PERSEPSI ACUAN MELAYU KONTEMPORARI

MELAYU DAHULU, MELAYU KONTEMPORARI DAN MELAYU WAWASAN

MELAYU KONTEMPORARI
Melayu Kontemporari bermula dari tahun 1800 di era Abdullah Munshi. Zaman Abdullah diambil penulis hanyalah sebagai panduan kerana ketika itu beliau merupakan pelopor pemikiran baru bercorak moden. Meskipun Abdullah Munshi dianggap tokoh yang terpengaruh dengan penjajah Inggeris tetapi adalah seorang tokoh yang berani mengkritik institusi raja yang menyeleweng dan keadaan feudal yang kelihatan menzalimi rakyat biasa. Ciri positif daripada pandangan Abdullah Munshi ialah nilai atau ukuran yang diperkatakannya seperti suatu garis panduan yang dicadangkan oleh beliau bagi menambahbaikkan cara hidup dalam semua hal terutamanya dalam bidang pelajaran dan kesihatan kepada bangsa Melayu. Abdullah juga tidak segan mengakui dirinya sebagai orang Melayu meskipun sebenarnya beliau adalah berdarah campuran Melayu dan kuat darah India Muslimnya.

Kehebataan Abdullah terletak kepada keberanian dan tajam pandangannya terhadap nilai kebudayaan atau cara hidup dan amalan harian yang lebih baik dan mampu dilakukan oleh semua bangsa. Abdullah Munshi juga berjaya mendapatkan pandangan rakyat biasa mengenai kebudayaan dan kehidupan orang Melayu iaini pandangan mereka terhadap pembesar dan raja mereka. Masa itu pandangan dan perbauran orang Melayu dengan penjajah atau Inggeris masih terhad . Sebenarnya penjajah Inggeris memang sengaja mengasingkan diri dengan orang Melayu kerana menjaga kepentingan mereka. Mereka hanya bergaul dengan raja dan pembesar yang mengikut telunjuk yang difahami sebagai nasihat mereka. Meskipun Abdullah terpengaruh dengan cara hidup Inggeris yang dianggapnya baik tetapi beliau tidak mengamalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam. Beliau mengkritik perbuatan berjudi dan minum arak serta pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Pegawai Inggeris dan orang Melayu yang melampaui batas mengamalkan budaya barat itu dijauhinya.

Abdullah Munshi bukanlah berasal daripada keluarga pembesar Melayu . Beliau berasal dari keturunan India Muslim dari Pulau Pinang dan India dan kemudian berhijrah ke Melaka. Beliau mewarisi didikan bapanya yang mengutamakan pelajaran Inggeris. Kerana beliau fasih bertutur Inggeris, beliau telah dilantik menjadi penterjemah kepada pegawai Inggeris di Melaka. Beliau kemudian mengajar bahasa Melayu kepada pegawai-pegawai Inggeris dan dari situ beliau menerima gelaran Munshi. Apabila mendapat maklumat bahawa keadaan sosial dan ekonomi di Melaka bertambah merosot dari hari ke sehari dari pihak Inggeris dan kecewa dengan keluarganya serta keadaan orang Melayu di Melaka seolah-olah telah melupakan adat Melayu yang bernilai tinggi dengan meniru cara hidup Inggeris, beliau telah mengambil keputusan berpindah ke Singapura. Walau bagaimana pun salah satu sebab utama beliau berpindah ke Singapura adalah kerana undangan pihak Inggeris dan Temenggong Johor dan kerana kecewa dan bersedih terhadap kematian isteri beliau. Beliau telah berpindah ke Singapura dengan membawa kesemua anaknya termasuk Ibrahim yang akhirnya menjadi penasihat Sultan Johor dan pemangku sultan.

Adalah baik jika dinukilkan semula pandangan Abdullah Munshi terhadap orang Melayu dan pembesarnya secara kesimpulan kerana ini akan menggambarkan keadaan orang Melayu Dahulu yang telah dibicarakan dalam Siri atau Buku Melayu Dahulu. Antara pandangan Munshi Abdullah yang tepat ialah keadaan pembesar Melayu merampas tanaman dan ternakan rakyat biasa. Hal ini dilakukan oleh orang-orang raja atau pesuruh raja. Kadang-kadang raja tidak menitahkan mereka tetapi tingkahlaku mereka berlagak mereka mempunyai kuasa dan titah raja. Mereka sering mengertak rakyat atas nama raja sehingga rakyat tidak selesa dan berasa takut jika terserempak dengan rombongan raja atau pesuruh raja.

Akibat besar dari ketakutan ini rakyat biasa telah menceritakan kepada Abdullah Munshi bahawa mereka bukanlah pemalas sebagaimana Abdullah Munshi sangka kerana enggan mengusahakan tanah bendang yang luas dan malas menternak binatang peliharaan bagi menambah rekzi atau sumber pendapatan. Sebelum itu, Abdulllah telah memberi cadangan agar menanam bahan makanan tambahan seperti tebu dan pokok buah-buahan secara besar-besar atau kuantiti yang abanyak supaya boleh dijual dan menambah pendapatan atau ekonomi sekaligus taraf hidup. Tetapi apa yang diusahakan oleh orang Melayu terutamanya di kampung-kampung hanyalah tanaman bahan-bahan makanan yang hanya cukup untuk satu keluarga kecil. Contohnya mereka menanam serai dan ubi keladi hanya cukup untuk satu keluarga terdiri daripada tiga atau empat orang.

Abdullah Munshi tidak menyangka bahawa persoalan yang ditimbulkannya menjadi suatu keinsafan dan kesedaran yang amat mendalam kepada dirinya apabila dijawab bahawa mereka sengaja tidak berusaha banyak kerana apalah guna berbuat demikian sebab akan diambil secara paksa atau dirampas oleh pihak istana atau orang-orang raja. Orang raja atau pesuruh raja memang tidak melakukan apa-apa pekerjaaan kecuali menunggu titah sultan atau pembesar atau penghulu dan titah atau perentah bukanlah datang selalu. Mereka menganggur dan untuk memenuhi keperluaan harian mereka dan keluarga mereka, mereka telah mengambil hakmilik rakyat atas nama sultan atau pembesar mereka.

Orang kampong menganggap mereka adalah penyamun yang dilindungi raja. Lebih-lebih lagi kebanyakan dari orang-orang suruhan raja atau pembesar Melayu adalah orang yang mempunyai rekod hitam atau yang pernah melakukan jenayah. Untuk menyelematkan diri daripada kena hukuman mereka telah menyerah diri dan mengabdikan diri kepada raja atau pembesar mereka. Raja menerima mereka dan pada waktu yang sama semua pembesar hingga budak-budak atau pesuruh raja tidak bergaji. Malah raja sendiri menganggap milik rakyat adalah milik mutlak baginda. Ini adalah penyakit feudal Melayu yang dikesan dan tidak disetujui oleh Abdullah Munshi. Beliau menganggap sudah sampai masanya setiap diri orang Melayu menyedari hakikat hidup dan setidak-tidaknya cara hidup mengikut panduan agama kalau tidak dapat meniru atau mengamalkan cara Inggeris yang moden yang tidak bertentangan dengan Islam.

Satu lagi delima yang tidak disenangi oleh Abdullah Munshi ialah bagaimana raja-raja Melayu mendidik anak mereka. Mereka menyerahkan putera mereka termasuk yang bakal menjadi raja kepada pembesar untuk mendidik mereka. Sehubungan itu putera-putera raja membesar dengan kebebasan yang penuh tanpa ditegur oleh ayahanda mereka. Manakala pembesar pada kebiasaannya hanya menjaga kebajikan dan kehendak putera-putera raja yang dibawah asuhan mereka. Mereka juga tidak berani menegur dan melarang kerana khuatir raja murka. Akibatnya putera raja membesar dalam keaadaan yang buas kerana tidak pernah disekat dan dihalang apa-apa kemahuan mereka oleh pembesar yang diserah mengasuh mereka.

Putera-putera raja bebas dengan kehendak mereka dan terpaksa dipenuhi jika mereka berhajatkan anak dara kampung atau isteri orang sekalipun. Yang aibnya bukanlah mereka mengambil terus sebagai gundek mahupun isteri tetapi hanya seketika untuk memuaskan nafsu dan permainan. Hal ini telah disindir oleh Abdullah Munshi sebagai mengajar anak harimau menangkap mangsanya dan mangsanya adalah dari kalangan rakyat jelata. Tentunya apabila besar nanti dan berkuasa harimau akan lebih kejam dan zalim. Keadaan ini digambarkan oleh beliau dengan sinis sekali kerana mengikut fikirannya, ini akan mengakibatkan orang Melayu terus mundur kerana perlakuan raja mereka sendiri.

Selain dari hasil penulisan Munshi Abdullah tidak banyak penerbitan yang menjurus atau mengemukakan pengajaran dan teladan berbentuk diri individu lebih-lebih lagi terhadap orang awam. Dalam era Melayu Dahulu, penulis atau boleh juga dikatakan pencatat berita dan keadaan sosial pada era Melayu Dahulu itu masih berkisar di istana dan watak heronya adalah putera raja atau pembesar istana. Sepanjang tahun 1800 – 1900 , penulisan penulis kelihatan masih terikat dengan pengaruh dan kuasa istana. Para cerdik pandai kelihatannya masih hidup bergantung atau aktif di istana kerana dibiaya atau pasaran dan peminat tulisan mereka terdapat di situ.

Hasil penulisan yang banyak dijumpai di Riau, Singapura, Johor, Alor Setar, Kelantan, Trengganu dan Pahang kebanyakannya berkisar mengenai peristiwa dan hal kerajaan atau istana. Gambaran yang dibentangkan oleh Munshi Ibrahim, anak kepada Munshi Abdullah pada tahun-tahun 1870-an hingga 1900 adalah juga berkisar istana dan tampuk pemerintahan. Keadaan dan gambaran cara pemerintahan dijalankan dan keadaan negeri Johor, Selangor, Perak dan Kedah juga adalah berkaitan dengan pemerintahan dan kerajaan. Begitu juga catatan dari Riau dan di Kedah dan juga negeri-negeri lain oleh penulis yang boleh dikatakan terdiri daripada pembesar dan keluarga istana.

Setelah tahun 1900 hingga Perang Dunia Kedua barulah banyak peristiwa atau hasil karya penulis mencatat hal-hal individu atau kelompok masyarakat Melayu secara bebas. Ini adalah berikutan wujudnya persuratkhabaran dan kemudahan mesin percetakan. Penulis atau pencatat cerita-cerita Melayu sudah berani menghasilkan novel cinta, kebebasan anak muda yang berpendidikan, perjuangan terhadap keselesaan hidup, kisah adat dan budaya Melayu yang dianggap kolot dan mengkritik cara hidup para pembesar dan kalangan istana yang dianggap seperti kenyang makan pisang tetapi punggong dicucuk duri atau hidup dalam kepompong sendiri dengan pembaziran.

Pemikiran orang istana dan para pembesar seolah-olah jumud kerana terpengaruh dengan cara hidup sahabat-sahabat rapat mereka yang terdiri dari orang eropah samada pengusaha ladang, saudagar perniagaan atau pentadbir yang bias kepada dasar penjajahan. Mereka digambar dalam penulisan atau catantan penulis sebagai golongan yang telah merosakan kebudayaan adat Melayu beraja dan telah hilang daulat kerana tidak mempedulikan keadaan sosial dan kebajikan rakyat.

Kesadaran dan kebebasan menyuarakan cita rasa dan pandangan ini berterusan di era 1920-an dan 1930-an. Isu-isu yang dibawa atau mendapat perhatian dan menarik minat orang Melayu ialah isu-isu kesihatan, pendidikan dan berita-berita perkembangan teknologi baru atau penciptaan barangan harian yang baru dari eropah meskipun tiada lagi dalam pasaran tempatan. Berita dan prihal istana yang ortodok atau tradisional tidak banyak dan tidak menarik. Sebaliknya hal-hal istana yang menggambarkan keburukan dan kebobrokan bebas ditulis dan digemari pembaca. Istana tidak lagi menjadi idola tetapi dipantau terus dan dimuatkan dalam berita akhbar mahupun penulisan novel atau cerpen mengenai salah laku dan perihal pembaziran dan kerendahan atau kerosakan peradaban budaya hidup dalam istana kerana terpengaruh dengan budaya barat.

Di Zaman Pendudukan Jepun pada tahun 1940-an, orang Melayu dikatakan sebagai baru bangun tidur dan membuka mata dalam keadaan terkejut apabila Tanah Melayu, negara mereka yang di anggap dalam keadaan aman dan bahagia serta kuat kerana diperintah oleh Inggeris jatuh dan kalah dalam peperangan dengan Jepun. Tentera-tentera Jepun sangat ditakuti dan orang Melayu bertambah terbeliak mata apabila mendapati orang Jepun yang datang adalah lebih kecil dan pendek fizikal dari orang Melayu sendiri tetapi bersemangat waja, berani dan keras.

Berikutan daripada itu barulah orang Melayu sadar untuk berpolitik dan membina pemerintahan dan berkerajaan sendiri. Pelbagai fahaman bertembong dan pelbagai kecelaruan dasar dan prinsip dibahas dan dibincang secara aman mahupun ganas dan panas. Ketika inilah penjajah Inggeris yang banyak pengalaman telah membentuk strategi dan mempengaruhi secara halus agar negara Melayu yang hendak dibina mengiktiraf pendatang asing yang dibawa mereka dan yang sangat menyedihkan adalah seolah-olah mengiktiraf mereka sebagai pelindung dan penasihat yang mesti dicontohi dan ikuti persis seperti acuan yang telah disediakan.

Pada tahun 1950-an, Tanah Melayu merayakan kemerdekaan Negara dengan kegembiraan. Rakyat tidak sadar kemerdekaan tanah tumpah darah mereka dan tanah pusaka nenek moyang yang dikenali sebagai Tanah Melayu ini pada namanya saja merdeka tetapi pada dasarnya kebebasan dalam semua hal adalah mengikut cetak dan acuan sebagaimana yang dikehendaki dan disediakan oleh Inggeris. Kehalusan budi Inggeris menyediakankan tali jerat di leher bangsa Melayu tidak kelihatan. Dengan sebab itulah meskipun sudah 50 tahun merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong dan belum merdeka. Akal orang Melayu tidak dapat membaca kelicikan Inggeris dan sekutunya sehinggalah disadarkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada era 1980-an hingga 2000.

Kelemahan dalam keyakinan dan jatidiri Melayu seperti diberi nafas baru. Tetapi sungguh sayang dan amat dikesalkan kerana jika zaman selepas merdeka, pembangunan Negara begitu pesat mengukir dan melakar rupa bandar, desa dan kota dalam suasana aman dan keiklasan tetapi di tahun-tahun 1980-an yang sangat menonjol dan kelihatan, adalah peluang menjadi jutawan segera. Phenomena ini sekaligus seolah melahirkan bangsa Melayu baru yang telah lupa daratan kemampuan dan bangsa Melayu Baru itu kelihatan hilang kejatian diri kerana diserang penyakit kerakusan materi. Penyakit yang kronik ini merebak luas kepada pemimpin-pemimpin Melayu hingga mereka amat bijak menubuhkan, mewujudkan kroni dan berkonsifirasi jatuh-menjatuhkan satu sama lain, membunuh karier teman dan sahabat handai bahkan sanggup memasukan sanak-saudara sendiri dalam penjara batu dan besi.

Dr Mahathir pula mungkin kerana telah terlalu lama memegang tampok kuasa dan kerajaan kelihatan terlalu yakin atau over confident sehingga segala inisiatif dan keagresifan beliau pada akhir tahun-tahun pemerintahannya kelihatan seperti arahan dari seorang dictator dan beliau mulai dibenci. Sekali lagi orang Melayu seperti anak ayam kehilangan ibu apabila beliau yang begitu berjasa telah meletakkan jawatan Perdana Menteri .

Penulis menamatkan perbahasan tamadun Melayu era atau period kontemporari pada tahun 2000 dan ditambah sedikit keterlanjuran pengganti Dr Mahathir yang dilihat begitu tolerat dan berkompromi sehingga menggambarkan kelemahan diri beliau sendiri dan gagal memulihkan keyakinan rakyat yang tercemar sejak era Dr Mahathir. Pak Lah bukan saja tidak berjaya merungkai kekusutan peninggalan Dr Mahathir tetapi telah menjadikan keyakinan, pengaruh dan kuasa politik orang Melayu bertambah kusut dan masai.

Manakala Dato’ Najib pula, kehebatannya masih belum menandingi populariti ayahanda beliau sendiri. Padahal zaman ayahanda beliau yang berkhidmat dengan ketulusan dan keikhlasan itu telah lama jauh meninggalkan sejarah dan telah dilangkaui oleh kehebatan Dr Mahathir.

Konklusi dari penulisan Melayu Kontemporari ini agak ironi dengan gambaran futuristik penulis setelah yakin dan mendapat gambaran serta teladan dari sejarah dunia bangsa manusia, bahawa apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin Melayu Kontemporari samada terpaksa atau dengan persetujuan pada zaman kekuasaan mereka, sebenarnya mereka sedang menyediakan acuan kebudayaan hidup anak cucu mereka di masa hadapan. Acuan yang mereka sediakan kelihatan begitu rapuh kerana mereka sendiri sebenarnya tidak mempunyai jatidiri dan menjiwai maruah bangsa Melayu dan menghargai kebudayaan Melayu sejak sekian lama. Maruah bangsa Melayu telah dicemar dengan pemikiran penjajah yang telah disemai dalam minda mereka. Ketika berkuasa mereka hanya bertopeng kerana keseronokan dan keasyikan dengan tarian ronggeng Melayu supaya dapat terus puas menari menikmati kecantikan gadis Melayu di sebalik topeng yang dipakai mereka.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara dalam buku Melayu Dahulu, Melayu Kontemporari dan Melayu Wawasan yang masih belum terbit.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere