ADIPUTERA KANAK-KANAK PINTAR YANG PELIK

0 comments
MESEJ ADIPUTERA BUDAK PINTAR DUNIA DARI MALAYSIA

Kelmarin, anak Tun Sheikh tiba-tiba saja bertanyakan asal-usul keluarga. Tun Sheikh kata...ya Melayu dan boleh juga jika hendak mengaku sebagai Melayu totok.Bila ditanya apa cerita sebenarnya. Dia kata baru balik bersama rombongan staf kepimpinan Jabatan Islam UM dari menziarahi kanak-kanak pintar Adiputera di rumahnya di Gombak. Adiputera sangat sibuk tetapi terasa pelik di benak bapanya kerana dia kelihatan gembira dan sanggup menghabiskan masa lebih 2 jam bersembang dengan rombongan UM. Bapanya sering membantu melayani tetamu yang ingin berjumpa Adiputera. Pelbagai kelompok tidak kira dari jenis kerjaya atau umur dan pertubuhan telah datang untuk mengenali Adiputera secara dekat.

Kadang-kadang Adiputera bersikap pemilih yang tidak difahami oleh bapanya. Beliau enggan bertemu lama dengan kelompok-kelompok tertentu tetapi tidak terus menolak atau enggan berjumpa. Adiputera akan turun dari bilik dan ruang khas yang disediakan untuknya berkarya dan berfikir di ruang atas di rumahnya. Adiputera baru berusia 11 tahun tetapi telah mengusai banyak ilmu seperti tahfis dan tafsir al-quran dan hadis tetapi ikon kepintarannya ialah dalam matematik dan sains.

Adiputera sangat senang jika dirinya dikaitkan dengan anugerah Allah dan mengangkat kehebatan Islam daripada pujian-pujian yang dikhususkan kepadanya.Dia bersikap merendah diri dan adakalanya jika orang atau seseorang tokoh lebih-lebih memujinya, dia segera ingatkan mereka supaya kembali memuji dan bersyukur kepada Allah swt.

Tun Sheikh bertanya lagi...apa yang anak Tun Sheikh dan rombongannya dapat? Dia kata, bagi kami ini adalah anugerah Tuhan yang amat besar kepada bangsa Melayu. Ini bukan soal kehebatan dan kepelikan tetapi sebagai suatu mesej dari Tuhan kepada bangsa Melayu iaitu anugerah dan limpahanNya untuk memberi peluang bangsa Melayu mengenal diri dan bangun menjadi umat contoh di dunia ini.

Tun Sheikh bertanya lagi...apa yang diperkata oleh Adiputera atau bapanya? Anak Tun Sheikh cerita, dalam penghayatan dan kesimpulan dari rombongan mereka, mereka dapati Adiputera seorang kanak-kanak genuis pelbagai bidang dalam keilmuan Islam. Pelik kepada masyarakat umum kerana Adiputera memperoleh ilmu secara ilham dari cetusan minda yang sangat asas tetapi dia dapat mengolah dan memperjelaskan dengan begitu detail seperti seorang profesor atau seorang mahaguru.

Adiputera berpesan supaya cintailah Melayu dan kebudayaannya terutama yang tidak bertentangan dengan sunah. Hormatilah para raja yang mempunyai daulat dan keistimewaannya. Angkatlah daulah Islam setinggi-tingginya dan bersatupadu semua Melayu melalui agama dengan bangsa lain yang seagama dan juga dengan orang kafir yang tunduk kepada dasar-dasar Islam yang adil dan sempurna.Jadikanlah Al-Quran dan As-Sunah sebagai petunjuk utama dalam membuat segala dasar dan panduan amalan hidup seharian.

Bila Tun Sheikh bertanya Adiputera cenderung kepada fahaman politik parti apa? Anak Tun Sheikh berkata, dari hujah-hujahnya jelas adalah berasaskan Islam tetapi kerana lingkungan dan kesesuaian dengan kondisi dan situasinya dia seolah-olah menunjukkan minatnya kepada perjuangan keadilan atau Parti Keadilan. Walau bagaimana pun Adiputera sangat menekankan soal bangsa Melayu. Dia menyayangi raja, ulamak-ulamak dan tokoh-tokoh pemimpin Melayu yang tegas anti kepada rasuah dan segala keburukan.

Tun Sheikh tanya lagi..Apa yang amat terkesan di lubuk hati anak Tun Sheikh ketika bertemu dan bersembang dengan Adiputera? Anak Tun Sheikh kata, dia terasa seolah-olah Adiputera berkata kepadanya supaya janganlah melihat Adiputera dengan mata kasar, nanti hanya gembira dan berasa pelik. Lihatlah Adiputera dengan matahati supaya tersingkap mesej anugerah Tuhan kepada bangsa Melayu melalui Adiputuera ini.

Akhir sekali, anak Tun Sheikh sendiri bertanya kepada Tun Sheikh.. bah kenapa ketika salam terasa sangat sayang dan bulu roma terangkat dan terasa macam ada karen dan macam terdengar di hati Adiputera berkata kitani Melayu sebangsa sekuturunan. Marilah kita sambungkan silaturahim kita dan mereka? Bangunkan umat!

Tun Sheikh terus berkata, selalunya jika begitu bererti dia sampai kepada titisan Rasulullah. Hanya zaman sekarang saja orang tidak mahu memperbesarkannya kerana takut difitnah riak. Kamu terasa begitu kerana meskipun kita Melayu totok tetapi kita ada sedikit titisan al Idros dan begitu juga semua raja-raja Melayu. Itulah sebabnya Adiputera hormat dan sayang kepada raja-raja Melayu. Jikalah orang Melayu ini mengenal diri dan sejarah keturunannya maka tidak mustahil 80% dari Melayu sampai kepada turunan Saidina Hussin atau Saidina Hassan atau setidak-tidaknya turunan dan titisan benih Nabi Ibrahim samada melalui cucuandanya Nabi Sulaiman atau dari isteri Himalayu atau Himalaya bernama Kertika... dan bangsa ini menurut hadis nabi akan bangkit di akhir zaman mengangkat panji-panji Islam , insyaallah . Wallahualam.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

KEBUDAYAAN BARAT TINGGI?

0 comments
BAGAIMANA MENGHARUNGI PAKEJ KEHIDUPAN

Perihal menilai dan mengamalkan cara hidup yang akhirnya menjadi kebudayaan masih tergiur dan menari-nari di mata Tun Sheikh. Ini adalah kerana baru-baru ini Tun Sheikh dapat menghubungi hampir 200 orang sahabat Tun Sheikh yang pernah sama-sama kuliah di sebuah universiti terkenal di Indonesia melalui Facebook . Usia mereka lebih kurang Tun Sheikh, juga sudah separuh abad dan tentunya mereka sudah cukup matang dan masing-masing berperanan dalam pelbagai bidang memajukan diri dan memajukan kebudayaan seharian dan akhirnya menjadi imej kepada negara.Tun Sheikh yakin mereka mempunyai ekonomi keluarga yang kukuh dan mereka juga berbangga dengan pencapaian mereka. Maklum saja mereka semua memiliki ijazah pengajian tinggi dan jauh lebih baik jika dibanding dengan kelompok marhean.

Persoalan di sini ialah nilai budaya yang dianggap tinggi oleh mereka bagi Tun Sheikh adalah jauh tersasar. Tidak dinafikan mereka kelihatan senang dan mewah meskipun tidak kaya. Tun Sheikh sangat rasa sedih kerana kesenangan mereka adalah duniawi semata dan jika ada yang aktif dalam ukhrawi tetapi menyelimpang dari jalan yang diredhai Allah kerana kalau ada pun yang aktif tetapi mereka aktif membuat kerja-kerja amal kebajikan mengikut agama suami atau isteri.

Daripada hampir 200 sahabat yang Tun Sheikh dapat hubungi, hanya 30% sahaja yang masih menetap di Indonesia. Bakinya terpencar di Eropah terutama di Belanda, Belgium, Perancis, German dan Britain. Tidak kurang juga yang telah menjadi warga negara Amerika Syarikat dan Kanada. Ada juga telah menetap di Australia. Mereka sungguh berbagga mengamalkan cara hidup barat yang dianggap berkebudayaan tinggi dalam segala hal samada falsafah kebudayaan mahupun teknologi dan sains kemanusian.

Apa yang Tun Sheikh sedih setelah berinteraksi dengan detail dan mendengar suara hati mereka ialah kebanggaan mereka dianggap realiti dan maju. Agama bagi mereka tidak menjadi penghalang dalam menikmati penghidupan seharian. Tetapi fahaman mereka bukanlah seperti kita di sini. Ini adalah kerana Tun Sheikh lihat mereka walau suami-isteri mengaku beragama Islam, mereka tidak mengamalkan perintah agama. Mereka bebas mengamalkan cara hidup barat yang mereka anggap sangat praktis dan menyenangkan.

Kepada sahabat yang beragama Islam, mereka tidak menolak agama isteri mereka yang tidak mahu menukar agama malah mereka galakan isteri atau suami mereka kekal dalam agama mereka. Ini adalah kerana mereka menikmati titik pertemuan yang sama dimana mereka menganggap kelainan agama tidak mendatangkan masalah kerana mereka tidak mengamalkannya. Mereka hanya mempertahan dan mengekalkan fahaman kebebasan dan hak asasi manusia. Mereka menganggap mereka adalah manusia yang ideal kerana menghormati individu lain dalam fahaman agama dan anutan asalkan kebebasan mereka tidak diganggu.

Tun Sheikh berdoa dan berharap semoga penyakit ini tidak menular kepada anak bangsa kita di Malaysia. Walaupun begitu sebenarnya memang telah ada benih dan tunasnya cuma perbedaan di sini kita tidak dapat menerima pasangan menganut agama yang berlainan jika salah seorangnya mengaku Islam. Jadi adalah sangat penting kita memikirkan dan membuat garis panduan hidup yang bagaimana yang terbaik sehingga menjadi kebudayaan manusia yang diredhai oleh Allah sang Pencipta dalam mengharungi pakej kehidupan kita dunia dan ukhrahwi.

Oleh Tun Sheikh

NILAI HIDUP BERKUALITI

0 comments
MUTU CARA HIDUP BARAT TINGGI?

Perihal menentukan atau menetapkan mutu cara hidup dan standard sosial seseorang individu, sesebuah keluarga, sesebuah masyarakat, sesebuah daerah, negeri dan sesebuah negara adalah sangat sulit dan tiada batasan had. Ini adalah kerana nilai kehidupan atau kebudayaan itu bersifat fleksibal dan amat cenderung kaitannya dengan kemanusian. Kemanusian pula merangkumi keperluan fizikal dan mental yang pada hakikatnya adalah hasil dan nilai keperluan hidup yang akhirnya melahirkan sesuatu budaya.

Apa-apa ciptaan manusia sama ada berbentuk material atau karya ideologi dan pemikiran yang terbaik dan mudah digunapakai serta bersifat sejagat atau universal akan mudah diterima oleh manusia sendiri. Maka dengan adanya akal dan ilmu pengetahuan serta kemudahan dan pengalaman hidup sesuatu kebudayaan, manusia sentiasa berusaha mencipta sesuatu yang baru sama ada benda atau formula mahupun falsafah pemikiran untuk memudahkan urusan kehidupan hidup seharian.

Dalam sejarah kebudayaan manusia, kebudayaan dari dunia barat dianggap berkualiti dan maju kedepan sehingga berjaya mempengaruhi kehidupan manusia dari seluruh pelusuk dunia. Fahaman dan keyakinan pemikiran seperti ini sebenarnya adalah berat sebelah.Faktor yang menyebabkan kita menyangka dunia barat mempunyai kualiti kebudayaan tinggi ialah hanya dari sudut minda kita yang telah dipengaruhi secara halus oleh mereka.

Pada hakikatnya jika kita gunakan kefleksibalan dalam mengukur kualiti sesuatu budaya maka kita akan dapati bahawa kebudayaan timur juga mempunyai kualiti yang tinggi. Tetapi mengapa kita tetap terpengaruh dengan kebudayaan barat? Ini adalah kerana hasil penciptaan atau hasil budaya barat dicipta dengan kebebasan fikiran dan tidak terikat kepada sesuatu darjat dan pangkat.Mereka pula telah terpaksa mencari bahan mentah untuk menghasilkan barangan mereka dan terpaksa keluar menerokanya dari luar daerah budaya mereka. Sejarah pertembongan kebudayaan dan penciptaan baru mereka telah memberi pelbagai faedah dan keistimewaan kepada kebudayaan mereka sendiri.

Ironinya mereka tidak pernah meuarkan bahawa ciptaan mereka adalah demi untuk kebaikan manusia sebaliknya mengangkat nama pribadi mereka yang diutama dan dipentingkan. Mereka juga telah menetapkan dasar bahawa segala penciptaan hasil budaya samada material mahupun intelektual atau ideologi adalah bersifat untuk memberi kepuasan optima kepada pengguna atau pelanggan. Kerana kepuasan menjadi ukuran disamping kepuasan itu sendiri tiada batasan dan sempadan maka sering malah telah menjadi kebiasaan di mana terdapat hasil-hasil budaya mereka melampaui had batasan kemanusiaan itu sendiri.

Mesej yang hendak disampaikan disini ialah keadaan perkembangan budaya material yang berkembang pesat ini akhirnya akan merosakan budaya hidup manusia sendiri jika tidak dibatasi dengan pengetahuan kerohanian, falsafah kehidupan atau keintelektualan akal yang terbimbing dan terikat kepada naluri dan fitrah kemanusiaan itu sendiri. Ini adalah kerana apabila hasil budaya dicipta mengikut kebebasan akal fikiran tanpa batas dan had serta mengikut kepuasan yang tidak bersempadan maka manusia akan terarah kepada melampau batas dan kemusnahan.

Jika dikaji sejarah kebudayaan manusia maka tidak dapat dinafikan bahawa terdapat kebudayaan yang ekstrim dan juga kebudayaan yang mundur dan negatif. Jika dibuat penyelidikan dengan mendalam demi untuk mencari jalan keluar dan mengelak dari kemusnahan maka kita akan mendapat dan menerima kesimpulan bahawa manusia yang mengamalkan cara hidup dan kebudayaan yang sederhana atau ditengah-tengah antara ekstrim dan negatif adalah kebudayaan yang paling selamat, sederhana dan seimbang.

Dan tidak perlu terkejut jika secara sains dan intelek mendapati cara hidup dan kebudayaan Islam adalah domain dalam kesederhanaan dan seimbang dari segi material dan moral. Jadi kepada jiwa yang hidup atau akal yang cerdik mengapa mesti menafikannya dengan perasaan cemburu atau dengki? Alangkah baik jika semua manusia yang berakal mencipta sesuatu untuk keperluan mutu hidup manusia mengikut ajaran dan kefahaman Islam? Jika kita dapat memahami hakikat kehidupan ini maka kita akan dapat jawapan adakah benar kebudayaan barat yang berdasarkan kebebasan total dan kepuasan tanpa sempadan itu tinggi kualitinya atau sebaliknya. Tentu sekali kita akan mengetahui bahawa sebenarnya kita ke arah kemusnahan hasil tangan sendiri jika kita juga mengamalkan budaya hidup tanpa batasan dan berdasarkan kepuasan.

Oleh Tun Sheikh

KALIMAH ALLAH UTK BUKAN ISLAM

0 comments
KALIMAH ALLAH DLM BUDAYA KITA

Satu e-mel yang Tun Sheikh terima meminta jelaskan pendirian terhadap isu penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam. Hal ini telah menjadi kes mahkamah dan tidak boleh kita memandai berfatwa sehinggalah diputuskan oleh pihak berkuasa mahkamah. Apa yang boleh ditegaskan disini ialah keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh mahkamah dari sudut pandangan Islam memang dibolehkan cuma dalam hal kepentingan adat dan budaya setempat dalam hal seperti negara kita ini hendaklah ada satu garis panduan supaya dapat mengekalkan kesefahaman, keharmonian dan keamanan.Perlu juga dijelaskan disini yang menjadi isu ialah mahkamah yang memberi hukum dan isu ini dimainkan secara politik. Ini yang sebenarnya yang merbahaya. Kita tinggalkan saja kejahatan atau keburukan orang yang berpolitik tersebut. Jangan kita terikut-ikut kepada keburukan yang coba mereka sebarkan dan jangan pula kita menyokong mereka.

Untuk menggambarkan betapa perlunya satu garis panduan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, Tun Sheikh ingin berkongsi pengalaman ketika tinggal di Indonesia dahulu. Ketika mula dan sampai beberapa bulan di Jakarta Tun Sheikh amat berminat melihat siaran dakwah agama di siaran televisyen. Pelajar-pelajar senior Tun Sheikh sering menegur dan akhirnya melarang kerana mereka bimbang Tun Sheikh akan terpengaruh. Memang benar telaan mereka dan tindakan mereka Tun Sheikh ucapkan terima kasih.

Tun Sheikh ingin membuat pengakuan bahawa siaran dakwah itu memamg amat menarik kerana menggunakan nama Allah yang pada mulanya memang Tun Sheikh ingat adalah ajaran Islam. Tun Sheikh bernasib baik kerana akhirnya tersentuh di hati apabila terdapat sesuatu kupasan permasalahan seperti tidak mengikut asas agama Islam. Tun Sheikh dapat mengesanya kerana Tun Sheikh mempunyai asas pelajaran agama Islam yang ditimba di kampung dan juga di alam persekolahan dari darjah satu sampai tingkatan 6.
Hati pula tersentap apabila teman-teman seasrama menegur, menasihat dan melarang Tun Sheikh menontonnya. Mereka khuatir akhirnya nanti Tun Sheikh akan murtad.

Persoalan disini ialah bagaimana atau jika mereka yang mengikuti dakwah seperti Tun Sheikh alami tidak mempunyai pengetahuan dan asas agama.Bayangkan bahawa Tun Sheikh yang ada asas dan dari keluarga lebai pun boleh mengaku bahawa dakwah bukan Islam yang menggunakan nama Allah itu memang menarik sekali.Ini adalah realiti kehidupan dan sedang serta terus berlaku di Indonesia sampai pada hari ini. Siaran-siaran dakwah agama bukan Islam yang menggunakan nama Allah pada hari ini boleh ditonton dari negara kita berikutan teknologi penyiaran telah maju dan berkembang. Mungkin kita alpa kerana kita tidak perasan kewujudannya atau ketika ini telah banyak mekanisma dan peralatan mahupun program-program yang lebih menarik.

Satu lagi persoalan bahawa kita hendaklah jangan lupa bahawa kita belum malah tidak menguasai bidang eknomi dinegara ini. Maksudnya kita terhalang dari segi ekonomi dalam menjalankan dakwah Islam yang berkesan. Ini adalah kerana pada realitinya kewanganlah yang mempercepatkan segala tindakan meskipun dalam falsafah budaya kita wang itu bukan segala-galanya.

Seperti di Indonesia ketika Tun Sheikh tinggal disana, mata kita tidak akan dapat mengelak dari melihat papan-papan iklan gergasi atau billboard yang mempromosi samada barangan atau dakwah agama dan perkhidmatan dengan nama tuhan Allah. Belum lagi dengan dendangan hawa telinga tetapi alhamdullillah kerana semenjak reformasi kelihatan kegiatan dakwah dan penggunaan kalimah Allah di Indonesia berkurangan seolah-olah terkawal atau seperti ada MOU supaya tidak ada atau dapat dikurangkan unsur-unsur sensitif yang boleh mencetuskan perselisihan faham dan persengketaan.

Kita yang kurang mampu dari segi kewangan bolehkan bersaing dengan mereka yang amat mewah itu? Anak-anak kita sejak kecil akan terdedah dengan dakyah dan dakwah mereka. Jadi bagaimana kita akan dapat mengatasinya mengikut jalan agama kita. Ingatlah bahawa Islam tidak menghalang mereka mengamalkan agama mereka. Islam juga tidak menghalang mereka menggunakan nama Allah sebagai nama Tuhan mereka, Kita mesti menjelaskan kepada anak-anak kita dan saudara seagama kita bahawa nama Allah walaupun sama tetapi tidak sama apa yang kita imankan.Kita kena bekerja lebih keras dan adakah kita mampu dalam keadaan kita seperti tercicir dalam penghidupan seharian pada hari ini. Di masa depan pula bagaimana?

Pada peringkat awal ini Tun Sheikh syorkan supaya kerajaan membuat peraturan agar setiap kali nama Allah yang disebut oleh bukan Islam hendaklah dikutinya dengan agama anutan mereka. Contohnya, Tuhan Allah Kristian, Allah Budha, Allah Esa, Allah Siva atau sebagainya. Mereka tidak dibenarkan menggunakan tulis jawi atau Arab ketika menulis dalam bahasa Melayu yang menggunakan tulisan rumi. Semua iklan dan tulisan-tulisan atau logo yang ada menggunakan kalimah Allah mesti disisip atau bersekali atau bersebelahan dengan logo agama mereka seperti salib, patung Budha atau bunga teratai, logo agama dan sebagainya. Mereka dilarang menggunakan logo Islam yang berupa bulan sabit, bintang dan kalimah huruf Arab itu sendriri.

Dari segi pergaulan, kita hendaklah membudayakan atau mewajibkan agar semua rakyat Malaysia menyebut agama anutan mereka ketika dan setiap kali memperkenalkan diri. Perdebatan agama di tempat-tempat terbuka dan di tempat awam yang tidak formal hendaklah dilarang. Semua rakyat hendaklah diberi kebebasan mengadakan upacara agama atau sembahyang secara individu atau beramai mengikut kesesuuaian atau kebenaran penguasa atau tuan rumah dan mereka hendaklah saling menghormati agama lain sesama sendiri.

Insayallah jika kita tetapkan garis panduan mulai sekarang maka semua rakyat Malaysia terutama generasi akan datang akan mengenal dan faham apa maksud dan siapa Allah dan terhadap perkataan Allah yang disebut-sebut itu. Mereka juga akan memahami ketetapan perlembagaan negara dan menghormatinya. Mereka akan saling faham-memahami dan berusaha bersama mengekalkan keharmonian dan keamanan dalam bermasyarakat.
Amin Amin ya Allah.

Oleh Tun Sheikh

PERSEPSI ACUAN MELAYU KONTEMPORARI

0 comments
MELAYU DAHULU, MELAYU KONTEMPORARI DAN MELAYU WAWASAN

MELAYU KONTEMPORARI
Melayu Kontemporari bermula dari tahun 1800 di era Abdullah Munshi. Zaman Abdullah diambil penulis hanyalah sebagai panduan kerana ketika itu beliau merupakan pelopor pemikiran baru bercorak moden. Meskipun Abdullah Munshi dianggap tokoh yang terpengaruh dengan penjajah Inggeris tetapi adalah seorang tokoh yang berani mengkritik institusi raja yang menyeleweng dan keadaan feudal yang kelihatan menzalimi rakyat biasa. Ciri positif daripada pandangan Abdullah Munshi ialah nilai atau ukuran yang diperkatakannya seperti suatu garis panduan yang dicadangkan oleh beliau bagi menambahbaikkan cara hidup dalam semua hal terutamanya dalam bidang pelajaran dan kesihatan kepada bangsa Melayu. Abdullah juga tidak segan mengakui dirinya sebagai orang Melayu meskipun sebenarnya beliau adalah berdarah campuran Melayu dan kuat darah India Muslimnya.

Kehebataan Abdullah terletak kepada keberanian dan tajam pandangannya terhadap nilai kebudayaan atau cara hidup dan amalan harian yang lebih baik dan mampu dilakukan oleh semua bangsa. Abdullah Munshi juga berjaya mendapatkan pandangan rakyat biasa mengenai kebudayaan dan kehidupan orang Melayu iaini pandangan mereka terhadap pembesar dan raja mereka. Masa itu pandangan dan perbauran orang Melayu dengan penjajah atau Inggeris masih terhad . Sebenarnya penjajah Inggeris memang sengaja mengasingkan diri dengan orang Melayu kerana menjaga kepentingan mereka. Mereka hanya bergaul dengan raja dan pembesar yang mengikut telunjuk yang difahami sebagai nasihat mereka. Meskipun Abdullah terpengaruh dengan cara hidup Inggeris yang dianggapnya baik tetapi beliau tidak mengamalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam. Beliau mengkritik perbuatan berjudi dan minum arak serta pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Pegawai Inggeris dan orang Melayu yang melampaui batas mengamalkan budaya barat itu dijauhinya.

Abdullah Munshi bukanlah berasal daripada keluarga pembesar Melayu . Beliau berasal dari keturunan India Muslim dari Pulau Pinang dan India dan kemudian berhijrah ke Melaka. Beliau mewarisi didikan bapanya yang mengutamakan pelajaran Inggeris. Kerana beliau fasih bertutur Inggeris, beliau telah dilantik menjadi penterjemah kepada pegawai Inggeris di Melaka. Beliau kemudian mengajar bahasa Melayu kepada pegawai-pegawai Inggeris dan dari situ beliau menerima gelaran Munshi. Apabila mendapat maklumat bahawa keadaan sosial dan ekonomi di Melaka bertambah merosot dari hari ke sehari dari pihak Inggeris dan kecewa dengan keluarganya serta keadaan orang Melayu di Melaka seolah-olah telah melupakan adat Melayu yang bernilai tinggi dengan meniru cara hidup Inggeris, beliau telah mengambil keputusan berpindah ke Singapura. Walau bagaimana pun salah satu sebab utama beliau berpindah ke Singapura adalah kerana undangan pihak Inggeris dan Temenggong Johor dan kerana kecewa dan bersedih terhadap kematian isteri beliau. Beliau telah berpindah ke Singapura dengan membawa kesemua anaknya termasuk Ibrahim yang akhirnya menjadi penasihat Sultan Johor dan pemangku sultan.

Adalah baik jika dinukilkan semula pandangan Abdullah Munshi terhadap orang Melayu dan pembesarnya secara kesimpulan kerana ini akan menggambarkan keadaan orang Melayu Dahulu yang telah dibicarakan dalam Siri atau Buku Melayu Dahulu. Antara pandangan Munshi Abdullah yang tepat ialah keadaan pembesar Melayu merampas tanaman dan ternakan rakyat biasa. Hal ini dilakukan oleh orang-orang raja atau pesuruh raja. Kadang-kadang raja tidak menitahkan mereka tetapi tingkahlaku mereka berlagak mereka mempunyai kuasa dan titah raja. Mereka sering mengertak rakyat atas nama raja sehingga rakyat tidak selesa dan berasa takut jika terserempak dengan rombongan raja atau pesuruh raja.

Akibat besar dari ketakutan ini rakyat biasa telah menceritakan kepada Abdullah Munshi bahawa mereka bukanlah pemalas sebagaimana Abdullah Munshi sangka kerana enggan mengusahakan tanah bendang yang luas dan malas menternak binatang peliharaan bagi menambah rekzi atau sumber pendapatan. Sebelum itu, Abdulllah telah memberi cadangan agar menanam bahan makanan tambahan seperti tebu dan pokok buah-buahan secara besar-besar atau kuantiti yang abanyak supaya boleh dijual dan menambah pendapatan atau ekonomi sekaligus taraf hidup. Tetapi apa yang diusahakan oleh orang Melayu terutamanya di kampung-kampung hanyalah tanaman bahan-bahan makanan yang hanya cukup untuk satu keluarga kecil. Contohnya mereka menanam serai dan ubi keladi hanya cukup untuk satu keluarga terdiri daripada tiga atau empat orang.

Abdullah Munshi tidak menyangka bahawa persoalan yang ditimbulkannya menjadi suatu keinsafan dan kesedaran yang amat mendalam kepada dirinya apabila dijawab bahawa mereka sengaja tidak berusaha banyak kerana apalah guna berbuat demikian sebab akan diambil secara paksa atau dirampas oleh pihak istana atau orang-orang raja. Orang raja atau pesuruh raja memang tidak melakukan apa-apa pekerjaaan kecuali menunggu titah sultan atau pembesar atau penghulu dan titah atau perentah bukanlah datang selalu. Mereka menganggur dan untuk memenuhi keperluaan harian mereka dan keluarga mereka, mereka telah mengambil hakmilik rakyat atas nama sultan atau pembesar mereka.

Orang kampong menganggap mereka adalah penyamun yang dilindungi raja. Lebih-lebih lagi kebanyakan dari orang-orang suruhan raja atau pembesar Melayu adalah orang yang mempunyai rekod hitam atau yang pernah melakukan jenayah. Untuk menyelematkan diri daripada kena hukuman mereka telah menyerah diri dan mengabdikan diri kepada raja atau pembesar mereka. Raja menerima mereka dan pada waktu yang sama semua pembesar hingga budak-budak atau pesuruh raja tidak bergaji. Malah raja sendiri menganggap milik rakyat adalah milik mutlak baginda. Ini adalah penyakit feudal Melayu yang dikesan dan tidak disetujui oleh Abdullah Munshi. Beliau menganggap sudah sampai masanya setiap diri orang Melayu menyedari hakikat hidup dan setidak-tidaknya cara hidup mengikut panduan agama kalau tidak dapat meniru atau mengamalkan cara Inggeris yang moden yang tidak bertentangan dengan Islam.

Satu lagi delima yang tidak disenangi oleh Abdullah Munshi ialah bagaimana raja-raja Melayu mendidik anak mereka. Mereka menyerahkan putera mereka termasuk yang bakal menjadi raja kepada pembesar untuk mendidik mereka. Sehubungan itu putera-putera raja membesar dengan kebebasan yang penuh tanpa ditegur oleh ayahanda mereka. Manakala pembesar pada kebiasaannya hanya menjaga kebajikan dan kehendak putera-putera raja yang dibawah asuhan mereka. Mereka juga tidak berani menegur dan melarang kerana khuatir raja murka. Akibatnya putera raja membesar dalam keaadaan yang buas kerana tidak pernah disekat dan dihalang apa-apa kemahuan mereka oleh pembesar yang diserah mengasuh mereka.

Putera-putera raja bebas dengan kehendak mereka dan terpaksa dipenuhi jika mereka berhajatkan anak dara kampung atau isteri orang sekalipun. Yang aibnya bukanlah mereka mengambil terus sebagai gundek mahupun isteri tetapi hanya seketika untuk memuaskan nafsu dan permainan. Hal ini telah disindir oleh Abdullah Munshi sebagai mengajar anak harimau menangkap mangsanya dan mangsanya adalah dari kalangan rakyat jelata. Tentunya apabila besar nanti dan berkuasa harimau akan lebih kejam dan zalim. Keadaan ini digambarkan oleh beliau dengan sinis sekali kerana mengikut fikirannya, ini akan mengakibatkan orang Melayu terus mundur kerana perlakuan raja mereka sendiri.

Selain dari hasil penulisan Munshi Abdullah tidak banyak penerbitan yang menjurus atau mengemukakan pengajaran dan teladan berbentuk diri individu lebih-lebih lagi terhadap orang awam. Dalam era Melayu Dahulu, penulis atau boleh juga dikatakan pencatat berita dan keadaan sosial pada era Melayu Dahulu itu masih berkisar di istana dan watak heronya adalah putera raja atau pembesar istana. Sepanjang tahun 1800 – 1900 , penulisan penulis kelihatan masih terikat dengan pengaruh dan kuasa istana. Para cerdik pandai kelihatannya masih hidup bergantung atau aktif di istana kerana dibiaya atau pasaran dan peminat tulisan mereka terdapat di situ.

Hasil penulisan yang banyak dijumpai di Riau, Singapura, Johor, Alor Setar, Kelantan, Trengganu dan Pahang kebanyakannya berkisar mengenai peristiwa dan hal kerajaan atau istana. Gambaran yang dibentangkan oleh Munshi Ibrahim, anak kepada Munshi Abdullah pada tahun-tahun 1870-an hingga 1900 adalah juga berkisar istana dan tampuk pemerintahan. Keadaan dan gambaran cara pemerintahan dijalankan dan keadaan negeri Johor, Selangor, Perak dan Kedah juga adalah berkaitan dengan pemerintahan dan kerajaan. Begitu juga catatan dari Riau dan di Kedah dan juga negeri-negeri lain oleh penulis yang boleh dikatakan terdiri daripada pembesar dan keluarga istana.

Setelah tahun 1900 hingga Perang Dunia Kedua barulah banyak peristiwa atau hasil karya penulis mencatat hal-hal individu atau kelompok masyarakat Melayu secara bebas. Ini adalah berikutan wujudnya persuratkhabaran dan kemudahan mesin percetakan. Penulis atau pencatat cerita-cerita Melayu sudah berani menghasilkan novel cinta, kebebasan anak muda yang berpendidikan, perjuangan terhadap keselesaan hidup, kisah adat dan budaya Melayu yang dianggap kolot dan mengkritik cara hidup para pembesar dan kalangan istana yang dianggap seperti kenyang makan pisang tetapi punggong dicucuk duri atau hidup dalam kepompong sendiri dengan pembaziran.

Pemikiran orang istana dan para pembesar seolah-olah jumud kerana terpengaruh dengan cara hidup sahabat-sahabat rapat mereka yang terdiri dari orang eropah samada pengusaha ladang, saudagar perniagaan atau pentadbir yang bias kepada dasar penjajahan. Mereka digambar dalam penulisan atau catantan penulis sebagai golongan yang telah merosakan kebudayaan adat Melayu beraja dan telah hilang daulat kerana tidak mempedulikan keadaan sosial dan kebajikan rakyat.

Kesadaran dan kebebasan menyuarakan cita rasa dan pandangan ini berterusan di era 1920-an dan 1930-an. Isu-isu yang dibawa atau mendapat perhatian dan menarik minat orang Melayu ialah isu-isu kesihatan, pendidikan dan berita-berita perkembangan teknologi baru atau penciptaan barangan harian yang baru dari eropah meskipun tiada lagi dalam pasaran tempatan. Berita dan prihal istana yang ortodok atau tradisional tidak banyak dan tidak menarik. Sebaliknya hal-hal istana yang menggambarkan keburukan dan kebobrokan bebas ditulis dan digemari pembaca. Istana tidak lagi menjadi idola tetapi dipantau terus dan dimuatkan dalam berita akhbar mahupun penulisan novel atau cerpen mengenai salah laku dan perihal pembaziran dan kerendahan atau kerosakan peradaban budaya hidup dalam istana kerana terpengaruh dengan budaya barat.

Di Zaman Pendudukan Jepun pada tahun 1940-an, orang Melayu dikatakan sebagai baru bangun tidur dan membuka mata dalam keadaan terkejut apabila Tanah Melayu, negara mereka yang di anggap dalam keadaan aman dan bahagia serta kuat kerana diperintah oleh Inggeris jatuh dan kalah dalam peperangan dengan Jepun. Tentera-tentera Jepun sangat ditakuti dan orang Melayu bertambah terbeliak mata apabila mendapati orang Jepun yang datang adalah lebih kecil dan pendek fizikal dari orang Melayu sendiri tetapi bersemangat waja, berani dan keras.

Berikutan daripada itu barulah orang Melayu sadar untuk berpolitik dan membina pemerintahan dan berkerajaan sendiri. Pelbagai fahaman bertembong dan pelbagai kecelaruan dasar dan prinsip dibahas dan dibincang secara aman mahupun ganas dan panas. Ketika inilah penjajah Inggeris yang banyak pengalaman telah membentuk strategi dan mempengaruhi secara halus agar negara Melayu yang hendak dibina mengiktiraf pendatang asing yang dibawa mereka dan yang sangat menyedihkan adalah seolah-olah mengiktiraf mereka sebagai pelindung dan penasihat yang mesti dicontohi dan ikuti persis seperti acuan yang telah disediakan.

Pada tahun 1950-an, Tanah Melayu merayakan kemerdekaan Negara dengan kegembiraan. Rakyat tidak sadar kemerdekaan tanah tumpah darah mereka dan tanah pusaka nenek moyang yang dikenali sebagai Tanah Melayu ini pada namanya saja merdeka tetapi pada dasarnya kebebasan dalam semua hal adalah mengikut cetak dan acuan sebagaimana yang dikehendaki dan disediakan oleh Inggeris. Kehalusan budi Inggeris menyediakankan tali jerat di leher bangsa Melayu tidak kelihatan. Dengan sebab itulah meskipun sudah 50 tahun merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong dan belum merdeka. Akal orang Melayu tidak dapat membaca kelicikan Inggeris dan sekutunya sehinggalah disadarkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada era 1980-an hingga 2000.

Kelemahan dalam keyakinan dan jatidiri Melayu seperti diberi nafas baru. Tetapi sungguh sayang dan amat dikesalkan kerana jika zaman selepas merdeka, pembangunan Negara begitu pesat mengukir dan melakar rupa bandar, desa dan kota dalam suasana aman dan keiklasan tetapi di tahun-tahun 1980-an yang sangat menonjol dan kelihatan, adalah peluang menjadi jutawan segera. Phenomena ini sekaligus seolah melahirkan bangsa Melayu baru yang telah lupa daratan kemampuan dan bangsa Melayu Baru itu kelihatan hilang kejatian diri kerana diserang penyakit kerakusan materi. Penyakit yang kronik ini merebak luas kepada pemimpin-pemimpin Melayu hingga mereka amat bijak menubuhkan, mewujudkan kroni dan berkonsifirasi jatuh-menjatuhkan satu sama lain, membunuh karier teman dan sahabat handai bahkan sanggup memasukan sanak-saudara sendiri dalam penjara batu dan besi.

Dr Mahathir pula mungkin kerana telah terlalu lama memegang tampok kuasa dan kerajaan kelihatan terlalu yakin atau over confident sehingga segala inisiatif dan keagresifan beliau pada akhir tahun-tahun pemerintahannya kelihatan seperti arahan dari seorang dictator dan beliau mulai dibenci. Sekali lagi orang Melayu seperti anak ayam kehilangan ibu apabila beliau yang begitu berjasa telah meletakkan jawatan Perdana Menteri .

Penulis menamatkan perbahasan tamadun Melayu era atau period kontemporari pada tahun 2000 dan ditambah sedikit keterlanjuran pengganti Dr Mahathir yang dilihat begitu tolerat dan berkompromi sehingga menggambarkan kelemahan diri beliau sendiri dan gagal memulihkan keyakinan rakyat yang tercemar sejak era Dr Mahathir. Pak Lah bukan saja tidak berjaya merungkai kekusutan peninggalan Dr Mahathir tetapi telah menjadikan keyakinan, pengaruh dan kuasa politik orang Melayu bertambah kusut dan masai.

Manakala Dato’ Najib pula, kehebatannya masih belum menandingi populariti ayahanda beliau sendiri. Padahal zaman ayahanda beliau yang berkhidmat dengan ketulusan dan keikhlasan itu telah lama jauh meninggalkan sejarah dan telah dilangkaui oleh kehebatan Dr Mahathir.

Konklusi dari penulisan Melayu Kontemporari ini agak ironi dengan gambaran futuristik penulis setelah yakin dan mendapat gambaran serta teladan dari sejarah dunia bangsa manusia, bahawa apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin Melayu Kontemporari samada terpaksa atau dengan persetujuan pada zaman kekuasaan mereka, sebenarnya mereka sedang menyediakan acuan kebudayaan hidup anak cucu mereka di masa hadapan. Acuan yang mereka sediakan kelihatan begitu rapuh kerana mereka sendiri sebenarnya tidak mempunyai jatidiri dan menjiwai maruah bangsa Melayu dan menghargai kebudayaan Melayu sejak sekian lama. Maruah bangsa Melayu telah dicemar dengan pemikiran penjajah yang telah disemai dalam minda mereka. Ketika berkuasa mereka hanya bertopeng kerana keseronokan dan keasyikan dengan tarian ronggeng Melayu supaya dapat terus puas menari menikmati kecantikan gadis Melayu di sebalik topeng yang dipakai mereka.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara dalam buku Melayu Dahulu, Melayu Kontemporari dan Melayu Wawasan yang masih belum terbit.

KEDAULATAN ADAT TABAL BERUBAH MENGIKUT KUASA

0 comments
ANTARA ADAT KERIS DAN SENAPANG INGGERIS

Pada zaman dahulu, hukum hutan rimba sering digunapakai bagi membawa maksud mendapat keselesaan hidup kerana kekuatan fizikal. Peristilahan ini atau lebih tepat sebagai perbidalan dalam kebudayaan Melayu yang memberi gambaran kepada hidupan haiwan di hutan.Binatang atau sepisis yang besar, kuat dan ganas mudah menangkap binatang lain sebagai mangsa dan sumber makanan. Haiwan yang lemah menjadi korban. Apabila dikaji secara sainstifik, suatu konklusi ditemukan dimana keadaan itu sebenarnya adalah fitrah alam dan mempunyai peranan tertentu dalam pusingan dan keseimbangan hidupan haiwan mahupun tumbuhan bagi menstabilkan keadaan dunia secara semula jadi.

Apabila diimplimentasikan kepada manusia, perbidalan ini seolah-olah masih sesuai digunakan. Samada dari segi konotasi dan definisinya, ia masih relevan dan membawa maksud mendapat tempat dan pangkat kerana kuat, berani dan ganas atau keras. Hal ini sebenarnya berterusan hingga ke hari ini tetapi mengikut perkembangan dan proses-proses yang lebih bertamadun. Bertamadun bererti budaya adab dan kesopanan yang lebih halus dan mendapat sanjungan dan penerimaan majoriti.

Pada hari ini sesiapa yang mempunyai akal paling pintar dan berpelajaran tinggi maka pelbagai tawaran dan pilihan kearah menggapai kedudukan tinggi dan menikmati kesenangan hidup adalah terbuka luas. Seseorang yang bertubuh badan yang lemah atau tidak sihat, tidak berpelajaran tinggi akan menjadi mangsa atau hanya sebagai pekerja bawahan. Pada hari ini keadaan menjadi begitu kritis atau getir apabila lambakan individu yang berpelajaran tinggi daripada pelbagai bidang, terpaksa bertanding diantara satu sama lain untuk merebut sesuatu keistimewaan yang menjamin keselesaan dan kesenangan hidup.

Phenomena ini sebenarnya adalah terlahir daripada sifat nafsu yang melatah hasil didikan budaya sonsang yang mengutamakan citarasa menjadi ukuran kepuasan. Padahal kepuasan itu sendiri tidak bertepi. Seharusnya, apa yang perlu adalah didikan untuk perpaduan minda dari pelbagai bidang supaya dapat berbincang dan bekerjasama mencipta material dan keadaan agar bertambah sempurna dan dapat dinikmati semua.

Berbalik kepada perkembangan perbidalan di atas maka tergambarlah bagaimana seorang yang gagah pada zaman dahulu dapat menjadi ketua, ketua kumpulan, ketua kelompok, ketua masyarakat, ketua kampung dan kawasan, daerah, negeri dan raja. Tidak kira apa permulaan kerjayanya walau sebagai perompak, penebang pokok, lanun mahupun pemburu atau nelayan semuanya tercatat dalam rekod sejarah pernah menjadi raja. Dan raja itu adalah raja manusia di serata dunia malah juga di alam Melayu.

Masa terus beredar dan zaman terus berubah tetapi konotasi perbidalan tersebut tetap masih releven. Maka tergambarlah kita bagaimana kekuatan adat berkeris yang mengikut catatan sejarah berasa diri telah hebat dan sombong di kalahkan oleh senapang-senapang barat yang lebih sombong dan bongkak. Adat istiadat dilangkaui, maka orang yang menjadi raja adalah yang bukan berhak sebagai raja, menteri yang makan tersuap dan putera-putera raja berfikiran yahudi. Ini semua telah terjadi kerana ketika itu kuasa senapang adalah lebih canggih dari kuasa keris dan hukum rimba terus berlaku.

Pada zaman itu, kalau ditanya rakyat jelata mengenai idaman mereka, jawapan yang lazim ialah berkahwin dengan anak raja. Ini adalah kerana golongan istana mendapat keselesaan hidup yang paling ideal. Mudah, meriah dan mampu berjalan mendada walaupun tanpa sedar mulut terpaksa bergantung kepada penjajah untuk disuap. Penjajah pula sangat faham, apabila perut buncit kekenyangan, nafsu berahi akan bertambah, nafsu tinggi telah melepaskan kunci khazanah negara kepada penjajah yang kuat dan kelihatan hebat dengan senapang-senapang canggih.

Sehubungan dengan itu, jika ada diri individu yang menuntut tahta atau hak warisan keluarga, adalah wajar diperiksa dengan pelbagai ingatan. Kelayakan tidak semestinya mengikut adat kerana adat keris sudah lama dipersendakan oleh kecanggihan senapang Inggeris. Di zaman langit terbuka ini telah terbukti zuriat keturunan yang gagah, bijak dan hebat juga diwarisi dari benih kaum perempuan. Manakala prinsip demokrasi seringkali tercemar dengan isu rasuah. Jadi apa yang boleh dilakukan adalah dengan menilai kesemua hajat golongan dan tokoh mestilah bersih daripada kefasikan dan maksiat berdasarkan syariat Islam.

Oleh Tun Sheikh
Berikutan banyaknya timbul isu tuntutan hak terhadap Istana Kelantan, Perak, Kedah, Pahang, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan.
 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere