MALAYSIA BERTUAH KEPADA PENDATANG?

0 comments
MALAYSIA BERTUAH KEPADA PENDATANG
Mereka Nampak Duit dan Rezki Yang Bertaburan

Pada tahun 1977, Tun Sheikh sangat benci kepada kaum pendatang terutamanya yang datang dari Indonesia. Ini adalah kerana seorang pemuda di kampong Tun Sheikh ditikam penceroboh rumahnya di malam hari ketika beliau mengejar pencuri itu. Seorang rakan pencuri iaitu seorang pemuda Indonesia dari Pulau Jawa berjaya ditangkap tetapi orang yang menikam Md Salleh terlepas lari dalam kegelapan malam.Enam bulan Md Salleh terlantar di Hospital Muar, Lukanya hanya seinci sipi di pinggir jantung. Pada masa kejadian Tun Sheikh masih seorang belia remaja dan sangat taksub kepada UMNO. Penduduk kampong mengadu kepada ketua kampong dan ketua UMNO,meminta supaya kedatangan pendatang asing ini disekat. Apa yang memeranjatkan apabila sebulan kemudian penduduk kampong mendapat jawapan dari kepimpinan tertinggi UMNO Johor yang mengatakan bahawa pendatang asing terutama dari Indonesia memang digalakkan kedatangan mereka kerana kita kukurangan buruh kasar di sektor pembinaan berikutan anak-anak muda tempatan tidak berminat menjadi buruh binaan. Disamping itu pola kelahiran Melayu juga telah merosot.

Di awal 1980-an Tun Sheikh pergi melanjutkan pelajaran di Jakarta dan berhadapan dengan masalah sosio budaya kerana apa yang Tun Sheikh sangka terhadap kemiskinan Indonesia tidak begitu kelihatan di Kota Metropolitannya itu. Mereka kelihatan begitu kaya dan jurang kemiskinan adalah begitu jauh sehingga Tun Sheikh tidak berpeluang langsung mendekati keluarga marhean di Jakarta. Walau bagaimana pun pandangan masyarakat peratengahan mereka sangat suka dan memuji-muji pembangunan ekonomi Malaysia dan menggalak pemuda kampong mereka berhijrah ke Malaysia mencari pencarian hidup daripada datang ke Jakarta yang tidak menjanjikan kesenangan hidup dalam waktu yang singkat.

Ketika di Jakarta, Tun Sheikh mendapat berita dari Kedutaan Malaysia di sana dan juga berita dari sahabat-sabahat handai di tanahair mencerita kedatangan berbondong-bondong pekerja buruh asing dari Indonesia. Ada yang datang mengikut saluran undang-undang tetapi kebanyakannya datang secara haram. Pada mulanya kaum lelaki dan kemudian kaum wanita yang juga bekerja sebagai buruh binaan. Hanya pada tahun 1986 kaum wanita mula menumpukan pekerjaan sebagai pembantu rumah.

Pada tahun 1984 dan 1985 ketika tiap kali musim percutian semester universiti, Tun Sheikh berkesempatan mengikut teman sekuliah pulang ke kampong mereka di Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur. Tun Sheikh dilayan dengan begitu baik dan mereka sangat berbangga menerima Tun Sheikh, seorang pemuda Malaysia menjadi tetamu mereka. Diantara tempat dan kampong yang masih Tun Sheikh ingat bermalam dan menghabiskan cuti beberapa hari di sana ialah seperti Grogol, Bandung, Tengkerang di Jawa Barat. Kuningan, Majerkerto, Magelang, Surabaya, Solo, Cilacap di Jawa Tengah dan Gerisik, Tasik Malaya dan banyak lagi di Jawa Timur.

Apa yang ingin Tun Sheikh rakamkan di sini ialah pemandangan kampong mereka yang kelihatan begitu tenang dan masih mengamalkan budaya yang begitu harmoni. Jarak rumah dengan rumah yang lain tidak begitu jauh kerana penduduknya padat tetapi boleh dikatakan kebersihan halaman rumah amat dijaga atau diutamakan meskipun masih banyak rumah-rumah mereka terbuat daripada dinding buluh yang dianyam cantik. Uniknya bumbung rumah mereka beratap genting walaupun sesetengah lantai rumah masih tidak diturap dengan simen lepa.

Apa yang membanggakan Tun Sheikh adalah setiap kali bertanya ke atas beberapa buah rumah yang tersergam sedang dalam pembinaan di kampong berkenaan dinyatakan bahawa anak lelaki atau ketua keluarga rumah berkaitan sedang bekerja di Malaysia. Wang yang dikirimkan dibelanja mendirikan rumah yang agak cantik dan selesa berbanding dengan rumah-rumah lama penduduk di situ.

Pada tahun 1986 Tun Sheikh balik meninggalkan Jakarta memulakan hidup Tun Sheikh sendiri di tanah air tercinta. Sepanjang 10 tahun hingga tahun 1996 Tun Sheikh mendapat perkhidmatan seramai 8 orang pembantu rumah dengan pelbagai ragam untuk keluarga Tun Sheikh. Setelah memiliki seramai 5 orang anak, tiada pembantu rumah Indonesia yang mahu bekerja kerana ketika itu pedatang wanita lebih cenderung bekerja di kilang, restoren dan kompleks-kompleks membeli belah serta bekerja dengan syarikat-syarikat pencuci bangunan kerana mendapat upah yang lebih lumayan, kerja lebih ringan dan lebih bebas dari segi sosial mereka.

Pernah Tun Sheikh mengunjung ke Indonesia pada tahun 1998 bertamu di rumah bekas pembantu rumah Tun Sheikh dan mendapati rumah miliknya di desa yang baru dibinanya adalah lebih besar dan selesa dari rumah Tun Sheikh sendiri hasil dari tabungan wang bekerja di Malaysia.Apabila ditanya bagaimana beliau dapat menabung begitu banyak, Tun Sheikh diberitahu bahawa pekerjaan yang paling banyak dapat menabung duit ialah kerja pembantu rumah walau penat dan sibuk. Jika gaji RM450 sebulan, mereka boleh menabung dan mengirim RM400. Dan jika bekerja sebagai pembantu restoren atau kedai makan yang bergaji RM500 – RM700 mereka boleh menabung sebanyak RM450 atau RM650 bersih setiap bulan kerana perbelanjaan makan dan sewa rumah ditanggung majikan. Selebihnya diberitahu bahawa barangan pembinaan rumah masih murah di desa-desa dan dengan wang dari Malaysia yang agak besar juga nilainya maka dapatlah mereka menaikkan taraf hidup mereka.

Itu sedikit mengenai kejayaan pekerja wanita Indonesia dan bagi kaum lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan, jika pandai berjimat adalah lebih lumayan lagi. Apabila ia menjadi isu politik maka datang pula berbondong-bondong pekerja dari Bangladesh beriras India, Kempuchea dan Nepal beriras Cina. Ketika ini perkhidmatan mereka telah mencapai ditahap bahaya kerana pergantungan kepada mereka amat dirasai sebab kedatangan mereka tidak mengikut perancangan yang teliti sehingga boleh mengancam keselamatan negara lebih-lebih lagi terhadap ekonomi yang akan lumpuh jika mereka meninggalkan negara ini. Sektor pembangunan negara dan perkhidmatan sokongan harta modal manusia akan lumpuh jika mereka pulang semuanya. Dan yang amat merisaukan, aliran ekonomi negara juga akan berterusan lembab kerana mereka menghantar wang ke tanahair mereka dan tidak dibelanjakan semuanya disini.

Tun Sheikh terilham menulis ini apabila terasa tercabar dengan kenyataan seorang pengusaha yang berasal dari Pakistan menjadi kaya di sini dan telah menjadi warganegara kerana melihat sungguh banyak wang dan rezki yang bertaburan menunggu dikutip oleh mereka yang mempunyai penglihatan dan wawasan. Memandangkan Tun Sheikh telah berusia lewat petang maka harapan Tun Sheikh, cabaran ini disambut oleh anak-anak muda kita.

Siapakah orang Pakistan itu? Cukup Tun Sheikh menjelaskan bidang yang diceburinya iaitu pada mulanya beliau hanya membeli secara kecil-kecilan dengan harga yang murah terhadap hasil lukisan anak Melayu tempatan. Tetapi oleh kerana mata dan akalnya berupaya menilai mutu dan nilai masa depan lukisan yang bertaraf dunia, beliau berjaya menjual dan melibatkan diri dalam bisnes itu sehingga berjaya mangaut keuntungan beratus kali ganda. Dapatkah anda bayangkan jika sebuah lukisan yang dibelinya dari seorang pemuda Melayu anak tempatan yang tiada siapa mengetahui taraf dan mutu yang tinggi ada padanya kecuali sipendatang Pakistan ini dengan hanya beberapa ratus ringgit, dijualnya dengan harga ratusan ribu ringgit di pesada dunia? Bayangkanlah usahanya ini dan ini bukanlah mimpi.

Inginkah anda bertemu beliau untuk mengetahui rahsia kejayaan beliau dengan lebih terperinci dan lanjut sebagai iktibar dan teladan? Datanglah ke pameran lukisan koleksi beliau yang sedang diadakan di Arkib Negara Malaysia bertempat di Galeria Sri Perdana Jalan Damansara Kuala Lumpur . Pameran koleksi beliau telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia YAB Tan Sri Muhyuddin Yassin pada 3 Julai dan pameran berterusan sehingga 30 September 2010.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

WARIS ENGKU MD YASIN JMF JEJAKI KETURUNAN

1 comments

WARIS ENGKU MD YASIN JMF JEJAKI KETURUNAN

Di minggu pertama bulan Mei 2010, Tun Sheikh diperkenalkan oleh anak saudara pupu Engku Azuan bin Engku Zaedin kepada sahabat wanitanya yang mengaku berketurunan kerabat diraja Kedah yang telah dipinggirkan. Namun mereka masih ada pengaruh di negeri Melayu Siam Selatan. Tun Sheikh tertarik dengan ceritanya yang memiliki salasilah dan sampai darah keturunannya kepada Raja Iskandar Zulkarnain. Sehubungan bukti dakwaan dan salasilah ini beliau telah diiktiraf oleh Majlis Diraja Sepanyol yang mewarisi darah keturunan Iskandar Zulkanain di benua Eropah dan melantik beliau sebagai wakil kerabat dan keturunan Raja Iskandar Zulkarnain bagi zon Asia Tenggara dengan gelaran Her Excellency Princess Romona. Biodata beliau boleh didapati di Face Book.

Hal ini membibitkan ilham Tun Sheikh dimana mengikut Buku Sejarah Melayu yang dianggap legenda dan mitos bahawa raja-raja Melayu mempunyai darah keturunan Iskandar Zulkarnain maka hal ini ternyata boleh dinyatakan kebenarannya bahawa ia bukan mitos lagi dengan adanya salasilah dan pengiktirafan Her Excellency Princess Romona dari Kedah ini oleh Majlis Diraja Sepanyol.

Bertambah menarik apabila Tun Sheikh mengesan terdapat sebuah marga keluarga diraja Kedah yang besar mendakwa datuk nenek moyang mereka beragama Islam dan menyibarkan agama tersebut di Kedah sejak abad ke 8 lagi. Hal ini juga mengingatkan pertemuan Tun Sheikh dengan Dato’ Adi Taha, bekas Ketua Pengarah Muzium Negara pada tahun lepas yang mengatakan beliau sedang sibuk membuat kajian secara sukarela menjejak bahan bukti sejarah kedatangan Islam di Kedah. Apabila terbukti kesahihannya nanti, sejarah perlu diubah bahawa Kedah telah Islam mendahului Melaka (1400) dan mungkin Pasai atau Samudera (1200).

Pertemuan dengan Engku Romona juga telah mengingatkan Tun Sheikh terhadap permintaan pertolongan dari waris Engku Md Yasin JMF yang telah terpinggir gara-gara politik Inggeris dan Sultan Johor terhadap keluarga mereka. Mereka meminta bantuan untuk mengesan waris ketika Tun Sheikh membuat kajian lapangan mengenai sejarah Biografi Tan Sri Mahyuddin Yassin, Dato’ Wan Idris Wan Ibrahim dan Sejarah Bakri Muar.

Fakta-fakta yang mereka bekalkan ialah Md Yasin JMF sebenarnya mempunyai darah raja. Sebelah bapa dari Kesultanan Ceribon dan sebelah nenek iaitu Tun Zainab/Tun Hawa ialah puteri Engku Mansor bin Bendahara Tun Ali Pahang. Bonda Md Yasin ialah Cik Zaimiah, puteri Tuanku Khadijah bte Tuanku Muda Chik, Tuanku Ampuan Negeri Sembilan bersuamikan Panglima Salleh @ Abdllah Teoko. Cik Zaimiah bergelar Cik Puan Puteri Istana Seri Menanti (diuar-uarkan sebagai anak angkat istana kerana bapanya dari orang kebanyakan). Beliau dijodohkan dengan Tengku Zakaria dari Mabau.

Engku Md Yasin bin Engku Long bin Engku Md Noh bin Tengku Muhamad bin Tengku Ibrahim bin Tengku Ismail (maklumat sebelah Melayu Johor kerana Ceribon tidak bergelar tengku, didapati dari keturunan Jawa Sunan Ampel dengan keturunan orang kaya Muar mengatakan keturunan Md Yasin JMF ialah dari Sunan Gunung Jati Ceribon Sharif Hidayatullah al Idros) lahir 1900 di Muar dan telah diculik oleh Sultan Ibrahim Johor pada tahun 1913. Beliau menjadi Askar Tuanku (JMF). Pada thun 1918 berkahwin dengan Cik Kalsom Mingan dari kerabat Orang Kaya Muar (Hj Yusuf). Mendapat seorang anak lelaki Engku Atan dan berzuriat. Sekitar penghujong 1920-an berkahwin dengan Engku/Wan Zainab binti Tengku Abdullah dari kerabat di raja Kedah.Dikurniakan dengan 6 anak lelaki iaitu Engku Ahmad (berzuriat), Engku Abdullah (berzuriat), Engku Yusuf (meninggal berusia 14 tahun), Engku Yahya menjejaki bondanya di Kedah ketika berusia 16 tahun dan putus khabar berita, Engku Zakaria ditangkap Jepun menjadi buruh pembinaan keretapi Siam tetapi pernah ada berita beliau pulang ke pangkuan bondanya di Kedah dan Engku Talib (berzuriat).

Sepemergian bondanya, ayahandanya Engku Long bernikah lagi dengan Engku/Wan Mandak binti Engku Taib bin Engku/Tun Hassan bin Engku/Tun Mansor bin Bendahara Tun Ali Pahang dan dikurniakan hanya seorang anak perempuan bernama Engku Juriah adik kepada Engku Md Yasin JMF berlainan ibu. Pada tahun 1947 Engku Md Yasin JMF berkahwin dengan Cik Maimunah bt Nasir atau bte Fatimah Lebam bt Engku Ali dari kerabat diraja Tengkera Melaka. Engku Md Yasin dikurniakan 5 putra puteri iaitu Engku Hasnah dan adik-adiknya. Boleh dirujuk di www/Geni.com. Beliau meninggal di rumahnya di Bakri Batu 2 Muar pada 22 Februari 1979.

Pekerjaan Engku Md Yasin JMF ialah Askar Tuanku (JMF) 1913-1923/24, Pemimpin Kumpulan Rimau Muar 1924-1948, Pegawai Keselamatan Kelab Hospital Muar 1947-1960 dan pesara.Moyangnya Engku Muhamad (Lebai) ialah ketua saudagar raja dan perahu dari Pulau Jawa (Ceribon) 1820-1879, berdagang tepung sagu rumbia(cap kunci), ikan kering/asin, garam dan lain-lain dan memiliki beberapa jong/perahu besar. Beliau berkongsi dengan seorang saudagar arab di Muar, Sheikh Ibrahim. Datuk Engku Md Yasin JMF, Engku Md Noh menetap dan berdagang sagu rumbia cap kunci ayahandanya di Muar 1868-1922. Beliau pernah mengikut ayahandanya belayar sebagai saudagar raja. Di Muar, beliau telah meneroka dan membuka Bakri pada tahun 1868-71. Membuka dan meneroka Sg Raya 1879 dan menjadi naib penghulu di situ hingga 1895. Menulis Syair (Syair Orang Jawi) 1903.

Engku Md Noh dan anaknya Engku Long ketika berdagang dan menjadi naib penghulu tidak bertauliah telah tinggal di rumah mereka iaitu sebuah rumah bungalow besar separuh batu dan separuh papan yang dijadikan sebagai kedai, pejabat, gudang dan juga tempat tinggal/penginapan pekerja dan penumpang jong. Rumah ini dipagari tembok batu dan berpintu gerbang dan di atasnya ditaruh kunci, lambang cap niaga tepung sagu rumbia yang diniagakan. Rumah kedai ini terletak di pertemuan Jalan Arab dan Jalan Bakri (kini pam minyak- 2010) , 300 meter dari Kuala Bentayan yang merupakan Bandar Muar (lama) sebelum Bandar Maharani dibuka pada tahun 1884.Di bumbung rumah ini juga diletakkan lambang atau ukiran kunci. Sebuah kedai emas mereka terletak di Bandar Muar Lama (berhadapan pasar sekarang) telah dirobohkan pada tahun 1950 oleh Majlis Bandaran.

Nama lain Engku Md Yasin ialah Md Yasin Askar Tuanku, Md Yasin JMF, Engku Long Bakri, Engku Yasin, Long Yasin, Yasin Spital, Md Sakai, Md Baran, Md Iblis, Pak Unggal. Kang Long, Raja Beliad, Raja Wau dan Raja/guru Rimau. Nama atau gelaran popularnya ialah Md Yasin Askar Tuanku dan Md Yasin JMF.

Dari maklumat sejarah lisan, keluarga ini (Hj Muhamad) telah membekal senjata keris pedang dan tombak dari Jawa dan 30 kati emas ketika Perang Jementah untuk Penghulu Kesang atau Tengku Alam tetapi berjaya dirampas oleh askar dari Kapal Pulai Temenggong Johor. Anaknya Hj Md Noh pula telah membantu bapa mertuanya Tun Mansor dengan membekal senjata dan pengikut (orang-orang Jawa) serta 30 kati emas wang belanja tetapi pemberontakan Pahang tidak jadi kerana campur tangan Inggeris dan Maharaja Johor di Muar dan di Singapura.Senjata dan emas belanja diserahkan kepada Engku Mansor manakala orang-orang Jawa pulang ke rumah meneruskan kerja kampong seperti biasa. Kerana inilah, keluarga Hj Md Noh telah ditekan dan dinafikan hak dan tiada sebarang rekod tercatat mengikut strategi dan nasihat Inggeris dan ini sezaman dan serupa seperti peranan Inggeris terhadap kesultanan Kedah yang disingkir.

Sesiapa yang mempunyai maklumat atau hubungan dengan beliau (Engku Md Yasin JMF) atau mengetahui cerita rahsia keluarga seperti kegiatan beliau dalam kongsi gelap Melayu naungan sultan dan berita-berita kerabat beliau yang terputus seperti kerabat diraja Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan kesultanan Ceribon silalah hubungi Tun Sheikh atau warisnya di e-mel tunsheikh@hotmail.com, engkurashid@yahoo.com atau abangengku@gmail.com.

Ihsan dan ikhlas oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

ISLAM ABANGAN TELAH SEBERANG SELAT MELAKA

1 comments
MELAYU SINGAPURA YANG MENCURIGAKAN

Minggu lepas, Tun Sheikh bersama isteri telah berkunjung ke Johor Bahru dan bertemu dengan beberapa orang kawan lama. Banyak yang kami bincang dan perkatakan. Ada satu hal yang dirasa menarik untuk tatapan dan difikirkan di sini terhadap dilema yang dihadapi oleh sahabat isteri Tun Sheikh. Beliau menceritakan ini ketika Tun Sheikh dan keluarga menikmati makanan barat KFC dikedainya di Johor Bahru.

Vivi seorang perempuan Cina berasal dan telah dibesarkan di Pulau Pinang. Beliau datang dari keluarga sederhana yang menganut agama Budha dengan dua orang abang, seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki bongsu. Mereka kini telah dewasa dan Vivi berusia 45 tahun. Adik perempuannya berusia 41 tahun dan sedang menetap di Singapura. Oleh kerana rumah keluarganya di Pulau Pinang berhampiran dengan sekolah Melayu, maka Vivi dan adik perempuannya telah disekolahkan oleh orang tua mereka di situ. Fahaman keluarganya agak liberal dan kesemua anak mereka tidak dihantar ke sekolah aliran Cina.
Sejak bersekolah di sekolah rendah dan menengah, Vivi dibenarkan keluarga mereka mengikuti mata pelajaran agama Islam di sekolah. Meskipun diberi pilihan, Vivi dan adiknya tertarik untuk mengikuti mata pelajaran agama Islam kerana menganggapnya mudah. Mereka tidak pernah gagal dalam ujian mahupun di dalam peperiksaan tetapi mereka tidak mengambil mata pelajaran agama Islam dalam PMR dan SPM.

Setelah berusia 20 tahun, Vivi memasuki alam pekerjaan di beberapa syarikat swasta di Pulau Pinang. Berbekalkan Sijil Urusan Perniagaan dan pengalamannya serta minat untuk berniaga telah mendorong beliau membuka kedai KFC francais miliknya di badaraya Johor Bahru ketika berusia 30 tahun. Beliau fasih berbahasa Melayu dan kawan-kawannya terdiri dari pelbagai kaum. Akhirnya beliau bertemu jodoh dengan jejaka Melayu dan menganut Islam secara rahsia dari pengetahuan keluarganya.

Adiknya Viva pula terus melanjutkan pelajaran di Singapura. Di sebabkan kemudahan dan keadaan sekeliling untuk mengetahui tentang Islam agak terbatas tidak seperti sebelumnya di Pulau Pinang, Viva sering menanyakan permasalahan adat dan kepercayaan Islam dari seorang pensyarah muda yang aktif berdakwah di tempatnya belajar. Pensyarah muda itu juga adalah seorang imam di tempat kediamannya. Mereka akhirnya terpikat dan bertemu jodoh dan Viva memeluk Islam di Singapura juga secara rahsia dari pengetahuan keluarganya.

Oleh kerana kakaknya berniaga di Johor Bahru, Viva sering datang dan menginap di rumah kakaknya dan mendapati kakaknya menunaikan solat. Mereka terus mesra dan masing-masing mengetahui kedudukan agama masing-masing dan sering bertukar pandangan dan berbincang apabila menghadapi masalah agama Islam. Mereka sungguh mesra dan masing-masing telah mempunyai anak tetapi jarang balik ke Pulau Pinang kerana ibu bapa mereka telah meninggal dunia.

Bulan lepas Viva telah datang dan menginap empat hari di rumah kakaknya Vivi melepas rindu setelah setahun tidak berkunjung. Selepas mengerjakan solat dan membuka telekong, Vivi ternampak rantai salib dipakai oleh adiknya Viva. Selepas bertanya dan bercerita akhirnya Vivi mendapati dari pengakuan adiknya Viva bahawa dia beragama Kristian. Viva juga mengaku masih beragama Islam. Dia mengaku menganut Kristian dan juga Islam. Hal yang sangat memeranjatkan ialah Viva menganut Kristian telah setahun dan dia memeluk Kristian atas desakan suaminya iaitu seorang pensyarah yang pernah aktif dalam dakwah Islamiah dan bekas imam masjid di Kondo kediaman mereka.

Kini , suami Viva adalah seorang paderi Melayu pendakwah agama Kristian terkenal di Singapura. Viva diminta bantu oleh suaminya untuk mengkristiankan orang-orang Cina dan perempuan-perempuan Melayu. Vivi menceritakan lagi bahawa suami adiknya mempelajari agama Islam dengan seorang pendakwah dari Indonesia. Islam dan Kristian tidak dibeda-bedakan di sana dan mereka boleh berkahwin tanpa menukar agama. Islam ini dikenali sebagai Islam Abangan. Apabila mereka bersama orang Islam, mereka akan mengaku dan bersembahyang sebagai Islam dan apabila mereka berkesempatan mereka akan menarik sebanyak mungkin kenalan supaya menganut Kristian yang dianggap mudah dan praktis di zaman moden di dunia tanpa sempadan ini.

Tun Sheikh mendoakan Viva akan mendapat taufik dan hidayah semula memandangkan hatinya masih berat kepada agama Islam. Beliau berasa buntu dan tidak nampak cara untuk melepaskan diri dari suami tercintanya, seorang pensyarah dan pendakwah Kristian yang dihormati ramai. Ramai juga orang Melayu Singapura telah menganut Kristian dan ramai juga suku Melayu dari Indonesia yang telah menjadi pengikut setia suami dan dirinya.

Sama-samalah kita mengawal supaya Islam Abangan budaya Indonesia ini tidak menular di Malaysia. Pada hakikatnya atau sepengetahuan Tun Sheikh, Islam Abangan di Indonesia bererti mereka hanya mengaku Islam tetapi mengucap shahadah pun mereka tidak tahu atau tidak mahu. Mereka tidak solat dan berdoa atau sembahyang hanya ikut-ikutan apa saja kepercayaan atau anutan agama yang mereka suka. Mereka sendiri tidak tahu apa yang dilakukan dan mereka tidak diterima sebagai seorang muslim. Tetapi apabila ditanya apakah agama mereka, mereka akan menjawab dengan tegas bahawa mereka adalah Islam.
Kelihatannya seperti telah ada perubahan besar dan kegiatan para daei kristian memperalat Islam Abangan telah berjaya. Kini telah menular ke Singapura dan tidak mustahil telah ada di Malaysia. Sehubungan itu kita hendaklah peka dan berjaga-jaga supaya orang Melayu Malaysia yang terkenal dengan ikon Islamnya tidak dikristiankan sebagaimana yang berlaku di Singapura.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

KENAIKAN GAJI PENJAWAT AWAM

1 comments
DIPAKSA MENARI DI LANTAI TAK SAMA RATA

Di Parlimen yang sedang bersidang, menunjukkan blok kerajaan tidak gairah dengan isu kenaikan gaji penjawat awam. Jika sesuatu isu yang kecil tetapi berupaya menutup aib dan kebodohan besar yang telah terlanjur maka isu kecil itu akan segera dibesar-besarkan. Pelbagai kemudahan media dan saluran perdana digunakan bagi mempengaruhi rakyat. Pandangan ketidakpuasan hati terhadap kenaikan gaji hanya di jabatan tertentu memang boleh mencetuskan pemberontakan pekerja awam yang tidak berpuas hati atau setidak-tidaknya demontrasi jalanan. Negara akan bernasib malang jika mereka mogok serentak. Jentera kerajaan akan lumpuh.

Tindakan dan cadangan menaikkan gaji penjawat awam mestilah serentak dan selaras. Tiada alasan kerajaan untuk memilih yang mana dulu dan yang mana dikemudiankan. Ini adalah kerana rekod-rekod kenaikan dan kajian semula dan kaedah penyelerasan tersimpan baik dan boleh dirujuk. Jika alasan kerajaan baru dinaikkan 2 atau 3 tahun lepas tetapi telah sekian lama terabai sehing 10 atau 15 tahun dahulu tidak dikaji dan diselaraskan maka kenaikan yang baru 2 atau 3 tahun itu adalah atas dasar kepentingan politik sahaja dan tidak bererti.

Seharusnya perkara sebegini dengan tegas mestilah mengikut jadual dan jangan sekali-kali melibatkan keputusan politik yang boleh mengambil kesempatan kepada sesuatu suasana dan keadaan. Tentu sekali ketika penjawat awam yang sedang menerima kenaikan gaji merasa lega dan ceria dan pada ketika itu diambil kesempatan mengadakan pilihanraya di seluruh negara. Hal sebegini boleh dianggap sebagai rasuah psikologi.

Jika anda ialah seorang penjawat awam yang telah berkhidmat selama 30 tahun pasti anda mempunyai pengalaman dan nostalgia kenaikan gaji yang dikaji semula. Anda tentu bersetuju bahawa ia dilakukan tidak sekata, tidak selaras, tidak serentak malah ada kepentingan kepada pemimpin politik. Hal ini serupa saja seperti pengalaman menghadapi piliharaya. Ketika itu macam-macam yang disekat dan tertahan diberi untuk mengambil hati rakyat dan tidak kurang juga pada waktu yang sama pelbagai saman akan dikeluarkan, pelbagai kesalahan seolah-olah sengaja dicari-cari dan dikenakan denda dan apabila selesai pilihanraya diikuti pula gula-gula penyedap rasa seperti bantuan barangan atau elaun subsidi dan pada penghujung setahun pemerintahan, mulalah harga pelbagai barangan keperluan akan naik dan pelbagai cukai kepenggunaan dikutip secara tidak langsung. Jika dikaji dan ditinjau secara halus semua beban perbelanjaan ini sebenarnya ditanggong oleh rakyat.

Sehubungan dengan itu adalah diharap kerajaan akan segera berubah supaya lebih berintergeriti. Sekiranya tiada apa-apa yang dilakukan kecuali sibuk menunjukkan kehebatan yang semakin layu maka masanya akan terlambat. Kuasa politik kesukuan Melayu akan haus dan lemah. Pada ketika itu tiada siapa lagi yang boleh disalahkan dan sekiranya pengganti tampuk pemerintahan baru adalah lebih baik dari muka-muka Melayu maka ketika itu adalah zaman penghinaan terhadap diri yang sombong dan leka.

Sempena zaman globalisasi ini maka janganlah kita mudah dipermainkan lagi oleh minda kepimpinan yang tidak mempunyai intergrasi mahu pun intergriti diri ini. Sebaiknya disyorkan supaya Perdana Menteri dan Timbalannya agar tidak memegang apa-apa potfolio kementerian supaya rasuah kuasa dapat dikawal. Tentunya kita tidak akan lagi mendapati hanya Kementerian Pertahanan atau Kementerian Pendidikan atau Polis Diraja dan seterusnya mendapat imbuhan setiap kali Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri menjadi menterinya. Ini jika dilihat apabila mereka mempunyai kuasa dan pengaruh untuk menaikkan gaji tenaga kerja di kementerian yang diketuai mereka dan ini adalah tidak adil dan mewujudkan suasana tidak sihat. Marilah menyokong dan berubah kepada kebaikan jika amalan pada ketika ini dilihat tidak manis atau seperti ada penyelewengan.

Kerajaan mestilah peka dengan perkembangan ekonomi dan kos-kos sara hidup dan mestilah mempunyai jadual kajian dan kenaikan gaji kakitangan awam yang tetap mengikut pukal dan juga skim kekananan. Contohnya setiap 5 tahun mestilah dikaji semula secara pukal dan semua terlibat secara serentak. Dan secara skim kekananan contohnya kenaikan selain tahunan yang biasa mestilah ada tempoh dan jarak kekakanan di mana secara otomatis gaji melompat ke skim kenaikan pangkat meskipun tiada kekosongan. Tempat kenaikan pangkat tertinggi yang ada kekosongan itu boleh dikhaskan kepada yang cemerlang tanpa kira kekananan.

Maksudnya, di dalam sesuatu skim contohnya skim 41 dinaikkan gaji ke pangkat kanan 44 secara otomatis jika telah berkhidmat 7 tahun. Dan ke 48 apabila telah berkhidmat 7 tahun dan seterusnya ke 52 setelah 7 dan ke 54 secara otomatis jika telah berkhidmat 7 tahun. Di perkirakan semua individu apabila sampai 28 tahun berkhidmat dengan kerajaan mereka telah berada di pangkat terakhir dan teratas dalam sekim mereka. Begitu juga kepada semua skim sokongan penjawat bukan ijazah. Dan kepada yang cemerlang mereka boleh dipertimbang untuk naik ke pangkat yang lebih tinggi jika telah 3 tahun dalam skim hakiki.

Satu lagi syor yang boleh dipertimbangkan, kerajaan hendaklah membuat suatu perkiraan tetap bagi menentukan pemberian gaji yang terendah dalam perkhidmatan awam berdasarkan kos keperluan asas mesti dalam hidup seharian. Jika di zaman penjajahan dahulu, Inggeris menetapkan rumah buruh terendah pangkat, hanyalah sebuah bilik dan bilik air berkongsi dan gaji cukup makan untuk sebulan bersama seorang isteri dan 2 orang anak, maka pada hari ini ditetapkan kos tegar contoh cukup membeli barang keperluan mesti untuk diri, seorang isteri dan 4 orang anak. Kos barang yang dinilai mestilah mengikut harga pasaran semasa contohnya harga beras, gula, susu dan sebagainya yang diperlukan cukup untuk hidup bagi keperluan asas 6 kepala dalam satu keluarga untuk menampung hidup sebulan perbelanjaan.


Dalam ertikata lain, contohnya pada masa ini gaji sebanyak RM3,000 sebulan bagi seorang individu yang bekerja pada jawatan terendah adalah cukup untuk menampung kos hidup untuk dirinya dan 5 individu yang tidak kerja dibawah tangongannya, maka sifir ini digunakan sebagai asas pengiraan bagi memastikan rakyat yang berkerja pada pangkat terendah dapat menjalani dan menikmati hidup yang selesa. Gaji terendah ini hendaklah dijadikan asas kepada apa-apa jawatan dan pekerjaan termasuk di sektor swasta. Disamping itu kerajaan terus mengawal barangan keperluan asas bagi memastikan kuasa beli mereka berada dalam julat berkemampuan sepanjang masa.


Oleh Tun Sheikh - sebahagian dari minda dan idea dalam buku Melayu Wawasan yang masih belum terbit.

ADIPUTERA KANAK-KANAK PINTAR YANG PELIK

0 comments
MESEJ ADIPUTERA BUDAK PINTAR DUNIA DARI MALAYSIA

Kelmarin, anak Tun Sheikh tiba-tiba saja bertanyakan asal-usul keluarga. Tun Sheikh kata...ya Melayu dan boleh juga jika hendak mengaku sebagai Melayu totok.Bila ditanya apa cerita sebenarnya. Dia kata baru balik bersama rombongan staf kepimpinan Jabatan Islam UM dari menziarahi kanak-kanak pintar Adiputera di rumahnya di Gombak. Adiputera sangat sibuk tetapi terasa pelik di benak bapanya kerana dia kelihatan gembira dan sanggup menghabiskan masa lebih 2 jam bersembang dengan rombongan UM. Bapanya sering membantu melayani tetamu yang ingin berjumpa Adiputera. Pelbagai kelompok tidak kira dari jenis kerjaya atau umur dan pertubuhan telah datang untuk mengenali Adiputera secara dekat.

Kadang-kadang Adiputera bersikap pemilih yang tidak difahami oleh bapanya. Beliau enggan bertemu lama dengan kelompok-kelompok tertentu tetapi tidak terus menolak atau enggan berjumpa. Adiputera akan turun dari bilik dan ruang khas yang disediakan untuknya berkarya dan berfikir di ruang atas di rumahnya. Adiputera baru berusia 11 tahun tetapi telah mengusai banyak ilmu seperti tahfis dan tafsir al-quran dan hadis tetapi ikon kepintarannya ialah dalam matematik dan sains.

Adiputera sangat senang jika dirinya dikaitkan dengan anugerah Allah dan mengangkat kehebatan Islam daripada pujian-pujian yang dikhususkan kepadanya.Dia bersikap merendah diri dan adakalanya jika orang atau seseorang tokoh lebih-lebih memujinya, dia segera ingatkan mereka supaya kembali memuji dan bersyukur kepada Allah swt.

Tun Sheikh bertanya lagi...apa yang anak Tun Sheikh dan rombongannya dapat? Dia kata, bagi kami ini adalah anugerah Tuhan yang amat besar kepada bangsa Melayu. Ini bukan soal kehebatan dan kepelikan tetapi sebagai suatu mesej dari Tuhan kepada bangsa Melayu iaitu anugerah dan limpahanNya untuk memberi peluang bangsa Melayu mengenal diri dan bangun menjadi umat contoh di dunia ini.

Tun Sheikh bertanya lagi...apa yang diperkata oleh Adiputera atau bapanya? Anak Tun Sheikh cerita, dalam penghayatan dan kesimpulan dari rombongan mereka, mereka dapati Adiputera seorang kanak-kanak genuis pelbagai bidang dalam keilmuan Islam. Pelik kepada masyarakat umum kerana Adiputera memperoleh ilmu secara ilham dari cetusan minda yang sangat asas tetapi dia dapat mengolah dan memperjelaskan dengan begitu detail seperti seorang profesor atau seorang mahaguru.

Adiputera berpesan supaya cintailah Melayu dan kebudayaannya terutama yang tidak bertentangan dengan sunah. Hormatilah para raja yang mempunyai daulat dan keistimewaannya. Angkatlah daulah Islam setinggi-tingginya dan bersatupadu semua Melayu melalui agama dengan bangsa lain yang seagama dan juga dengan orang kafir yang tunduk kepada dasar-dasar Islam yang adil dan sempurna.Jadikanlah Al-Quran dan As-Sunah sebagai petunjuk utama dalam membuat segala dasar dan panduan amalan hidup seharian.

Bila Tun Sheikh bertanya Adiputera cenderung kepada fahaman politik parti apa? Anak Tun Sheikh berkata, dari hujah-hujahnya jelas adalah berasaskan Islam tetapi kerana lingkungan dan kesesuaian dengan kondisi dan situasinya dia seolah-olah menunjukkan minatnya kepada perjuangan keadilan atau Parti Keadilan. Walau bagaimana pun Adiputera sangat menekankan soal bangsa Melayu. Dia menyayangi raja, ulamak-ulamak dan tokoh-tokoh pemimpin Melayu yang tegas anti kepada rasuah dan segala keburukan.

Tun Sheikh tanya lagi..Apa yang amat terkesan di lubuk hati anak Tun Sheikh ketika bertemu dan bersembang dengan Adiputera? Anak Tun Sheikh kata, dia terasa seolah-olah Adiputera berkata kepadanya supaya janganlah melihat Adiputera dengan mata kasar, nanti hanya gembira dan berasa pelik. Lihatlah Adiputera dengan matahati supaya tersingkap mesej anugerah Tuhan kepada bangsa Melayu melalui Adiputuera ini.

Akhir sekali, anak Tun Sheikh sendiri bertanya kepada Tun Sheikh.. bah kenapa ketika salam terasa sangat sayang dan bulu roma terangkat dan terasa macam ada karen dan macam terdengar di hati Adiputera berkata kitani Melayu sebangsa sekuturunan. Marilah kita sambungkan silaturahim kita dan mereka? Bangunkan umat!

Tun Sheikh terus berkata, selalunya jika begitu bererti dia sampai kepada titisan Rasulullah. Hanya zaman sekarang saja orang tidak mahu memperbesarkannya kerana takut difitnah riak. Kamu terasa begitu kerana meskipun kita Melayu totok tetapi kita ada sedikit titisan al Idros dan begitu juga semua raja-raja Melayu. Itulah sebabnya Adiputera hormat dan sayang kepada raja-raja Melayu. Jikalah orang Melayu ini mengenal diri dan sejarah keturunannya maka tidak mustahil 80% dari Melayu sampai kepada turunan Saidina Hussin atau Saidina Hassan atau setidak-tidaknya turunan dan titisan benih Nabi Ibrahim samada melalui cucuandanya Nabi Sulaiman atau dari isteri Himalayu atau Himalaya bernama Kertika... dan bangsa ini menurut hadis nabi akan bangkit di akhir zaman mengangkat panji-panji Islam , insyaallah . Wallahualam.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

KEBUDAYAAN BARAT TINGGI?

0 comments
BAGAIMANA MENGHARUNGI PAKEJ KEHIDUPAN

Perihal menilai dan mengamalkan cara hidup yang akhirnya menjadi kebudayaan masih tergiur dan menari-nari di mata Tun Sheikh. Ini adalah kerana baru-baru ini Tun Sheikh dapat menghubungi hampir 200 orang sahabat Tun Sheikh yang pernah sama-sama kuliah di sebuah universiti terkenal di Indonesia melalui Facebook . Usia mereka lebih kurang Tun Sheikh, juga sudah separuh abad dan tentunya mereka sudah cukup matang dan masing-masing berperanan dalam pelbagai bidang memajukan diri dan memajukan kebudayaan seharian dan akhirnya menjadi imej kepada negara.Tun Sheikh yakin mereka mempunyai ekonomi keluarga yang kukuh dan mereka juga berbangga dengan pencapaian mereka. Maklum saja mereka semua memiliki ijazah pengajian tinggi dan jauh lebih baik jika dibanding dengan kelompok marhean.

Persoalan di sini ialah nilai budaya yang dianggap tinggi oleh mereka bagi Tun Sheikh adalah jauh tersasar. Tidak dinafikan mereka kelihatan senang dan mewah meskipun tidak kaya. Tun Sheikh sangat rasa sedih kerana kesenangan mereka adalah duniawi semata dan jika ada yang aktif dalam ukhrawi tetapi menyelimpang dari jalan yang diredhai Allah kerana kalau ada pun yang aktif tetapi mereka aktif membuat kerja-kerja amal kebajikan mengikut agama suami atau isteri.

Daripada hampir 200 sahabat yang Tun Sheikh dapat hubungi, hanya 30% sahaja yang masih menetap di Indonesia. Bakinya terpencar di Eropah terutama di Belanda, Belgium, Perancis, German dan Britain. Tidak kurang juga yang telah menjadi warga negara Amerika Syarikat dan Kanada. Ada juga telah menetap di Australia. Mereka sungguh berbagga mengamalkan cara hidup barat yang dianggap berkebudayaan tinggi dalam segala hal samada falsafah kebudayaan mahupun teknologi dan sains kemanusian.

Apa yang Tun Sheikh sedih setelah berinteraksi dengan detail dan mendengar suara hati mereka ialah kebanggaan mereka dianggap realiti dan maju. Agama bagi mereka tidak menjadi penghalang dalam menikmati penghidupan seharian. Tetapi fahaman mereka bukanlah seperti kita di sini. Ini adalah kerana Tun Sheikh lihat mereka walau suami-isteri mengaku beragama Islam, mereka tidak mengamalkan perintah agama. Mereka bebas mengamalkan cara hidup barat yang mereka anggap sangat praktis dan menyenangkan.

Kepada sahabat yang beragama Islam, mereka tidak menolak agama isteri mereka yang tidak mahu menukar agama malah mereka galakan isteri atau suami mereka kekal dalam agama mereka. Ini adalah kerana mereka menikmati titik pertemuan yang sama dimana mereka menganggap kelainan agama tidak mendatangkan masalah kerana mereka tidak mengamalkannya. Mereka hanya mempertahan dan mengekalkan fahaman kebebasan dan hak asasi manusia. Mereka menganggap mereka adalah manusia yang ideal kerana menghormati individu lain dalam fahaman agama dan anutan asalkan kebebasan mereka tidak diganggu.

Tun Sheikh berdoa dan berharap semoga penyakit ini tidak menular kepada anak bangsa kita di Malaysia. Walaupun begitu sebenarnya memang telah ada benih dan tunasnya cuma perbedaan di sini kita tidak dapat menerima pasangan menganut agama yang berlainan jika salah seorangnya mengaku Islam. Jadi adalah sangat penting kita memikirkan dan membuat garis panduan hidup yang bagaimana yang terbaik sehingga menjadi kebudayaan manusia yang diredhai oleh Allah sang Pencipta dalam mengharungi pakej kehidupan kita dunia dan ukhrahwi.

Oleh Tun Sheikh

NILAI HIDUP BERKUALITI

0 comments
MUTU CARA HIDUP BARAT TINGGI?

Perihal menentukan atau menetapkan mutu cara hidup dan standard sosial seseorang individu, sesebuah keluarga, sesebuah masyarakat, sesebuah daerah, negeri dan sesebuah negara adalah sangat sulit dan tiada batasan had. Ini adalah kerana nilai kehidupan atau kebudayaan itu bersifat fleksibal dan amat cenderung kaitannya dengan kemanusian. Kemanusian pula merangkumi keperluan fizikal dan mental yang pada hakikatnya adalah hasil dan nilai keperluan hidup yang akhirnya melahirkan sesuatu budaya.

Apa-apa ciptaan manusia sama ada berbentuk material atau karya ideologi dan pemikiran yang terbaik dan mudah digunapakai serta bersifat sejagat atau universal akan mudah diterima oleh manusia sendiri. Maka dengan adanya akal dan ilmu pengetahuan serta kemudahan dan pengalaman hidup sesuatu kebudayaan, manusia sentiasa berusaha mencipta sesuatu yang baru sama ada benda atau formula mahupun falsafah pemikiran untuk memudahkan urusan kehidupan hidup seharian.

Dalam sejarah kebudayaan manusia, kebudayaan dari dunia barat dianggap berkualiti dan maju kedepan sehingga berjaya mempengaruhi kehidupan manusia dari seluruh pelusuk dunia. Fahaman dan keyakinan pemikiran seperti ini sebenarnya adalah berat sebelah.Faktor yang menyebabkan kita menyangka dunia barat mempunyai kualiti kebudayaan tinggi ialah hanya dari sudut minda kita yang telah dipengaruhi secara halus oleh mereka.

Pada hakikatnya jika kita gunakan kefleksibalan dalam mengukur kualiti sesuatu budaya maka kita akan dapati bahawa kebudayaan timur juga mempunyai kualiti yang tinggi. Tetapi mengapa kita tetap terpengaruh dengan kebudayaan barat? Ini adalah kerana hasil penciptaan atau hasil budaya barat dicipta dengan kebebasan fikiran dan tidak terikat kepada sesuatu darjat dan pangkat.Mereka pula telah terpaksa mencari bahan mentah untuk menghasilkan barangan mereka dan terpaksa keluar menerokanya dari luar daerah budaya mereka. Sejarah pertembongan kebudayaan dan penciptaan baru mereka telah memberi pelbagai faedah dan keistimewaan kepada kebudayaan mereka sendiri.

Ironinya mereka tidak pernah meuarkan bahawa ciptaan mereka adalah demi untuk kebaikan manusia sebaliknya mengangkat nama pribadi mereka yang diutama dan dipentingkan. Mereka juga telah menetapkan dasar bahawa segala penciptaan hasil budaya samada material mahupun intelektual atau ideologi adalah bersifat untuk memberi kepuasan optima kepada pengguna atau pelanggan. Kerana kepuasan menjadi ukuran disamping kepuasan itu sendiri tiada batasan dan sempadan maka sering malah telah menjadi kebiasaan di mana terdapat hasil-hasil budaya mereka melampaui had batasan kemanusiaan itu sendiri.

Mesej yang hendak disampaikan disini ialah keadaan perkembangan budaya material yang berkembang pesat ini akhirnya akan merosakan budaya hidup manusia sendiri jika tidak dibatasi dengan pengetahuan kerohanian, falsafah kehidupan atau keintelektualan akal yang terbimbing dan terikat kepada naluri dan fitrah kemanusiaan itu sendiri. Ini adalah kerana apabila hasil budaya dicipta mengikut kebebasan akal fikiran tanpa batas dan had serta mengikut kepuasan yang tidak bersempadan maka manusia akan terarah kepada melampau batas dan kemusnahan.

Jika dikaji sejarah kebudayaan manusia maka tidak dapat dinafikan bahawa terdapat kebudayaan yang ekstrim dan juga kebudayaan yang mundur dan negatif. Jika dibuat penyelidikan dengan mendalam demi untuk mencari jalan keluar dan mengelak dari kemusnahan maka kita akan mendapat dan menerima kesimpulan bahawa manusia yang mengamalkan cara hidup dan kebudayaan yang sederhana atau ditengah-tengah antara ekstrim dan negatif adalah kebudayaan yang paling selamat, sederhana dan seimbang.

Dan tidak perlu terkejut jika secara sains dan intelek mendapati cara hidup dan kebudayaan Islam adalah domain dalam kesederhanaan dan seimbang dari segi material dan moral. Jadi kepada jiwa yang hidup atau akal yang cerdik mengapa mesti menafikannya dengan perasaan cemburu atau dengki? Alangkah baik jika semua manusia yang berakal mencipta sesuatu untuk keperluan mutu hidup manusia mengikut ajaran dan kefahaman Islam? Jika kita dapat memahami hakikat kehidupan ini maka kita akan dapat jawapan adakah benar kebudayaan barat yang berdasarkan kebebasan total dan kepuasan tanpa sempadan itu tinggi kualitinya atau sebaliknya. Tentu sekali kita akan mengetahui bahawa sebenarnya kita ke arah kemusnahan hasil tangan sendiri jika kita juga mengamalkan budaya hidup tanpa batasan dan berdasarkan kepuasan.

Oleh Tun Sheikh
 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere