Isteri Nusyuz Suami Tidak Dayus

Isteri Nusyuz Suami Tidak Dayus

Kali ini Tun Sheikh akan ceritakan mengenai seorang sahabat seusia Tun Sheikh yang datang mengadu hal dan meminta pandangan. Beliau tinggal dan bekerja di Johor Bahru. Harapan Tun Sheikh mudah-mudahan kisah beliau dapat sama-sama kita manfaatkan dan diambil iktibar. Beliau adalah sahabat baik sepermainan dari sekolah rendah hingga menengah. Masa di bangku sekolah terutama pada masa kami berusia remaja, beliau agak sopan kerana tidak suka pada perempuan, tidak seperti Tun Sheikh dan teman-teman lain. Meskipun kami bersekolah di sekolah yang tidak bercampur perempuan dari tingkatan 1 hingga 5 tetapi ada pelajar perempuan pangkat kakak-kakak yang melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 di sekolah Tun Sheikh. Walaupun kami tidak ada pacar atau berpacaran tetapi sering juga berhubungan atau bergaul dengan mereka dalam persatuan sekolah.

Sahabat Tun Sheikh tidak suka perempuan kerana didikan dan larangan orang tuanya . Ibu bapanya juga melarang Md Noor berkawan dengan kawan yang ada teman perempuan dan tidak benarkan membawa kawan wanita datang ke rumah. Dari sudut yang lain, Tun Sheikh menganggap keluarga Md Noor agak alim dan beradat. Ibunya seorang yang warak dan bapanya seperti seorang yang zuhud. Md Noor lambat mendirikan rumah tangga. Beliau hanya bertemu jodoh ketika berusia 40 tahun. Md Noor berkenalan dengan isterinya Ruzynawaty binti Tanak ketika berkursus di Kuala Lumpur. Ruzynawaty ketika itu berusia 30 tahun. Beliau telah menemani Md Noor menunjuk jalan-jalan di Kuala Lumpur . Sebulan kemudian Md Noor bernikah kerana tidak suka bermesra dan berkawan lama-lama dengan perempuan bukan mahram.

Ketika beliau menyampaikan hajatnya untuk bernikah pada Tun Sheikh dulu, satu nasihat pun tidak didengarnya. Beliau juga tidak dihalang dan tanpa periksa terus dipersetujui orang tuanya. Ini adalah kerana mereka berasa bersalah hingga menyebabkan Md Noor tidak berminat untuk berumah tangga ketika usia muda. Tun Sheikh agak terkejut cara dia membuat keputusan tetapi tiada siapa boleh menasihatinya lagi. Lagipun orang tua Md Noor beria-ia suruh dia kahwin cepat. Ketika Md Noor memberitahu nama bakal isterinya, Tun Sheikh sudah berfirasat seperti sesuatu yang tidak sesuai. Tun Sheikh nasihatkan para ibu bapa dan sesiapa saja yang membaca tulisan ini agar merancanglah jika hendak menamakan anak-anak kita. Mungkin orang tua kita dahulu jahil atau terikat sangat dengan adat resam yang tidak tahu asal punca. Mereka beri nama anak ikut suka hati dan kebiasaan saja.

Tun Sheikh tidaklah menghina nama isteri kawan Tun Sheikh itu yang pada pandangan Tun Sheikh amat tidak sesuai kerana Tun Sheikh terbayangkan maksud ‘bunga mawar perzinaan dan persetubuhan’. Tidak kiralah kita ini Melayukah, Bugis, Jawa atau apa tetapi jika kita benar-benar faham kepada agama Islam seharusnya kita mengikut panduan yang Nabi SAW ajarkan agar memberi nama yang bermaksud baik-baik belaka kerana nama itu dapat mempengaruhi tingkah laku. Ruzynawaty berketurunan Bugis berasal dari Pontian. Dia berkerja di sebuah badan berkanun. Dari segi pendapatan, sama saja dengan Md Noor, Cuma Md Noor sudah lama kanan dan dari segi sekufu Md Noor lebih sikit kerana keluarga Ruzynawaty ialah orang kampung yang susah di Tampok. Tapi memang dasar Bugis, beliau sungguh bergaya seolah-olah macam anak orang kaya. Mungkin bagi menyesuaikan dirinya yang cantik bertubuh tinggi lampai berkulit putih seperti seorang model. Kata orang, jika seorang lelaki terpandang memang akan menoleh semula.

Ruzynawaty bekerja di badan berkanun yang tidak ada di Johor Bahru dan beliau tidak sanggup berhenti kerja kerana membantu keluarga. Selepas berkahwin, Md Noor belikan sebuah rumah tol yang bercantum dengan tiga pintu rumah sewanya di Kuala Lumpur. Duit kiriman isteri kepada ibu bapanya sebayak RM600 sebulan tidak diganggu malah dia sendiri sering menghulur apabila balik Pontian. Kini 11 tahun sudah usia perkahwinan mereka. Pernah dua kali Md Noor bertanya mahukah Ruzynawaty bercerai kerana hidup mereka berjauhan tetapi tidak dikehendaki oleh isterinya. Kali pertama kerana Md Noor kasihan kepada isterinya yang terpaksa mengurus sendiri diri dan anak-anak. Md Noor hanya datang setiap 2 minggu sekali di hujung minggu dan beberapa hari jika bercuti panjang yang bersambung dengan cuti am. Mereka telah dikurniakan 3 orang anak seorang lelaki dan 2 perempuan. Anak sulung lelaki sudah berusia 7 tahun, 5 tahun dan bongsu baru 2 tahun.

Kali kedua Md Noor bertanyakan sama ada isterinya mahu bercerai ialah setelah isterinya melahirkan anak mereka yang ketiga. Sebelum itu Md Noor sering dapat mimpi buruk, isterinya menduakan dirinya. Apabila disiasat, anak-anaknya telah menceritakan ibunya selalu keluar makan dengan Uncle Din dan mereka kenal dan sayang dengan Uncle Din. Darah Md Noor terus menyirap tetapi hatinya tidak sampai hati mengambil tindakan yang memburukkan keadaan. Kalau direnung dan diingat-ingat isterinya memang dingin di atas ranjang tetapi Md Noor tidak kisah kerana yakin kepada Allah dan tidak berburuk sangka. Tetapi apabila sering bermimpi buruk sampai pernah bermimpi arwah guru agamanya suruh menceraikan isterinya, beliau menjadi bingung.

Semasa isterinya mengandung anak ketiga, beliau begitu gelisah dan berjumpa dengan Tun Sheikh. Sungguh serba salah Tun Sheikh dibuatnya. Akhirnya Tun Sheikh suruh dia buat solat istikharah dan bersabar. Fikirannya kusut sehingga mengadu kepada Tun Sheikh bahawa anak-anaknya tidak ada yang ikut rupa wajahnya. Tun Sheikh bersyukur kerana Md Noor mengerti agama dan beliau juga agak warak seperti bapanya. Dia bukan sahaja membuat solat istikharah tetapi juga solat hajat dan solat-solat tahjud. Terkejut Tun Sheikh apabila beliau memberitahu bahawa beliau telah menyerahkan bulat-bulat kepada Allah dan beliau sendiri memohon ampun jika selama ini fikirannya berburuk sangka walaupun beliau begitu yakin bahawa kanak-kanak kecil tidak tahu berbohong dan perlakuan isterinya juga berubah seperti tidak berapa kisah dengan kehadiran atau kedatangannya ke Kuala Lumpur.

Apabila beliau siasat dari sahabat dan kawan-kawan isterinya, beliau mendapat maklumat bahawa isterinya memang mempunyai ramai teman lelaki. Pernah putus tunang sebanyak 3 kali dan pergaulannya agak bebas. Kawan-kawan pernah ternampak isterinya keluar dengan kekasih lama tetapi oleh sebab dibawa anak bersama, mereka tidak mengesyaki apa-apa. Apabila Md Noor bertanya kepada isterinya, beliau mengaku tetapi tidak mengaku telah melakukan perkara keji. Md Noor sungguh kecewa lalu berdoa kepada Tuhan jika isterinya telah berzina dan mengampun dosa dirinya yang tidak dapat mengawal isteri maka ambil saja nyawanya atau nyawa isterinya sebelum melahirkan anak yang ketiga. Md Noor tidak sanggup melihat dan bertanggungjawab memelihara anak haram jika itu bukan anaknya. Tetapi Md Noor menyerahkan bulat-bulat kepada Allah sama ada memakbulkan doanya atau sebaliknya. Bila beliau berulang kali bertanya kepada isterinya sama ada Ruzynawaty telah terlanjur, isterinya tidak menjawab dan buat bodoh sahaja. Apabila didesak, dia berani mengatakan bahawa dia juga serahkan kepada Tuhan. Md Noor bertaklid jika kamu berzina maka tertalak kamu tetapi jika kamu tidak berterus terang maka kamulah yang menanggung segala dosa . Aku akan melayan kamu sebagai suami sehinggalah ketentuan Allah.

Sehingga ke hari ini jodoh mereka masih panjang. Kawan-kawan Ruzynawaty tidak lagi nampak Ruzynawaty keluar dengan teman lelaki. Md Noor seperti biasa menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami mengikut keupayaannya.Apabila Tun Sheikh tanya bagaimana perasaannya? Beliau memberitahu bahawa beliau kecewa tapi melupakan rasa itu dengan sentiasa berzikir. Beliau bercadang bersara awal untuk dekat dengan isteri dan anak-anaknya yang masih kecil. Mari kita sama-sama mendoakan semoga mereka bahagia dan hidup dalam kebajikan. Amin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Ajaran Hidup
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere