Dato’ Hassan Ali dan Prinsip-prinsip Perjuangan Islam
Dua minggu sebelum Dato’ Hassan Ali dipecat, Tun Sheikh secara kebetulan bersua Dato’ Mustapha Setiausaha Agong PAS di Hospital Pakar Tawakal Kuala Lumpur. Tun Sheikh ke situ kerana demam dan tidak sihat. Semasa sama-sama menunggu panggilan dari kaunter pendaftaran Tun Sheikh telah mengambil peluang untuk berbual-bual dengan beliau. Apa yang menariknya ialah tokoh-tokoh kepimpinan PAS ini rata-rata bersikap jujur dan tenang. Tun Sheikh berasa lapang kerana mereka begitu mesra walaupun tidak mengenali kita. Tun Sheikh percaya ini adalah kerana mereka tidak bersangka buruk kepada sesiapa. Mereka telus dan sentiasa menjadikan hujah dari qalam Allah mahupun hadis dan sunnah sebagai panduan dan pegangan. Jika kita melakukan kesilapan umum mahupun pribadi mereka mudah memaafkannya. Mereka mengutamakan dasar-dasar syariah daripada pandangan atau kepentingan peribadi sendiri. Ciri-ciri inilah yang tidak banyak ada pada kepimpinan Melayu UMNO.
Tun Sheikh sempat memperkenalkan diri sebagai orang biasa yang pernah mengikuti ceramah atau kelas Dato’ Hassan Ali mengenai ilmu keibubapaan dan kekeluargaan sebelum Dato’ Hassan menyertai PAS. Tun Sheikh juga pernah mengikuti kuliah Ustaz Nasaruddin Mat Isa sehingga berjaya memperolehi segulung diploma Tassawur Islam. Tun Sheikh juga memberitahu, Tun Sheikh berasal dari Johor yang terkenal dengan UMNO totoknya. Tun Sheikh juga mengakui bahawa sumbangan besar Dato’ Hassan memang banyak terutama dalam bidang kepakarannya itu kerana boleh dikatakan Tun Sheikh berjaya membina keluarga dan mendidik anak-anak mengikut nasihat atau ilmu yang didapati daripada kelas beliau. Tun Sheikh hanya menambah dan menyesuaikan serta menyelaraskan dengan pendidikan Islam dan hasilnya memang memberangsangkan. Tun Sheikh juga secara berterus terang memang meminati Dato’ Hassan Ali dan pemikirannya malah menghormatinya.
Tun Sheikh bertanya pandangan Dato’ Mustapha mengenai Dato’ Hassan Ali yang digemburkan oleh media dan jawapannya secara bersahaja dan menepati atau menyenangkan Tun Sheikh kerana harapan dan pandangan Tun Sheikh terhadap Dato’ Hassan Ali serupa malah dipersetujui bersama oleh Dato’ Mustapha. Dato’ Mustapha memberitahu bahawa Dato’ Hassan terperangkap dan diperangkap oleh pakar strateji UMNO yang gerun terhadap kemajuan dan kebangkitan PAS. Dato’ Hassan telah diperguna oleh mereka secara halus dan kesilapan Dato’ Hassan ialah tidak merujuk dan meminta restu atau nasihat dari Majlis Syura/Ulamak PAS. Di sinilah letaknya kelemahan Dato’ Hassan Ali kerana banyak pembaharuan yang dibawanya dirasanya telah memberi faedah yang besar kepada PAS. Dato’ Hassan tidak sabar kerana sesuatu keputusan atau nasihat mahupun fatwa dari majlis syurat ini dianggap terlalu lambat. Dato’ Hassan terlupa bahawa Majlis Syura terdiri dari mereka yang ahli dan pakar dalam pelbagai bidang dan sesuatu isu perlu dikaji, diselidik dan ditapis sehalus mungkin sehingga keputusan yang dikeluarkan menjadi pegangan asas atau dasar yang sesuai dan tidak bercanggah dengan Quran dan Sunah mahupun pandangan ijmak ulamak yang telah ada dan adat yang tidak menyalahi syarak.
Seminggu setelah pertemuan itu Dato’ Mustapha mengumumkan pandangannya dalam akhbar Harakah tetapi tidak dipersetujui oleh Dato’ Hassan Ali sehingga selaku Setiausaha Agong PAS, Dato’ Mustapha terpaksa membuat beberapa kenyataan akhbar untuk bertahan dari penyelewengan fakta yang dimainkan oleh media UMNO. Dato’ Hassan terus dengan pendiriannya seolah-olah terbela dengan pandangan atau mempunyai pengikut ramai yang menyokongnya. Padahal itu hanyalah ilusi jahat ciptaan UMNO untuk merosakkan keyakinan rakyat terhadap dasar PAS. UMNO takut jika wibawa Dato’ Hassan terus membuka mata kumpulan professional untuk menyertai PR. Mereka yakin jika para ilmuan skular, pakar dan para professional ini tidak serasi dengan cara dan gaya PAS, mereka masih terbuka untuk menyertai PKR atau DAP yang sama objektif kearah menubuhkan sebuah kerajaan berkebajikan untuk semua rakyat, telus dan amanah dari segala penyelewengan. Pada waktu yang sama pemimpin UMNO yakin mereka akan terus gagal jika cuba membersihkan UMNO daripada budaya rasuah dan pelbagai penyelewengan yang tidak disukai rakyat terutamanya para ilmuan dan para professional.
Akhirnya, Dato’ Hassan Ali dipecat yang dianggapnya sebagai keputusan gopoh dan dipengaruhi oleh PKR. Sebenarnya beliau telah lama diperhatikan sejak beliau menyertai PAS dulu. Beliau sering dinasihati dan berbincang mengenai kuasa ekserkutif Majlis Syuara/Ulamak sebagai suatu entity tertinggi dalam birokrasi Islam. Mungkin kerana menghormati ketokohan dan kepakaran beliau, perbincangan dan nasihat adalah dalam bentuk terbuka dan bukan sebagai arahan. Kepimpinan berharap beliau mengerti dan dapat menerimanya kerana beliau seorang tokoh ilmuan yang dianggap bijak dan cerdik. Beliau memang berilmu tinggi tetapi kejayaan beliau telah mencuri waktu beliau sehingga tidak mempunyai masa untuk mentelaah ilmu-ilmu keibubapaan dari sumber islam. Tidak banyak yang dapat beliau ubah dan alih teori dan dasar ilmu keibubapaan skular menjadi atau selaras dengan sumber Islam. Hal ini telah membuat Dato’ Hassan seolah-olah terlupa bahawa segala ilmu itu telah disempurnakan oleh Allah, cuma kita sahaja dimaklumkan daripada akses pembelajaran kita sama ada sumber itu dari seseorang tokoh ilmuan terkenal atau dari sumber Islam dan sebagainya. Segala ilmu dari Allah tetapi yang buruk itu wajar kita akui dari dan kerana kelemahan diri kita. Kuasa ikhtiar dan kuasa memilih serta usaha kita itu menentukan sama ada ilmu itu kita akui dari Allah atau sebaliknya dan ini dipertanggongjawabkan ke bahu kita oleh Allah Swt.
Tun Sheikh rasa disinilah Dato’ Hassan tersilap kerana kejayaan beliau membuktikan bahawa ilmu atau kepakaran yang ada pada dirinya telah pun sampai dan diterima masyarakat umum telah melupakan beliau bahawa Majlis Syura/Ulamak adalah badan yang mempunyai kuasa pemutus tertinggi dan tidak tergugat atau boleh diganggu-gugat. Keadaan yang tenang walau dalam apa jua keadaan yang diamalkan oleh Majlis Syura PAS dilihat seolah-olah tidak memainkan peranan secara optima dan proaktif. Bagi Tun Sheikh, segala tindakan Dato’ Hassan yang mendahului keputusan atau restu Majlis syura telah mengakibatkan keyakinan Dato’ Hassan terhadap majlis itu tipis. Manakala ketenangan Majlis Syura dalam segala keadaan adalah membayangkan mereka berpendirian tegas dangan sumber utama Quran dan Hadis dan itulah ciri-ciri keimanan kerana mengetahui kuasa dan redha ketentuan Allah.
Dato’ Hassan terlupa kekurangan dirinya dalam bab-bab yang bersangkut paut dengan syariat Islam sehingga menjadi cara dan gaya hidup seorang muslim adalah menjadi matlamat utama Majlis Syura/Ulmak PAS. Dato’ Hassan Ali sebenarnya bukanlah suka kepada UMNO kerana rasa kecintaan Islamnya telah memperlihatkan perilaku kecurangan UMNO. Beliau juga tidak sabar dengan apa yang dianggap kelembapan atau lambat PAS bertindak terhadap sesuatu isu. Beliau betul-betul terlupa bahawa kepimpinan PAS tidak membuat keputusan mengikut sesedap hati atau fikiran. Beliau begitu yakin kelembapan inilah yang membuat PAS tercicir. Dan beliau sangat bersetuju bahawa PAS kelihatan bergerak maju apabila banyak ahli-ahli berpendidikan skular dan professional seperti beliau menyertai PAS kerana beliau sendiri telah berusaha dan menarik ramai Melayu skular dan professional yang tiada berlatar belakang agama menyertai PAS. Hal ini pula sangat dikhuatiri UMNO kerana PAS selama ini dilihat jumud kerana ketiadaan professional di dalamnya. Mereka, para ulama dan para ustaz sering diperlekeh kerana gagal menunjukkan kecekapan pelaksanaaan tadbir yang sistematis dan cemerlang.
Apabila PAS berjaya menerangkan kesederhanaan Islam yang prihatin kepada seluruh manusia meskipun kepada yang kafir dan menerangkan penyelewengan Melayu UMNO sehingga menarik ramai kaum India dan Cina dan yang bukan beragama Islam menyokongnya, UMNO bertambah curiga jika tembelangnya akan pecah dan terus merencana pelbagai onar untuk melemahkan PAS. PAS pula sangat mengenali prinsip dan dasar UMNO yang double standard dan hipokrit. Mereka banyak berdoa dan menyerah takdir kepada Allah yang memiliki rencana terbaik. Itu pun setelah PAS bertungkus lumus menampan dalam keadaan serba kekurangan. Namun mereka tetap yakin mereka akan dikurniakan dua kemenangan iaitu di dunia meskipun mungkin kalah dan dianiaya serta difitnah di dunia, mereka menang dengan kesabaran. Dan di akhirat tentu sahaja janji tuhan tidak bohong. Marilah kita semua berdoa semoga Tuhan membuka pintu hati kita untuk mengimarakkan Sunatullah,sunahNYA. Amin….
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Kuala Lumpur 25.1.2012
Pak Uteh dan Mak Uteh Malu Perkenal Menantu
Di musim Raya Aidil Fitri lepas Tun Sheikh sekeluarga sibuk memenuhi undangan majlis pernikahan atau kenduri kahwin saudara dekat mahupun saudara jauh dan keluarga sahabat handai. Bermula dari selatan Johor iaitu pada hari raya ketiga hingga ke Kedah pada pertengahan Syawal dan ke Perak dan Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan di penghujung Syawal. Ada yang terpaksa Tun Sheikh tinggalkan kerana tidak sempat atau terkena pada hari dan tarikh yang sama.
Di Perak, Tun Sheikh telah singgah meraikan majlis kenduri keluarga pupu dan telah bertemu sanak saudara yang datang ke sana. Bapa pengantin menceritakan bahawa adiknya sudah setahun lebih bermenantu tetapi tidak memperkenalkan menantu barunya itu. Sebelum itu ahli keluarga telah mendapat berita bahawa isteri adiknya itu atau Utih telah menuntut cerai daripada Pak Utih. Ketika majlis perkahwinan di Perak itu Mak Utih telah hadir dengan suami baru dan begitu juga Pak Utih dengan isteri barunya. Masing-masing menunjukkan sporting dan persefahaman dengan gaya tersendiri. Mereka telah memperkenalkan pasangan masing-masing kepada sanak-saudara dan juga bermesra diantara mereka sendiri.
Suami baru Mak Utih berusia 60 tahun iaitu 3 tahun tua dari Mak Utih. Beliau kelihatan begitu segak dan masih tegap. Pak Utih pula telah memperkenalkan isteri barunya yang berusia 38 tahun yang cantiknya lebih kurang seperti Mak Utih juga. Tetapi apabila ditanya berkenaan menantu mereka, masing-masing tidak menjawab dan coba mengalihkan perbualan.
Semasa mereka sedang berhadapan isu perceraian, anak perempuan mereka telah putus tunang kerana keluarga sebelah lelaki tidak mahu anak mereka hidup terumbang ambing dengan keluarga yang ada sejarah perceraian. Anak Pak Utih seorang guru perempuan berijazah memiliki wajah yang cantik seperti Mak Utih. Ketika anak gadisnya sedang kecewa, Mak Utih telah membawanya berubat secara tradisional bagi mengembalikan semangat dan menghilangkan kemurungan. Tidak disangka pengamal perubatan tradisional itu ialah seorang pemuda yang telah berusia 40 tahun yang masih bujang. Daripada beberapa pertemuan beliau telah jatuh hati kepada El yang sedang dirawatnya. Mak Utih mendapati beliau cocok dengan anak gadisnya kerana Bakar mempunyai tampang yang kacak kerana berdarah campur Melayu-Arab. Kedudukan social dan kewangan atau perusahaannya juga telah stabil. Mak Utih mendapat maklumat bahawa Bakar lambat untuk berumah tangga kerana menjaga ibunya dan setiap kali Bakar atau ibunya perkenalkan calon isteri ada sahaja yang tidak berkenan di hati masing-masing. Apabila memperkenalkan El, ibunya terus bersetuju dan sangat gembira. Mereka pun telah mengadakan majlis perkahwinan di sebuah hotel terkenal di ibu kota.
Apa yang berlaku ialah, Mak Uteh telah mengenepikan keluarga Pak Utih ketika memperkenalkan bakal suami El. Setelah bernikah, abang Pak Utih iaitu Pak Long sangat terkejut kerana mengenali Bakar selaku bekas pekerjanya yang pemalas dan suka berpoya-poya. Bakar sering menunjuk-nunjuk gadis-gadis di pejabat tempat beliau bekerja terhadap keberadaan keluarganya dan juga sering membawa teman perempuan yang berlainan ke pejabat. Pendeknya Bakar ialah seorang pemuda yang tidak bertanggongjawab dan telah menggunakan kekacakannya memperdaya gadis yang tergila-gila kepadanya. Bakar memang tinggal bersama ibunya kerana bapanya beristeri empat tetapi kelewatan Bakar mendirikan rumah tangga atau bertemu jodoh bukanlah kerana factor ibunya tetapi kerana perangainya diketahui keluarga perempuan dan menolak pinangan atau mendapat halangan daripada keluarga gadis yang hendak diperisterikan.
Abang Bakar pula berkerja di bawah Pak Itam iaitu adik kepada Pak Ngah yang mengadakan majlis kenduri kahwin di Perak. Pak Itam tidak suka kepada Bakar kerana abang Bakar ialah seorang pekerjanya yang tidak bersopan dan bertanggongjawab. Bakar dan abangnya kini telah berhenti dari bekerja dengan Badan Berkanun. Mereka mempunyai perangai yang lebih kurang serupa dan suka menunjuk-nunjuk seolah-olah dari keluarga yang berada pada hal tidak seberapa. Bapa mereka hanya seorang ketua kampong dan pengamal perubatan tradisional. Kelebihannya yang sering diperkatakan ialah kerana dekat dengan ramai pemimpin UMNO. Kini Bakar mewarisinya. Ada desas desus mengatakan Bakar telah menjampi Ela untuk dirinya sendiri ketika Ela berubat dengannya.
Di penghujung majlis ketika Tun Sheikh sedang bersiap untuk pulang, barulah Ela suami isteri sampai. Tun Sheikh secara firasat terasa Bakar tidak selesa berkenalan dengan Tun Sheikh. Dia menolak permintaan bapa mertuanya supaya makan sehidang dengan Tun Sheikh tetapi terpaksa. Dari perbualan, Tun Sheikh mengetahui bahawa amalan perubatannya adalah dapatan dari saka dan ditambah dengan sedikit mempelajarinya atau menuntut di Indonesia. Firasat Tun Sheikh, aura pengamalan Bakar ialah dengan bantuan dampingan atau bantuan makhluk halus bukan makrifat kepada Allah. Tun Sheikh dapat mengesannya kerana dia seolah-olah kepanasan dan tidak suka bercerita mengenai ketuhanan meskipun mengaku mengamalkan perubatan Islam. Apa yang menarik mengenai Bakar ialah pengakuannya yang telah bertaubat dengan perangai muda-muda dahulu setelah menceburkan diri dalam perubatan tradisional. Tun Sheikh gembira dengan ketelusannya itu tetapi muskil dengan keyakinannya terhadap rawatan tradisional yang didakwa mengikut syariat Islam.
Akhirnya sukalah Tun Sheikh mengingatkan dan menasihatkan anak-anak muda bahawa memang terdapat sebuah hadis yang bermaksud bahawa kita akan berjumpa dengan orang-orang yang biasa kita kenal di dunia ketika di akhirat nanti. Bayangkan keadaan akhirat yang begitu luas dan besar tetapi orang yang kita jumpai ialah orang yang telah biasa kita kenal di dunia. Di dunia yang kecil ini lebih-lebih lagi kerana melihatkan keadaan Bakar bahawa dia tidak dapat lari atau merahsiakan perangai nakalnya ketika muda sampai seolah-olah dihukum Tuhan kerana terpaksa menanggung perasaan malu atau tidak selesa ketika bertemu dengan orang yang dikenal ketika berperangai buruk. Oleh sebab itu kita hendaklah memastikan kita sentiasa bersopan santun dan berakhlak mulia kerana hari ini akan menjadi imej pada diri kita di masa hadapan. Satu perkara lagi yang mungkin anda tidak peka ialah apabila kita berkelakuan buruk atau mengamalkan sesuatu amalan yang bercanggah dengan syariat Islam, maka kita akan terasa tidak begitu selesa dan senang apabila bergaul atau berdekatan dengan orang yang alim atau para pendakwah yang ikhlas kepada Allah. Rahsianya ialah roh yang kotor memang telah ditetapkan oleh Tuhan akan berasa panas dan berusaha menjauhkan diri daripada roh yang bercahaya.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara