CARILAH JODOH YANG FAHAM AGAMA
Sabtu, 2 Oktober lepas Tun Sheikh dan anak memenuhi undangan Rumah Terbuka Hari Raya dan Pasangan Pengantin anak kepada Haji Azemi (Remy). Majlis ini diadakan di dewan kondominium mereka di Bandar Baru Tun Razak Kuala Lumpur. Oleh kerana majlis persandingan anak gadisnya telah berlansung pada 1 Mei lalu di sebuah hotel mewah di Johor Bahru, kali ini majlis itu dibuat seiring dengan rumah terbuka hari raya yang sudah menjadi budaya kelompok kelas menengah Melayu.
Majlis agak gah kerana berhadapan kolam renang yang besar bersebelahan kafetaria yang agak eksklusif. Tetapi setelah beberapa minit Tun Sheikh menjamu jamuan, Tun Sheikh perasan tiada pelamin yang disediakan dan bila Tun Sheikh bertanya kepada Remi, dalam gurauan dia menjawab bahawa dia sudah PAS dan tidak lagi jadi UMNO yang kuno atau totok. Tun Sheikh buat-buat tidak faham dan minta dia jelaskan selanjutnya. Dia kata isteri barunya bernama Noraini berasal dari Kelantan dari keluarga yang kuat menyokong PAS dan tinggi kefahaman agama. Dia tidak mahu ada acara persandingan yang sering menjadi kemestian dalam budaya Melayu UMNO.
Kemudian Remi pergi melayan tetamu-tetamunya yang lain dan Tun Sheikh meneruskan menikmati pelbagai juadah hidangan sambil meninjau-ninjau persekitaran. Ramai yang datang ke tempat duduk Tun Sheikh dan bersembang-sembang sebentar kemudian pergi meneruskan acara masing-masing. Ramai juga yang Tun Sheikh kenal tetapi tidak secara dekat. Yang pasti Mary, isteri tua atau bekas isteri Remi tidak ada kelibatnya di situ.
Tun Sheikh juga melihat-lihat, kalau-kalau anak-anak buah Remi atau anak-anak kakaknya ada di situ tetapi tidak kelihatan. Kakaknya yang rapat dengan Remi juga tidak kelihatan. Selalunya jika ada majlis atau kenduri yang dibuat oleh Remi, kakaknya itulah yang paling sibuk dan menjadi hos bagi pihak orang perempuan.
Apabila Remi singgah di meja Tun Sheikh, sempat Tun Sheikh bertanyakan di mana kakaknya. Dia memberitahu bahawa kakaknya tidak dapat datang kerana sibuk menimang dua cucu baru lahir dan menjaga anak perempuan dan menantu dalam pantang di Johor. Hati Tun Sheikh berasa aneh walaupun penjelasan itu memang realiti tetapi tertanya-tanya kenapa sorang pun tiada dari kalangan anak kakaknya..... Tun Sheikh terus meninjau-ninjau kot-kot ternampak kerana tidak sempat hendak menanya semuanya kepada Remi yang sangat sibuk.
Beberapa minit kemudian, Remi datang lagi memperkenalkan isteri barunya kepada Tun Sheikh. Manis juga orangnya tetapi bagi mengelak dari memandang kemanisan atau kecantikannya Tun Sheikh terus bertanya di mana pengantin? Ini emak muda pengantin... Remi terus tergelak tetapi seperti dibuat-buat. Dia terus mengatakan kepada Tun Sheikh, pasangan pengantin tidak dapat hadir kerana hal yang tidak dapat dielakkan. Kad jemputan yang Tun Sheikh terima kini kami maklumkan telah bertukar dari Majlis Rumah Terbuka dan Memperkenalkan pasangan pengantin kepada memperkenalkan isteri baru dan kesyukuran kerana sedang hamil 4 bulan.
Semua yang mendengarnya gemuruh tertawa dan tergelak. Tun Sheikh amat faham kegembiraan Remi pada hari itu walaupun sedikit terganggu dengan ketidakhadiran anak perempuan dan dan menantunya kerana itulah tujuan utama majlis itu diadakan. Tun Sheikh tidak lupa mengucapkan tahniah.
Satu lagi hal yang agak aneh Tun Sheikh kesan ialah kelibat anak lelakinya yang seolah-olah menjauhkan diri dari tetamu yang ramai. Dia hanya melayan teman-temannya di suatu sudut di kolam renang. Ramai juga kenalannya tetapi dalam kumpulan 10-16 orang temannya itu hanya ada 2-3 orang perempuan sahaja. Dulu Tun Sheikh pernah dengar bahawa dia tidak berkenyakinan diri untuk berumahtangga dan tidak berminat kepada perempuan. Dia bersikap begitu mungkin kerana pengalaman hidup dan pengaruh persekitaran dan juga tiada keyakinan diri untuk tampil ke hadapan kerana tidak berpelajaran tinggi dan kelihatan tidak selari dengan bapanya, seorang arkitek dan ibu tirinya juga seorang arkitek.
Apa yang menarik dalam majlis Remi ini, ialah kehadiran orang dari pelbagai status sosial dan bangsa. Bagi Tun Sheikh, yang sangat menarik pula ialah ramai juga yang pakai lebai (kupiah, serban, gamis atau jubah dan banyak juga bersongkok). Itu tentunya keluarga isteri mudanya. Walau pun stail lebai tetapi kelihatan mereka adalah berilmu dan berkeyakinan tinggi menelek dari wajah-wajah mereka. Ada seorang daripadanya seperti tampang Tuan Guru Nik Aziz yang berserban kecuali agak muda sekitar berusia 50-an. Apabila Tun Sheikh bertanya kepada kenalan semeja Tun Sheikh iaitu keluarga isteri Azemi atau Remi, dia beritahu bahawa orang itu adalah bapa saudara pupunya seorang doktor pakar lulus Universiti Madinah dan seorang lagi yang berkupiah putih juga pangkat bapa saudara pupunya, seorang jurutera minyak lulusan Universiti Jordan.
Tun Sheikh terfikir secara spontan, inilah yang tidak terfikir oleh orang yang macam Tun Sheikh dan Remi. Kami orang Melayu Johor yang kuat berbangga dengan pendidikan, kebudayaan Melayu UMNO dan Islam sering memandang rendah ilmuan pondok padahal mereka telah lama keluar dari kepompong itu. Mereka sangat hebat kerana mewarisi sains Islam yang lebih tinggi tanpa menunjukkan rasa kebanggaan melampau. Tidak seperti Melayu UMNO yang sekular dan bertambah buruk jika fanatik dan taksub atau di Johor lebih dikenali sebagai UMNO totok.
Setelah selesai menjamu selera dan beramah mesra dan berada di majlis itu selama sejam setengah, Tun Sheikh minta diri untuk beredar. Di pintu dewan sambil bersalaman dengan Remi, dia mengucapkan terima kasih kerana Tun Sheikh sudi datang sambil berkata bahawa dia bukan UMNO totok lagi. Dulu dia kuno tetapi kini dia sudah lulus dan PAS. Sambil gelak-gelak dia juga ucapkan terima kasih kerana dulu Tun Sheikh pernah nasihatkan dia carikan jodoh anaknya atau dirinya sendiri dengan yang faham agama. Dia gembira kerana dia kiini merasa kenikmatannya.
Dalam perjalanan pulang, Tun Sheikh menelifon kakak Remi bertanyakan kenapa dia tidak datang sama-sama meraikan majlis adiknya Remi...Kakak Remi memaklumkan, dia tidak datang kerana tidak sanggup melihat dan merasai kekecewaan dalaman adik yang dikasihinya itu. Kakaknya berkata, anak perempuan dan menantunya bukan tidak mahu datang tetapi mereka dihalang oleh ibu mereka Mary di Johor Bahru... Mereka bekerja di Johor Bahru dan tinggal bersama ibu mereka . Mereka tidak boleh menentang, membantah atau berbuat apa-apa. Tun Sheikh hanya menggeleng kepala saja.....
Walau bagaimana pun Tun Sheikh bersyukur kerana Remi gembira dan berasa dirinya bertuah memiliki isteri solehah walau seperti terpaksa bermula semula di usianya yang sudah petang.....
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
0 comments:
Post a Comment