Perginya Mahaguru Falsafah Beruk Melayu

Daripada Beruk Pun Ada Pengajaran
Bagi Orang Yang Mengenal Tuhan


Hari ini 8 April 2011, genap seminggu sahabat seguru, sahabat baik, sahabat sepegurauan keintelektualan, geng gost buster dan juga hard core hobi memancing Tun Sheikh meninggal dunia pergi untuk selama-lamanya. Al-fathiha kepada Hj Abu yang dikasihi. Tun Sheikh yakin sudah menjadi rezeki dan kurnia Tuhan kepada beliau, walau sering diperlekeh oleh bekas-bekas bos dan sahabat seangkatannya yang telah bersara tetapi bagi Tun Sheikh beliau adalah seorang genius dan pemikir yang amat unik terutamanya mengenai keadaan sekeliling dan juga hal-hal profesional di tempat kerjanya. Malangnya beliau hidup dalam budaya Melayu yang berpenyakit PHD maka buah fikiran dan ideanya sering dinafikan kerana boleh mengancam kewibawaan ketua mahupun sahabat-sahabat yang menjadi favorit kepada bos besarnya.

Tepat jam 4.50 pagi Jumaat 1 April 2011, Tun Sheikh menerima panggilan telefon daripada Pakku Raja yang dalam keadaan sungguh sebak menyampaikan berita kematian mengejut Hj Abu. Tun Sheikh amat faham bagaimana Hj Abu atau Hj Abon sekeluarga sangat dikasihi oleh Pakku Raja seperti anak kandung sendiri. Kami sering bersama pada malam-malam hari ketika orang sedang sedap lena, bersembang dengan tuan-tuan guru yang dikenali dengan kemursyidan dan kebarkatan ilmunya. Kami juga sering bersama sebagai satu team gost buster dan Hj Abon merupaka seorang yang berkebolehan mengupas ayat-ayat yang tersirat khususnya berkaitan tauhid uluhiyah. Kefahamannya mengenai tawakal dan takdir Tuhan boleh dikatakan menyampai kepada keihklasan beliau menerima dan membuat segala sesuatu ke arah kebaikan semata-mata kerana Allah dan dengan keikhlasan tanpa mengharap upah kecuali terserah kepada Allah yang menentukan.

Sebenarnya ini adalah hasil tekanan yang beliau terima sejak muda di pejabat. Orang memang tidak mengenali beliau dengan dekat yang berketurunan ulamak dan pembesar Muar. Sampai beliau menghembuskan nafas terakhir, Tun Sheikh percaya bahawa ramai sahabat taulannya tidak mengetahui bahawa beliau bersaudara beberapa pupu dengan Perdana Menteri kerana Tun Rahah adalah ibu saudara pupunya. Namun tidak pernah beliau mengambil kesempatan meskipun beliau menghadapi pelbagai tanggapan negatif dan tertekan di tempat kerja.

Tuhan Maha Berkuasa, hanya kerana penstrukturan semula organisasi pejabatnya yang mengutamakan kekanan dalam perkhidmatan, beliau terus melompat menjadi pengarah daripada pegawai biasa. Semenjak itu, beliau terus cemerlang. Bagi Tun Sheikh, beliau ialah mahaguru falsafah beruk Melayu kerana berjaya mengimplimentasikan falsafah itu sehingga jabatannya bertambah gemilang kerana kefahaman anak-anak buahnya terhadap falsafah itu.

Ketika menerima khabar kematiannya, Tun Sheikh secara spontan tersebut alhamdulillah daripada inalillah kerana jiwa Tun Sheikh amat terasa bahawa ini adalah anugerah Allah yang sangat besar kepada beliau. Tun Sheikh yakin ini juga sebagai bukti keampunan Allah kepadanya yang dikenali negatif kerana mainan gosip orang yang hasad dan penerimaan Allah terhadap sumbangan bakti dan kebaikannya walaupun diperlekeh sahabat handai yang buta hati. Sebaik-baik anda, sanggupkah anda mengajak sahabat yang tidak pernah solat ikut anda bersolat sama.? Dan apabila sahabat itu menolak adakah anda mendoakan kebaikan baginya? Itu adalah salah satu keunikan Hj Abon yang Tun Sheikh tahu. Satu lagi, walau sejauh mana kita berfikir, memberi pandangan dan buah fikiran, beliau akan kembali dan merujuk kebesaran Tuhan.

Pada hari kematiannya ini, Tun Sheikh juga mengingati sendaan dan gurauan kami ketika Aprilpool. Rupa-rupanya aprilpool ini menjadi hari kematiannya dan sebenarnya pada hari aprilpool juga kami insaf dan amat terkesan di sanubari. Peristiwa ini berlaku ketika kami masih muda, Tun Sheikh belum pun 30 dan beliau berusia sekitar 34 tahun. Kami mendengar berita kematian seorang kenalan disamping merekacipta berita anak dara tua di pejabat bertemu jodoh di hari aprillpool. Kami telah bergelak macam hendak pecah perut tetapi apabila ditegur oleh Pakku Raja bahawa gurauan kami sudah amat melampau, barulah kami terhenti. Mangsa berita ialah Pakku Raja sendiri. Beliau naik angin dan suruh kami bertaubat kerana jodoh pertemuan dan kematian dan hukum hakam agama tidak boleh dibuat gurauan. Sejak itu kami berubah dan Haji Abon sangat serius memperbetulkan landasan mindanya. Kami tidak lagi mencari alasan dan ponteng solat ketika memancing tidak kira dalam bot di tengah laut mahupun di atas lumpur di pulau terpencil.

Tun Sheikh hanya berenggang sedikit daripadanya semenjak beliau menjadi pengarah di jabatannya dan Tun Sheikh tidak lagi mengikut rombongan memancing dengannya setelah pertama kali terhidap penyakit mabuk laut di laut Mersing. Sehingga sebelum meninggal dunia Hj Abon masih memancing di laut dan di kolam tetapi sejak Tun Sheikh terkena mabuk laut dan merosakkan program memancing dengannya di Pulau Tioman itu, Tun Sheikh pun menggantung joran.

Ketika menziahi mayatnya di rumah, hati Tun Sheikh berasa terlalu sebak bukan kerana pemergiannya atau kehilangannya, tetapi kerana terasa cemburu kepadanya yang mendapat kebahagiaan. Biarlah berbeda dengan apa orang lain kata tetapi bagi Tun Sheikh, mayat beliau kelihatan tersenyum gembira, rohnya berpisah pada hari Jumaat dan inilah sebenarnya pernah sama-sama kami mengaminkan doa ketika menziarahi seorang tuan guru tariqah yang menutup tazkirah perbincangan dengan memohon roh kami diambil pada hari Juamaat kerana terlepas seksa kubur dan terdaftar sebagai ahli surga yang dijanjikan.

Berbahagialah Hj Abon, doa beliau telah terkabul tetapi bagi sahabat yang masih buta, masih saja menggosip yang bukan-bukan termasuk kematiannya mengejut disebabkan keserakahan nafsunya memakan durian sehingga diserang penyakit jantung, mementingkan piviratsi keluarga dengan memandu sendiri padahal pemandu rasmi disediakan. Terjentik juga sakit hati di Tun Sheikh apabila sudah ada pula desas-desus bahawa isteri yang ditinggalkannya tidak akan sanggup meneruskan pekerjaan dan akan melepaskan jawatannya sebagai timbalan ketua pengarah.

Bagi Tun Sheikh, Tuhan telah memilih Hj Abon dengan penuh keredhaan kerana tauhid yang mantap yang diperjuangkannya di setiap kali perbicaraan. Meskipun Hj Abon dikenali sebagai orang dan sahabat yang biasa tetapi bagi Tun Sheikh beliau adalah pengamal Tariqah Al Khodiriah (Sheikh Kadir Al Jalani). Biarlah orang kata beliau tin kosong dan ada yang mengatakan cakap tidak serupa bikin tetapi amat jelas kata-kata dan perbicaraannya adalah dakwah menagongkan Allah. Satu peringatan daripada Hj Abon ialah "Semua ini adalah pakej penghidupan kita dan Allah meminjamkan untuk sementara sahaja. Akhirat jua yang kekal."

Al Fatiha untuk Haji Abon @ Hj Abu bin Hj Abdul Rahman

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere