbelanjaan untuk membesarkan 3 orang anak-anaknya tanpa mengharap bekas suaminya bertanggongjawab dan pada waktu yang sama kecewa dengan suami barunya yang tidak mampu untuk membantunya. Kerana tekanan dari masalah dirinya sendiri beliau telah mengancam untuk mengadu kepada keluarga dan ibunya bahawa suaminya tidak bertanggongjawab dan selama ini beliaulah yang menguruskan semua perbelanjaan rumah tangga.

Suami Rahimah terasa tercabar dan pujukannya supaya Rahimah bersabar tidak dipedulikan Rahimah. Rahimah pula seolah-olah tidak dapat menerima keadaan dan kenyataan bahawa gaji suaminya kecil dan apabila berlaku pertengkaran, beliau terus membawa diri meninggalkan suami dan anak-anak di rumah bersama ibunya. Akibat sering tertekan dan berasa malu kerana berasa dirinya hanya menumpang di rumah mertua, suaminya telah mentaqlik jika Rahimah buat lagi perangai keluar rumah melarikan diri tanpa izinnya atau memberitahu keluarga mengenai beban hutang mereka maka akan jatuh satu talak.

Tidak sampai 2 minggu Rahimah sengaja memberitahu ibunya mengenai masalah hutang suaminya dan ini telah menjatuhkan maruah suami dan berlakulah cerai taqlik. Rahimah kemudian seolah-olah menunggu pandangan tayar gantinya tetapi semua menasihatkannya supaya lebih baik dia berbalik sahaja dengan suaminya. Lagipun Rahimah tidak bersedia bermadu. Jika bermadu secara terpaksa tanpa keredhaan dan persediaan dirinya sendiri, masalah yang lebih besar akan timbul.

Tun Sheikh juga menasihatkannya supaya beliau berbalik kepada suaminya. Itu lebih baik. Walaupun gajinya kecil tetapi suaminya sebenarnya seorang yang prihatin dan bertanggongjawab. Suaminya pula telah menyerahkan keputusan untuk berbalik semula kepada Rahimah. 3 minggu kemudian mereka berbalik semula dan penceraian pertama didaftarkan di pejabat kadi. Tetapi Rahimah telah memberi syarat bahawa beliau tidak mahu suaminya membawa bersama 3 anak-anaknya yang pernah tinggal bersamanya selama 7 tahun.

Kasihan Rahimah, masalah wang dijadikan penyebab utama tanpa memikirkan masa depan kerana jika betul diberikan bimbingan, anak-anak suaminya telah besar remaja dan 2 antaranya telah tamat persekolahan dan telah bekerja sementara. Kerana membesar sejak kecil dengan Rahimah, beliau dipanggil ibu. Lagipun mereka memang tidak beribu kerana ibu kandung mereka telah meninggal ketika mereka semua masih kecil.

Tun Sheikh tidak sempat menasihatkannya agar terima suaminya tanpa syarat. Sia-sia saja segala pengorbanan wang ringgit dan kasih sayangnya membesarkan anak tiri selama 7 tahun. Kini kesemua anak tirinya tidak lagi tinggal bersamanya dan ibunya. Anak tirinya yang terkecil dihantar oleh suaminya tinggal bersama ibunya di kampongnya di Melaka. Kini berjaya memasuki sekolah berasrama di tingkatan satu.

Suaminya pula tinggal di Negeri Sembilan berniaga secara kecil-kecilan. Beliau balik dua minggu sekali menjengok Rahimah dan anak-anaknya. Rahimah kelihatan seolah-olah gembira kerana seperti terasa bebas dari masalah mengeluarkan belanja atau dari beban khidmat mengurus anak-anak tirinya.

Apabila Tun Sheikh dihubungi, Tun Sheikh hanya mengatakan bahawa Tun Sheikh tidak bersetuju beliau mengenakan syarat yang akhirnya merugikan dirinya sendiri. Ini adalah kerana mengikut hukum syarak, anak tiri adalah seperti anak kandung jua. Lagipun Allah telah menjamin semua makhluk telah ditetapkan rezki mereka masing-masing. Tindakan Rahimah seolah-olah takut dirinya terbeban. Padahal ketika mereka susah itulah, mereka dapat tawaran kerja industri kecil di rumah dan juga kenaikkan pangkatnya di kilang..

Akhirnya Tun Sheikh juga menasihatkan Rahimah, jika anak-anak tirinya mengenang jasa dan menerimanya sebagai ibu, maka janganlah ditolak. Kerana walaupun jika tertakdir beliau berpisah dengan suami, hubungan anak tiri dengan ibu tetap haram bernikah sampai ajal maka mengapa keistimewaan yang dikurnia Allah ini dipersia-siakan? Lebih-lebih lagi mereka ada hubungan adik-beradik dengan dua adik perempuan mereka yang lahir dari rahim Rahimah. Rahimah tidak menunjukkan nada menyesal kerana terasa bebas dari beban. Tetapi bagi Tun Sheikh, dia rugi dalam jangkamasa pendek dan panjang……..

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere