ISLAM ABANGAN TELAH SEBERANG SELAT MELAKA

MELAYU SINGAPURA YANG MENCURIGAKAN

Minggu lepas, Tun Sheikh bersama isteri telah berkunjung ke Johor Bahru dan bertemu dengan beberapa orang kawan lama. Banyak yang kami bincang dan perkatakan. Ada satu hal yang dirasa menarik untuk tatapan dan difikirkan di sini terhadap dilema yang dihadapi oleh sahabat isteri Tun Sheikh. Beliau menceritakan ini ketika Tun Sheikh dan keluarga menikmati makanan barat KFC dikedainya di Johor Bahru.

Vivi seorang perempuan Cina berasal dan telah dibesarkan di Pulau Pinang. Beliau datang dari keluarga sederhana yang menganut agama Budha dengan dua orang abang, seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki bongsu. Mereka kini telah dewasa dan Vivi berusia 45 tahun. Adik perempuannya berusia 41 tahun dan sedang menetap di Singapura. Oleh kerana rumah keluarganya di Pulau Pinang berhampiran dengan sekolah Melayu, maka Vivi dan adik perempuannya telah disekolahkan oleh orang tua mereka di situ. Fahaman keluarganya agak liberal dan kesemua anak mereka tidak dihantar ke sekolah aliran Cina.
Sejak bersekolah di sekolah rendah dan menengah, Vivi dibenarkan keluarga mereka mengikuti mata pelajaran agama Islam di sekolah. Meskipun diberi pilihan, Vivi dan adiknya tertarik untuk mengikuti mata pelajaran agama Islam kerana menganggapnya mudah. Mereka tidak pernah gagal dalam ujian mahupun di dalam peperiksaan tetapi mereka tidak mengambil mata pelajaran agama Islam dalam PMR dan SPM.

Setelah berusia 20 tahun, Vivi memasuki alam pekerjaan di beberapa syarikat swasta di Pulau Pinang. Berbekalkan Sijil Urusan Perniagaan dan pengalamannya serta minat untuk berniaga telah mendorong beliau membuka kedai KFC francais miliknya di badaraya Johor Bahru ketika berusia 30 tahun. Beliau fasih berbahasa Melayu dan kawan-kawannya terdiri dari pelbagai kaum. Akhirnya beliau bertemu jodoh dengan jejaka Melayu dan menganut Islam secara rahsia dari pengetahuan keluarganya.

Adiknya Viva pula terus melanjutkan pelajaran di Singapura. Di sebabkan kemudahan dan keadaan sekeliling untuk mengetahui tentang Islam agak terbatas tidak seperti sebelumnya di Pulau Pinang, Viva sering menanyakan permasalahan adat dan kepercayaan Islam dari seorang pensyarah muda yang aktif berdakwah di tempatnya belajar. Pensyarah muda itu juga adalah seorang imam di tempat kediamannya. Mereka akhirnya terpikat dan bertemu jodoh dan Viva memeluk Islam di Singapura juga secara rahsia dari pengetahuan keluarganya.

Oleh kerana kakaknya berniaga di Johor Bahru, Viva sering datang dan menginap di rumah kakaknya dan mendapati kakaknya menunaikan solat. Mereka terus mesra dan masing-masing mengetahui kedudukan agama masing-masing dan sering bertukar pandangan dan berbincang apabila menghadapi masalah agama Islam. Mereka sungguh mesra dan masing-masing telah mempunyai anak tetapi jarang balik ke Pulau Pinang kerana ibu bapa mereka telah meninggal dunia.

Bulan lepas Viva telah datang dan menginap empat hari di rumah kakaknya Vivi melepas rindu setelah setahun tidak berkunjung. Selepas mengerjakan solat dan membuka telekong, Vivi ternampak rantai salib dipakai oleh adiknya Viva. Selepas bertanya dan bercerita akhirnya Vivi mendapati dari pengakuan adiknya Viva bahawa dia beragama Kristian. Viva juga mengaku masih beragama Islam. Dia mengaku menganut Kristian dan juga Islam. Hal yang sangat memeranjatkan ialah Viva menganut Kristian telah setahun dan dia memeluk Kristian atas desakan suaminya iaitu seorang pensyarah yang pernah aktif dalam dakwah Islamiah dan bekas imam masjid di Kondo kediaman mereka.

Kini , suami Viva adalah seorang paderi Melayu pendakwah agama Kristian terkenal di Singapura. Viva diminta bantu oleh suaminya untuk mengkristiankan orang-orang Cina dan perempuan-perempuan Melayu. Vivi menceritakan lagi bahawa suami adiknya mempelajari agama Islam dengan seorang pendakwah dari Indonesia. Islam dan Kristian tidak dibeda-bedakan di sana dan mereka boleh berkahwin tanpa menukar agama. Islam ini dikenali sebagai Islam Abangan. Apabila mereka bersama orang Islam, mereka akan mengaku dan bersembahyang sebagai Islam dan apabila mereka berkesempatan mereka akan menarik sebanyak mungkin kenalan supaya menganut Kristian yang dianggap mudah dan praktis di zaman moden di dunia tanpa sempadan ini.

Tun Sheikh mendoakan Viva akan mendapat taufik dan hidayah semula memandangkan hatinya masih berat kepada agama Islam. Beliau berasa buntu dan tidak nampak cara untuk melepaskan diri dari suami tercintanya, seorang pensyarah dan pendakwah Kristian yang dihormati ramai. Ramai juga orang Melayu Singapura telah menganut Kristian dan ramai juga suku Melayu dari Indonesia yang telah menjadi pengikut setia suami dan dirinya.

Sama-samalah kita mengawal supaya Islam Abangan budaya Indonesia ini tidak menular di Malaysia. Pada hakikatnya atau sepengetahuan Tun Sheikh, Islam Abangan di Indonesia bererti mereka hanya mengaku Islam tetapi mengucap shahadah pun mereka tidak tahu atau tidak mahu. Mereka tidak solat dan berdoa atau sembahyang hanya ikut-ikutan apa saja kepercayaan atau anutan agama yang mereka suka. Mereka sendiri tidak tahu apa yang dilakukan dan mereka tidak diterima sebagai seorang muslim. Tetapi apabila ditanya apakah agama mereka, mereka akan menjawab dengan tegas bahawa mereka adalah Islam.
Kelihatannya seperti telah ada perubahan besar dan kegiatan para daei kristian memperalat Islam Abangan telah berjaya. Kini telah menular ke Singapura dan tidak mustahil telah ada di Malaysia. Sehubungan itu kita hendaklah peka dan berjaga-jaga supaya orang Melayu Malaysia yang terkenal dengan ikon Islamnya tidak dikristiankan sebagaimana yang berlaku di Singapura.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

1 comments:

mnsr8 said...

Umpama "nasi ambeng"..

Post a Comment

 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere